Petikan daripada ucapan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Awang dalam perutusan Aidil Fitri 1429H/2008M, “Akhlak dan adab berjemaah perlulah sentiasa dipelihara sama seperti memelihara prinsip perjuangan sehingga tidak berpaling atau hanyut dengan yang selain darinya. Di sinilah pentingnya kejayaan Ramadan sebagai obor pembimbing kita pada setiap ketika. Walaupun Ramadan berlalu pergi, kita perlulah mengingatkan semua ahli di pelbagai peringkat supaya terus-menerus mempertingkatkan pengabdian diri kepada Allah, bermunajat untuk kekuatan jemaah, meningkatkan kerja dakwah bagi mengajak rakyat untuk bersama membela Islam menerusi wadah perjuangan PAS. Kepimpinan parti pula hendaklah bersedia untuk merangka program tarbiyah kepada ahli-ahli baru nanti selain memperkasakan fikrah ahli yang sedia ada.Pimpinlah masyarakat supaya sama-sama menghayati perjuangan Islam ini. Kita berharap kurniaan taqwa akan mendorong kita untuk terus kekal berjuang meninggikan kalimah Allah sehingga terlaksana syariat-Nya.Islam perlu mendominasi seluruh suasana supaya manusia kelak dapat melihat kehebatan dan keagungan Islam sehingga rela berada di bawah naungannya.”
“Wahai orang-orang yang beriman! kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”
(Al-Baqarah;183)
Amalan berpuasa dibulan Ramadhan ini merupakan suatu amalan yang telah diwajibkan oleh Allah kepada semua orang yang beriman. Falsafah daripada berpuasa di bulan Ramadhan ini adalah untuk menghasilkan orang beriman yang bertaqwa.
Para pejuang Islam perlulah melihat Ramadhan ini dari perspektif mengubah diri sendiri kepada yang lebih baik dari keadaan sebelum Ramadhan. Antara petanda amalan Ramadhan seseorang itu diterima oleh Allah Subhanahu wa ta’ala ialah seseorang itu berubah menjadi lebih baik daripada Ramadhan sebelumnya. Kalau sebelum ini, dirinya sudah ada sifat mujahadah dalam perjuangan, maka Ramadhan akan menambah sifat mujahadah yang ada dalam dirinya. Kalau sebelum Ramadhan, dia seorang yang kuat berdakwah, maka bulan Ramadhan akan mendidiknya menjadi orang yang lebih kuat lagi berdakwah. Kalau sebelum Ramadhan, seorang pejuang Islam itu komited dengan aktiviti jemaah dan program-program, maka selepas Ramadhan tahun ini, komitmennya berganda kerana Ramadhannya telah makbul disisi Allah. Begitulah kita melihat dari sudut positifnya. Memang kita tidak nafikan bahawa semua pejuang Islam yang ada sekarang ini komited dengan amal jama’ie nya. Dan Madrasah Ramadhan akan mengubah keadaannya lagi menjadi seorang yang lebih baik lagi.
Sebagaimana yang disebutkan di atas bahawa di antara tujuan Ramadhan ialah untuk melahirkan Pejuang Islam yang bertaqwa. Bekalan ini amatlah penting kepada pejuang Islam kerana sifat taqwa ini akan memberikan 3 impak kepada kita sebagaimana difirmankan tuhan dalam surah at-Talaq ayat 2,4 dan 5.
“Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya),” (At-Talaq;2)
“Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan baginya segala urusannya.”
(At-Talaq;4)
4“Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah menghapuskan kesalahan-kesalahannya, dan akan membesarkan pahala balasannya.”
(At-Talaq:5)
Kesimpulan daripada ayat-ayat diatas, Pejuang Islam yang berjaya dalam Ramadhannya akan:-
Sentiasa menemui jalan keluar dari segala perkara yang menyusahkannya.
Sentiasa dimudahkan baginya segala urusannya.
Akan dihapuskan segala kesalahannya dan dibesarkan pahala balasannya.
Hasil dari Ramadhan yang diterima oleh Allah, iman seseorang pejuang islam itu akan meningkat kerana sifat taqwa yang ada padanya telah menyelamatkannya dari azab mahsyar dan api neraka. Sebagaimana firman Allah:
“Dan peliharalah diri kamu dari huru-hara hari (kiamat) Yang padanya kamu akan dikembalikan kepada Allah. kemudian akan disempurnakan balasan tiap-tiap seorang menurut apa Yang telah diusahakannya,sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikitpun.” (Al-Baqarah; 281)
Bulan Ramadan adalah masa paling sesuai untuk mengorak langkah menjadi insan cemerlang dari sudut amalan, cara hidup, berpakaian, berinteraksi sesama manusia, kerana di dalamnya disediakan sukatan (silibus) yang terbaik daripada Allah SWT.
Justeru, walaupun Ramadan telah berlalu, pasti terdapat insan bergelar graduan cemerlang ketika meraih hadiah kecemerlangan pada malam konvokesyen (Aidilfitri) dengan persiapan yang mantap dari sudut kesediaan sambutan yang diredai Allah SWT.
Iaitu sambutan menghidupkan malamnya dengan bertakbir, bertahmid, bertasbih, bertahlil, membaca al-Quran, berqiayamullail, ia bertujuan untuk menghidupkan hati manusia pada hari di mana Allah matikan hati mereka iaitu pada hari kiamat, ia bertepatan dengan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Sesiapa yang menghidupkan dua malam hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri), maka hatinya tidak akan mati pada hari Allah matikan hati-hati manusia (akhirat)."
Justeru, Allah SWT akan mempersoal hati manusia ketika dia datang bertemu dengan-Nya pada hari kiamat mengenai apa dilakukan semasa di dunia. Hal ini ditegaskan Allah menerusi ayat 36 surah al-Isra’
“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.”
(Al-Isra’;36)
Ini kerana hati manusia ibarat seorang raja yang boleh mengeluarkan arahan terhadap bala tenteranya. Dia boleh bertindak untuk menerus atau memberhentikan sesuatu peperangan jika dia melihatnya tidak memberi apa-apa keuntungan.
Baginda s.a.w. menganggapnya sebagai perkara yang utama dalam diri manusia, jika ia baik, maka baiklah seluruhnya anggota manusia, tetapi jika sebaliknya ia jahat, maka jahatlah seluruh anggotanya, itulah hati manusia. (Maksud sebahagian hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)
Paling penting, setiap Muslim perlu mencari jalan bagaimana mereka dapat meluruskan hati mereka daripada terkena virus penyakit berbahaya yang boleh mencacatkan hubungan mereka dengan Allah pada hari kiamat.
Ini kerana sesungguhnya hati yang hidup itu akan menikmati kebahagian seperti di bawah ini:
* Hidupnya hati adalah menjadi pokok pangkal hidupnya iman.
* Hidupnya hati adalah pokok pangkal hidupnya akhlaqul karimah.
* Hidupnya hati adalah pokok pangkal sebab dapatnya menerima hidayah Allah.
Allah SWT telah mengingatkan kita sebagai hamba-Nya agar membawa hati kita untuk bertemu-Nya pada hari kiamat dengan hati yang sejahtera.
Ini ia dirakam menerusi ayat 88-89 surah as-Syu'araa yang bermaksud: "Iaitu pada hari di mana harta dan anak-anak tidak berguna. Melainkan mereka yang menghadap Allah dengan hati yang bersih (sejahtera)." Iaitu sejahtera, bersih dan selamat daripada penglibatan dalam perkara syirik, nifaq atau tidak mempercayai akan kebesaran Allah SWT.
Bagi para pejuang Islam, selain bergelumang dengan gerak kerja amal luaran, perlulah mendidik hati ini agar sentiasa berdampingan dengan Allah. Maka Ramadhan ini merupakan suatu titik tolak yanga amat baik ke arah perkara tersebut.
Dinukilkan daripada penulisan Imam Hassan Al-Banna di dalam salah sebuah penulisannya yang bertajuk “Madrasah Tarbiyah”.
“Demikian pula orang yang tetap berada di atas Sunnah ini di waktu ia berada di medan jihad. Nabi SAW bersabda yang ertinya:
"Barangsiapa berpuasa satu hari fi sabilillah, maka Allah akan menjauhkan mukanya dari api neraka pada ari itu sejauh tujuh puluh kharif)" (Hadith riwayat Bukhari dan lainnya).
Seorang anggota Ikhwanul Muslimin yang ikut berperang terkena tembakan pada hari dia sedang berpuasa. Pada saat ia sedang sakarat dibawakan kepadanya segelas air, lalu dia berkata: "Biarkanlah saya, saya ingin menemui Tuhan dalam keadaan berpuasa."
Namun, kita perlulah berasa di dalam hati kita akan bahayanya seandainya amalan dan susah payah yang kita kerjakan di bulan Ramadhan ini tidak diterima oleh Allah subhanhu wa taala.
"Berapa ramai orang yang mengerjakan sembahyang, habuan yang ia terima hanyalah penat dan lelah. (Hadis Riwayat Al-Nasa'i)
"Berapa ramai orang yang berpuasa, ia tidak memperolehi apa-apa ganjaran
kecuali lapar dan dahaga. (An-Nasa’I dan Ibn Majah daripada Abu Hurairah)
As-Syeikh Abdullah Nasih Ulwan ada menukilkan di dalam kitabnya “Menuju Ketaqwaan” bahawa para pejuang Islam perlulah menyuburkan hatinya dengan ingatan kepada Allah setiap masa dan ketika. Selain dari amalan berpuasa di bulan Ramadhan, kedapatan juga anjuran untuk ketaqwaan dengan amalan puasa sunat. Ikutilah petikan saranan beliau,
“Saudara hendaklah sentiasa merasai diri saudara berada di bawah pengawasan Allah s.w.t, mengingati hari akhirat dan bersedia untuk ke sana dan hendaklah saudara mempertingkatkan perjalanan hidup sehari-hari satu peringkat ke satu peringkat yang lebih tinggi dalam mendapatkan keredaan Allah dengan hemat dan keazaman yang kuat. Dekatkanlah diri saudara kepada Allah s.w.t dengan cara mengerjakan ibadat-ibadat sunat seperti sembahyang tahajud (di waktu malam), berpuasa sekurang-kurangnya tiga hari setiap bulan, memperbanyakkan zikir di dalam hati dan lidah dan berdoa dengan doa-doa yang ma'thur dalam setiap keadaan.
Dasar dalam membicarakan tentang kelebihan puasa sunat ini ialah apa yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Abi Said al-Khudri r.a daripada Nabi s.a.w bersabda:
“Tiada seorangpun yang berpuasa sehari di jalan Allah kecuali Allah akan menjauhkan wajahnya dengan hari itu daripada neraka tujuh puluh kharif.” (Muslim)
Puasa sunat itu mempunyai beberapa bahagian iaitu:
1. Puasa hari ‘Arafah.
Muslim meriwayatkan daripada Abi Qatadah bahawasanya Nabi s.a.w bersabda:
“Puasa pada hari ‘Arafah akan dikira oleh Allah s.w.t sebagai penebus dosa bagi tahun yang sebelumnya dan juga tahun selepasnya.”
2. Puasa pada hari ‘Asyura’ dan hari yang kesembilan dan hari yang kesepuluh daripada bulan Muharram.
Muslim meriwayatkan daripada Abi Qatadah:
“Puasa pada hari Asyura’ dikira oleh Allah s.w.t sebagai penebus dosa bagi tahun yang sebelumnya dan tahun yang selepasnya.”
Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w telah bersabda yang bermaksud:
“Puasalah kamu pada hari ‘Asyura’ dan berlainanlah kamu daripada kaum Yahudi, puasalah pada hari sebelumnya atau hari selepasnya.”
Berdasarkan riwayat-riwayat ini sah bagi orang yang berpuasa pada hari ‘Asyura’ itu berpuasa pada hari yang kesembilan atau hari yang kesebelas supaya berbeza daripada orang-orang Yahudi.
3. Puasa enam hari bulan Syawal.
Muslim meriwayatkan daripada Abi Ayub al-Ansari r.a bahawasanya Nabi s.a.w bersabda:
“Barangsiapa yang berpuasa bulan Ramadan, kemudian diikuti dengan enam hari daripada Syawal, maka dia dikira sebagai orang yang telah berpuasa sepanjang masa (setahun).
4. Puasa hari Al—Baidh.
Tarmizi meriwayatkan daripada Abi Zar r.a berkata: Rasulullah s.a.w bersabda:
“Jika engkau puasa tiga hari dalam sebulan maka puasalah pada tarikh 13, 14 dan 15 daripada bulan itu.”
Bulan yang dikehendaki di sini ialah bulan qamariah. Dinamakan hari
A1-baidh (hari putih) kerana bulan pada hari-hari ini sangat bercahaya dan
terang (putih).
5. Puasa hari Isnin dan Khamis.
Muslim meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w telah berpuasa pada dua hari yang tersebut, lalu ditanyakan tentang itu kepada baginda s.a.w, baginda bersabda.
“Asal perbuatan itu diperiksa pada tiap-tiap hari Isnin dan Khamis,maka aku suka diperiksa amalku sedang (ketika) aku berpuasa.
6. Puasa sehari dan berbuka sehari.
Iaitu puasa Nabi Daud a.s, sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Bukhari daripada Abdullah bin Umar r.a bahawasanya Nabi s.a.w bersabda:
“Hendaklah kamu berpuasa sehari dan berbuka sehari, maka itu adalah merupakan puasa Nabi Daud a.s di mana ianya merupakan seafdal-afdal puasa.”
Selain daripada itu para pendakwah juga boleh berpuasa pada hari-hari dan bulan-bulan yang ditetapkan puasanya oleh Sunnah Nabawiyyah.Puasa merupakan ibadat yang dapat melatih seorang mukmin untuk bersifat ikhlas dan menjauhkan dirinya daripada riak kerana orang yang berpuasa sunat tidak diketahui puasanya itu kecuali Allah sahaja. Dan Allah s.w.t sahajalah yang akan memberikan ganjaran pahala kepada orang-orang yang berpuasa dengan balasan yang sepatutnya daripada balasan-balasan pahala.
“Puasa menyebabkan orang kaya dapat memahami penderitaan orang miskin, lalu menyemai kasih sayang dan mahabbah antara mereka yang seterusnya memperkukuh kesatuan jamaah.” – Method Pemikiran Hassan Al Banna
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment