“Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang Dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya).”
(Al-Hujurat;15)
“Ukhuwwah” (persaudaraan Islam) ahli-ahli parti dan penyokongnya di semua peringkat laksana batu-bata yang berselerak dan perlu diikat dengan teguh dan kuat dengan hubungan yang erat di antara satu sama lain. Bagi menunjukkan betapa perlunya persaudaraan ini, maka Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam menjadikan di antara perkara pertama ketika hijrah ialah mempersaudarakan di kalangan Muhajirin dan Ansar. Melalui hubungan persaudaraan ini, maka keteguhan saf di dalam perjuangan Islam itu dapat diwujudkan. Firman Allah s.w.t.,
“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela ugamaNya, Dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.”
(As-Saff:4)
Sebarang kekosongan yang memutuskan saf nescaya dicelah oleh syaitan yang dapat menjejaskan jentera parti dan perjalanannya. Kegiatan usrah sepertimana yang penulis terangkan sebelum ini adalah sebahagian daripada langkah mengeratkan persaudaraan, kerana perkataan usrah yang bermakna keluarga itu adalah lebih bertujuan untuk menjalinkan hubungan dan menyelesaikan masalah secara kekeluarga, adapun penekanan ilmu lebih ditumpukan dalam majlisnya sendiri iaitu majlis-majlis ilmu yang dianjurkan oleh parti, begitu juga dengan kerja-kerja kebajikan di kalangan ahli-ahli parti yang mewujudkan berlakunya tolong menolong di antara satu sama lain. Demikian juga sebarang perhimpunan dianjurkan oleh parti dengan meyusun petugas-petugasnya dapat menjalinkan tolong- menolong yang mengeratkan persaudaraan.
Justeru itu, Parti Islam Se Malaysia (PAS) hendaklah tetap dengan identitinya disamping berkewajipan pula menyatu dan meningkatkan lagi perpaduan di kalangan ahli dan penyokong-penyokongnya. Dengan kesepaduan sokongan daripada ahli-ahli dan penyokong, PAS bukan sahaja mampu menghadapi lawan dengan mudah, malah boleh mengerunkan pula mereka. Untuk mengekal dan meningkatkan perpaduan, semua ahli dan penyokong-penyokong PAS bermula dari peringkat pimpinan atas hinggalah kepada ahli-ahli biasa hendaklah sentiasa patuh dan taat kepada setiap arahan jamaah walaupun arahan- arahan itu berat dirasai. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Menjadi kewajipan atas setiap Muslim mendengar dan mematuhi sama ada dalam perkara yang ia suka atau tidak suka”.
Perlu ditegaskan bahawa PAS mempunyai syakhsiyahnya tersendiri dan ia bergerak serta berjuang mengikut peraturan dan khittah parti. Apa yang PAS lakukan adalah kesinambungan kepada apa yang pernah dilakukan oleh para pemimpin yang terdahulu.
Sebagai jamaah yang mempunyai sikap dan syakhsiyahnya, perjuangan PAS tidak mungkin boleh dijual beli. Atas sebab-sebab itu maka PAS, tidak boleh bertolak ansur dengan mana-mana pihak sekiranya ia boleh menjejaskan dasar dan syakhsiyah PAS. Sungguhpun demikian, PAS tetap mengamalkan sikap terbuka. PAS sedia berunding dan berbincang dengan sesiapa sahaja demi kebaikan ummah sama ada dari dalam atau luar negara. PAS bukanlah sebuah gerakan yang memencilkan diri seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak. Di dalam negara, PAS telah bekerjasama dengan parti Melayu Semangat 46, Berjasa dan Hamim bagi membentuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU). PAS bekerjasama dengan parti-parti ini kerana mereka menghormati dasar perjuangan PAS. Sebaliknya PAS tidak dapat bekerjasama dengan UMNO dan seumpamanya yang tidak dapat menerima dan menghormati dasar PAS. Sementara diperingkat antarabangsa pula, PAS mempunyai hubungan yang baik dengan beberapa gerakan lslam, dan hubungan ini begitu rapat sekali. PAS bersama gerakan tersebut (lslam) adalah kerana mereka memiliki dasar dan aspirasi matlamat yang sama dengan perjuangan PAS. PAS juga sentiasa bersama-sama dengan umat lslam di manamana sahaja, terutamanya mereka yang ditindas, didera dan dizalimi. PAS pernah menyokong umat lslam di lran kerana PAS yakin mereka dizalimi. PAS juga bersama umat lslam di lraq dalam menghadapi pakatan jahat Amerika dan sekutu-sekutunya dahulu. Komitmen PAS terhadap perjuangan umat lslam Palestin, Kashmir, Bosnia-Herzegovina, lndia, Rohingya, Moro Filipina, Afghanistan, Chechen dan lain-lain tetap tinggi, malah semakin meningkat. Apa yang PAS lakukan adalah berdasarkan kepada ajaran lslam itu sendiri, di mana Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Tidak beriman di antara kamu sehingga ia mengasihi saudaranya seperti mana ia mengasihi dirinya sendiri”
Dan Allah juga berfirman,
“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”
(Al-Hujurat;10)
Jangkauan ukhuwwah kita sebagai ahli gerakan Islam bukan hanya terbatas kepada sesama ahli tetapi melampaui ke segenap pelosok dunia. Selagimana namanya Muslim dan Mukmin, maka kita adalah sama-sama bersaudara tanpa mengira warna kulit baik putih, kuning, hitam, coklat dan sebagainya.
Ukhuwwah dan PAS Permatang Pauh
Menyedari peri pentingnya akan ukhuwwah di dalam mendokong perjuangan Islam dimuka bumi Allah ini, maka berkewajipanlah kepada semua ahli khususnya para pimpinan untuk kita sama-sama menggembling tenaga kearah penyatuan ukhuwwah di kalangan ahli kita. Ini semua amat penting kerana kita ingin membina kekuatan yang padu kerana hanya dengan kekuatan ukhuwwah Islamiyah sahajalah yang akan menjamin kejayaan kita ke arah kewujudan Daulah Islamiyah.
Maka, kita perlulah mengatur program-program ke arah penyatuan ukhuwwah di kalangan kita. Program santai seperti Hari Keluarga, Perkelahan Ahli, Sukan, Unit Amal dan pelbagai aktiviti ukhuwwah perlulah di perbanyakkan.
Sesungguhnya PAS adalah sebuah gerakan Islam. Maka kekuatan dalaman perlu dimantapkan dahulu disamping keterlibatan kita dalam persada politik negara. Janganlah kita sibuk-sibuk dengan urusan pentadbiran tetapi melupakan perkara asas dalam kekuatan jamaah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment