Muqaddimah “Diari Haji”


DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI
Alhamdulillah, syukur hamba yang faqir ini kepada Allah yang Maha Kaya. Dialah Allah yang menciptakan alam ini. Dialah Allah yang Maha Pencipta bumi dan langit, bukit bukau dan tanah lapang, bulan dan matahari, siang dan malam, ibu dan ayah. Dialah Allah yang menciptakan bumi, Jupiter, Marikh, Musytari, Pluto dan Matahari. Dialah Allah Yang Maha Agung yang telah menciptakan kita yang hina ini. Selawat dan Salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam yang telah mengajarkan kita erti kehidupan yang sebenar. Bagindalah sebaik-baik penterjemah wahyu ilahi. Baginda telah mengajari kita Al-Quran dalam bentuk lisan dan juga penterjemahan fizikal dan tindakan. Cinta baginda kepada ummat melebihi kasih dan sayang kepada isteri dan anak-anaknya sendiri. Pengorbanan baginda sampai kepada kemuncak pengorbanan hatta jiwa dan raga sekalipun sanggup dipertaruhkan demi menegakkan kedaulatan Islam di atas muka bumi ini. Allahumma solli ala Muhammad wa ala alihi wasohbihi ajma'in. Pengembaraan adalah hikmah. Pengembaraan merupakan suatu pengalaman yang bisa menjadi guru kita. Adakalanya guru pengembaraan itu berupa ilham dari Allah Yang Maha Alim, ataupun guru yang membekalkan kita dengan pengalaman, kesusahan atau kesenangan. Kalau tidak, masakan Tuhan memasukkan dalam senarai yang Allah membeli daripada mereka jiwa dan harta mereka dalam syurga orang-orang yang mengembara.

Allah Berfirman, “Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (balasan syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.(Mereka itu ialah): orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji Allah, yang mengembara (untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam), yang rukuk, yang sujud, yang menyuruh berbuat kebaikan dan yang melarang daripada kejahatan, serta yang menjaga batas-batas hukum Allah. dan gembirakanlah orang-orang yang beriman (yang bersifat demikian). (At Taubah;111-112)

Selain daripada orang yang mengembara, perkataan “ As-Sa’ihun” ini ditafsirkan juga di dalam tafsir Al-Baghawi sebagai orang yang berpuasa sebagaimana tafsiran Ibnu Mas’ud dan juga Ibnu Abbas Radhiyallahu’anhuma. Menurut Sufyan bin Uyainah,perkataan “ As-Sa’ihun” yang maksud asalnya mengembara ditujukan kepada orang yang juga berpuasa kerana orang yang berpuasa ini meninggalkan makan, minum dan bersetubuh seumpama orang yang mengembara. Menurut ‘Atho’, bermakna orang yang berperang dijalan Allah. Menurut Ikrimah pula, ianya bermakna menuntut ilmu dijalan Allah.
Walau bagaimanapun, kita yakin bahawa pengembaraan atau perlancongan atau berjalan-jalan itu banyak faedahnya. Antaranya ialah:-

1. Menambah pengalaman.

2. Menambah ilmu pengetahuan.

3. Menjadikan diri menjadi lebih matang.

4. Mengeratkan hubungan sesama teman-teman yang keluar mengembara sekali.

5. Meningkatkan keimanan apabila melihat kebesaran ciptaan Allah.

6. Menambah kegerunan kepada azab Allah apabila melihat tempat-tempat yang pernah dimusnahkan Allah.

7. Mendekatkan diri kepada Allah kerana melihat ayat-ayat Allah dalam bentuk fizikal.

8. Dan banyak lagi yang kita boleh fikirkan.

Allah juga telah menuntun kita tentang fadhilat mengembara ini melalui ayat-ayatnya seperti dibawah:-
“Bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya - Dengan melihat kesan-kesan yang tersebut - mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.” (Al-Haj : 46)


“Tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara di muka bumi, serta memerhatikan Bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu dari mereka? Orang-orang itu lebih kuat daripada mereka sendiri, dan orang-orang itu telah meneroka bumi serta memakmurkannya lebih daripada kemakmuran yang dilakukan oleh mereka, dan orang-orang itu juga telah didatangi oleh Rasul-rasulNya Dengan membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata (lalu mereka mendustakannya dan kesudahannya mereka dibinasakan). Dengan yang demikian, maka Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.” (Ar-Ruum:9)

Terasa cukup kerdil diri ini ketika detik hati memaksa jari jemari menaip 'keyboard' untuk menghasilkan penulisan yang tidak seberapa ini. Namun kerana sifat cemburu yang ada di dalam hati ini tatkala membaca kitab-kitab agung karangan ulama-ulama, diri ini berasa juga untuk memberikan sedikit sumbangan kepada bidang penulisan.
Sudah menjadi kebiasaan penulis sejak menuntut di sekolah lagi untuk membuat catatan harian bagi peristiwa-peristiwa besar dalam kehidupan ini. Tambahan pula pada masa kini, telefon bimbit PDA banyak membantu. Dimana-mana sahaja, kita boleh menaip dan mengarang. Kalau dahulu, penulisan menggunakan batu sebagai medium, berkembang kepada pelepah kurma,kemudian penggunaan kertas dan dakwat, kemudian berkembang lagi dengan mesin taip, seterusnya komputer yang pelbagai fungsi dan kelajuan dan kini dengan teknologi PDA pula.
Catatan harian semasa melaksanakan kerja haji pada tahun 2003 amatlah bermakna bagi penulis kerana selain ia mengandungi seribu satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan, penulis merasakan bahawa setiap detik, penulis sedang ditarbiyah oleh pemilik dua tanah suci itu. Maka, perasaan ini meronta-ronta memaksa diri ini untuk mengabadikan peristiwa-peristiwa yang telah berlaku sepanjang tempoh tersebut untuk dikongsi sesama sidang pembaca sekalian. Sudi-sudikanlah membaca catatan ini. Semoga ada manfaatnya dan seandainya ada salah dan silap, mohon diperbetulkan. Buat akhirnya, penulis memohon kepada Allahu subhanahu wa ta'ala agar dijauhkan diri ini dari penyakit riyak dan sum'ah yang boleh merosakkan amalan yang tidak seberapa ini.
-Wan Ahmad Rafaei IbnurRasheed-2008

Khamis, 23 Januari 2003 – Malam Pertamaku


Selepas solat Isyak berjemaah, aku mula mengemas barang-barang sebagai persiapan ke Tanah Suci. Hanya dua beg yang aku bawa, maklumlah orang bujang. Letih semalam masih lagi terasa kerana terpaksa berjalan jauh. Subhanallah 3 hari berturut-turut bermusafir, manakan tidak berasa letih badan ini. Semalam,iaitu hari Rabu, aku terpaksa bermusafir dari Ipoh ke Kelantan untuk menziarahi jenazah Tok Mek yang tersayang yang baru sahaja menghembuskan nafasnya yang terakhir. Pagi tadi pula, terpaksa bermusafir pulang dari Kelantan ke Kuala Lumpur. Agak penatlah juga. I think this is the beginnning for my journey to Mecca. I‟m sure that there will be greater events awaiting me in near future. Mungkin ini sebagai muqaddimah untukku dan pastinya banyak lagi peristiwa yang akan bakal menantiku sepanjang perjalananku ke Mekah nanti. Moga-moga Allah mudahkan urusanku Amiin.

Jumaat, 24 Januari 2003 – Pertama kali menjejakkan kaki di Masjidil Haram


Lebih kurang jam 2:00pagi, kaunter untuk KT74 telah dibuka untuk pendaftaran. Beg dan tag telah diagih-agihkan kepada semua bakal tetamu Allah atau dalam bahasa istilah orang-orang Tabung Haji “Dhuyuufur Rahmaan”.
Lebih kurang jam 3:00pagi, aku mengenakan pakaian ihramku dan semua bakal tetamu Allah mendaftar masuk. Kami semua telah diberikan taklimat terakhir oleh Pengarah Tabung Haji Wilayah sebagai persediaan terakhir untuk kami semua untuk memastikan agar perjalanan kami berjalan lancar.Jam 5:00pagi, bas bertolak ke KLIA dari Kelana Jaya tempat kami berkumpul tadi. Alhamdulillah setakat ini, semuanya berjalan lancar. Sepanjang perjalanan, aku hanya melelapkan mata kerana terlalu letih. Apabila kami tiba di KLIA, kicauan burung menyambut kami dengan iringan azan subuh. Selesai menunaikan rukun Islam kedua itu, kami check-in dan tepat jam 8:00pagi, pesawat pun mula meninggalkan landasan menuju ke angkasa. Perjalanan selama 8 jam itu dimanfaatkan sepenuhnya olehku untuk berehat memejamkan mata sebagai mengganti penat lelahku selama beberapa hari ini kerana menguruskan jenazah Tok Mek ku di kampung.
5:30 petang waktu Malaysia, kami tiba di Jeddah. Agak sukar bagiku menyatakan perasaanku ketika ini. Rasa tak sabar lagi untukku menjejakkan kaki ini ke Masjidil Haram untuk menatap Baitullah. Pasti banyak yang telah berubah berbanding 9 tahun yang lalu. Dulu, pada tahun 1994, aku pernah berkunjung kesini dengan mama dan abahku. Waktu itu aku rasa aku masih belum matang lagi. Datang kesini pun, mungkin hanya sekadar kunjungan biasa, tetapi kali ini, aku datang dengan penuh harapan agar Allah menerima pengorbananku dan memberikan taufiq dan hidayahnya kepadaku sebagai bekalan dalam perjalanan dakwah yang aku galas ini. 8
Di Jeddah, kami mengambil masa sekitar 5 jam untuk proses immigration, check-out, solat dan makan tengahari sebelum kami bertolak ke Mekah. Sementara menunggu di Jeddah itu, aku telah bertemu 3 orang sahabat-sahabat jemaah tabligh dan kami berkenalan dan bertegur sapa. Mungkin mereka menyangka yang aku ini juga „karkun‟ seperti mereka kerana rupa parasku yang seakan-akan mereka dengan janggut panjang dan misai yang bercukur. Wallahu‟alam. Kami amat mesra sekali. Dan dengan taqdir Allah jualah, kami menaiki bas yang sama ke Mekah dan akan mendiami bilik yang sama di Mekah nanti.. Subhanallah, begitu sekali perancangan Allah. Dan lagi, dalam bas, aku tertidur lagi kerana keletihan..MasyaAllah letih sungguh perjalanan ini. 7:00 petang, tiba di Mekah. Perjalanan sejauh 75km ini terasa singkat kerana aku hanya menidurkan diriku sepanjang perjalanan. Disana, kami dihantar ke hotel tempat kami akan menginap, Habibah Hotel, bertentangan dengan Al-Jiyad Mecca Hotel. Ianya terletak dalam jarak lebih kurang 550m dari Masjidil Haram, Pintu No 1, King Abdul Aziz. Dihotel, kami makan malam, solat Maghrib, Solat Isyak dan taklimat ringkas berkenaan program kita pada malam ini. Oleh kerana aku telah masuk ke Mekah melalui miqat dengan niat untuk melakukan umrah, ini bermakna, aku akan melakukan Haji Tamattu‟ dan jadual untuk tawaf dan saei pada malam ini ialah pada jam 12:00 tengah malam. Tepat jam 12:00 tengah malam, kami seramai 400 orang jemaah bergerak dari hotel menuju ke Masjidil Haram untuk melakukan tawaf umrah dan saei. Mereka menyarankan agar kita lakukan semua itu secara berjemaah, namun, aku bercadang untuk melakukannya sendirian agar lebih khusyuk dan lebih fokus lagi. Subhanallah, suasananya begitu mengasyikkan bilamana wajahku yang penuh hina ini menatap kaabah, rumah Allah. Terasa seperti ingin mengalir air mataku, namun mungkin kerana diri ini yang penuh dosa, ianya menjadi pendinding antara hatiku dan Dia. Mungkin tarbiyah hari yang bakal mendatang ini akan menyucikan hati yang sudah lama berkarat ini. Tidak ramai orang yang ada disitu, mungkin kerana hari telah larut malam. Amat sukar untukku menceritakan bagaimana gembiranya perasaanku tatkala melihat kaabah..Alhamdulillah aku bersyukur kerana masih berpeluang lagi untuk menjejakkan kaki ke bumi kelahiran Nabi Muhammad Sallallahu‟alaihi wasallam ini.

Sabtu, 25 Januari 2003 – Teman Sebilikku


Selepas selesai bertahalul, aku bercadang untuk beriktikaf di Masjid hingga ke fajar. Sambil menunggu waktu fajar, aku tersengguk-sengguk kerana terlalu mengantuk. Aku melipat kain ihramku untuk dijadikan bantal dan melepaskan hajat mataku yang sudah tidak tertahan lagi.
7:30 pagi, selepas selesai menunaikan solat sunat isyraq, aku balik ke hotel semula untuk bersarapan. Alhamdulillah, nasi lemak yang menjadi juadah kami pada pagi itu amatlah menyenangkan. Aku makan sampai dua pinggan.
Oh ya, lupa untukku memperkenalkan teman sebilikku. Bilik kami yang sempit ini didiami oleh 5 orang jejaka; Adnan, Pakcik Mohammad dan Cikgu Amir dari Pahang, Rafid dari Johor dan aku. Bilik yang disediakan untuk kami memang cukup-cukup untuk tidur dan bersalin pakaian sahaja. Itupun terpaksa dibuat diatas katil..heh..heh.. Walau bagaimana pun, aku bersyukur atas apa yang ada. Mungkin disana ada orang lain yang lebih payah.
Sebentar tadi, sebelum Zohor, Adnan dan Amir memberitahuku yang mereka bertemu dengan seorang Ustaz daripada Indonesia yang telah menetap di Mekah selama 19 tahun. Dia menjemput kami semua ke suatu halaqah atau majlis ilmu pada esok hari selepas Asar. Aku menyatakan persetujuanku untuk program pada esok hari dengan harapan agar dapat menambah sedikit sebanyak ilmu didada. Antara Zohor dan Isyak, aku menghabiskan waktuku di Masjid. Alhamdulillah, suasana yang cukup tenang ini banyak membantuku untuk memulihkan sedikit hafazanku terhadap ayat-ayat Allah yang pernah aku hafal dulu. Aku belek kembali surah-surah yang pernah aku hafal suatu ketika dahulu tetapi agak tergagap-gagap sedikit kerana telah lama tidak diulangkaji.
Selesai solat Isyak, baru aku pulang ke hotel. Itu pun kerana hendak mengisi perut yang sudah berkeroncong. Sesudah menunaikan keperluan perut, aku kembali ke Masjid Haram untuk sambung iktikaf. Lama juga aku berpusing-pusing di sekitar Masjidil Haram untuk cari tempat yang sesuai untuk „landing‟. Masa pun sudah lewat untuk aku berjaga. Selepas berjumpa tempat 10
yang sesuai di tempat berhawa dingin di tingkat kedua, aku pun mula melelapkan mataku. Tepat jam 12:00 tengah malam, aku bangkit untuk tahajud dan bacaan Quran. Jam 2:00pagi, sambung tidur kembali kerana tidak tahan mengantuk. Jam 4:00 pagi ,aku bangkit kembali untuk tahajud dan mengulangkaji sedikit hafalan.

Ahad, 26 Januari 2003 – Mubaiyyin oleh Syeikh Pattani


Selepas solat subuh berjemaah dengan Imam Shuraim, aku sambung iktikaf didepan Kaabah sementara menanti waktu Syuroq. Sambil-sambil membaca Al-Quran dihadapan Kaabah itu, tiba-tiba mataku tertarik kepada sepasang suami isteri yang aku rasa mengenali mereka. Subhaanallah, Abg Hashim Al-Australi dan isterinya, Kak Jah. Rupa-rupanya mereka juga datang untuk menunaikan haji pada musim ini. Mereka datang dengan rombongan Syeikh Mu‟taz dari Australia. MasyaAllah, aku sungguh seronok mendengar cerita mereka bahawa dalam jemaah mereka juga ada beberapa sahabat-sahabatku yang pernah aku kenali mereka sewaktu belajar di Australia dahulu. Aku mohon kepada Allah agar aku akan dipertemukan dengan mereka terutamanya sahabat karibku dari Thailand, Yusuf Waedaramae. Selepas Syuroq, aku berlegar-legar di luar Masjid. Seleraku mula melonjak untuk mencari kebab arab. Dahulu pada tahun 1994,sewaktu berkunjung kesini kira-kira 9 tahun yang lalu untuk menunaikan umrah, makanan ini merupakan yang paling aku gemari. Hampir setiap hari aku menjadikannya sebagai juadah. Setelah berjumpa apa yang dicari, aku pulang ke hotel. Aku bercadang untuk menelefon mama dan abah di Malaysia untuk „melaporkan‟ keadaanku disini, maklumlah anak manja. “Assalamualaikum”. “Waalaikumussalam”. “ Mama apa khabar?”tanyaku. “ Alhamdulillah, sihat. Macam mana disana? Semua OK ke?” “Alhamdulillah mama, kat sini semua OK aje. Abang Ei seronok datang sini, dapat tengok Kaabah, Masjidil Haram, buat amal ibadah sikit. Abang Ei berjaga malam, tidur siang.” Begitulah lebih kurang celotehku dengan mama. Aku doakan agar mama dan abah diampunkan oleh Allah dan dikasihani Allah sebagaimana mereka mengasihaniku sewaktu aku masih kecil. Selepas Solat Asar seperti yang dijanjikan semalam, kami bertiga pergi menemui Ustaz ini yang katanya telah menetap disini selama 19 tahun lamanya.Sementara menanti ustaz ini, datang tiga orang lagi untuk menyertai program kami pada hari ini. Ustaz Shariffuddin namanya. Setelah berborak panjang, rupanya bukan 19 tahun dia menetap disini tetapi, menurutnya dia telah berada disini selama 26 tahun tetapi bekerja menguruskan jemaah haji selama 19 tahun. Ustaz yang agak berumur ini kelihatan warak sekali dengan janggut putih dan serban yang terikat kemas. Menurutnya lagi, kita masih lagi menunggu beberapa orang yang lain untuk menyertai kita. InsyaAllah tidak lama lagi, akan ada lagi yang akan menyusul. Tiba-tiba orang yang kami tunggu itu rupa-rupanya beberapa orang yang pernah aku kenali semasa menuntut di Australia dahulu iaitu Syeikh Idris, Syeikh Abu Bakar, Solihin dan beberapa sahabat-sahabat jamaah tabligh yang pernah aku kenali dahulu. “Subhanallah, what a very small world”. Sungguh aku tidak menyangka, dalam keadaan ummat manusia yang hampir 3 juta itu, masih lagi kami berpeluang untuk bertemu. Sememangnya ini semua adalah taqdir daripada Allah Subhanahu wa Taala.Kami berdakapan erat buat beberapa ketika sebagai tanda melepaskan kerinduan selepas hampir dua tahun terpisah diantara dua benua. 12
Kemudian, Ustaz Shariffuddin membawa kami semua ke sebuah rumah seorang „ikhwah‟ tempatan. Subhanallah rumahnya sungguh besar bagaikan istana. “Hebat juga rumah pak arab ini,” detik hatiku. Dimuka pintu rumah tersebut, kami disambut oleh seorang lelaki separuh umur yang berwajah Melayu. Aku sungguh tidak menyangka bahawa tuan istana tersebut adalah seorang Melayu yang berasal daripada Pattani, Thailand. Kami dijamu dengan keropok dan teh panas. Selesai solat Maghrib secara berjemaah, kami mendengar ceramah atau dalam istilah kami „bayan‟ selama beberapa minit oleh seorang syeikh yang juga orang Pattani. Dia sudah lama menetap di Mekah ini, namun bahasa Pattaninya masih lagi fasih dibibir. Yang aku kagumi ialah, bahasa pertuturan tersebut juga digunakan dengan fasih oleh anak-anak mereka yang lahir di sini. Nampaknya, mereka masih lagi mengekalkan bahasa ibunda mereka walaupun jauh diperantauan, subhanallah. „Bayan‟ tersebut adalah tentang perjuangan baginda Nabi Sallalahualaihiwasallam di Mekah sewaktu musim haji. Sebelum Islam tersebar luas, Mekah sudah menjadi tempat tumpuan masyarakat Arab. Ramai yang datang berkunjung ke Mekah sewaktu musim haji dengan ibadah cara mereka yang tersendiri. Di waktu itu, Kaabah dikelilingi oleh beratus-ratus berhala yang pelbagai rupa. Masyarakat jahiliyah datang dari seluruh pelosok negeri untuk menyembah dan berkorban disitu. Namun, dengan kebijaksanaan junjungan besar Nabi Muhammad, baginda mengambil peluang itu untuk berdakwah kepada kaum-kaum tertentu ke arah mentauhidkan Allah. Nabi menuju dari khemah ke khemah untuk mengajak manusia dengan kata-kata baginda , “Siapa yang ingin mentauhidkan Allah? Marilah kita beriman kepada Allah.” Didalam bayan itu juga, mubaiyyin (orang yang memberi ceramah/bayan) itu menyebutkan bahawa dalam Hajjatul Wida, ketika penghujung perjuangan Nabi Muhammad Sallalahualaihiwasallam, baginda juga berkunjung dari khemah ke khemah. Tetapi pada waktu itu suasananya lain kerana yang berkunjung ke situ semuanya adalah Muslim. Makan kata-kata baginda pada waktu itu ialah, “ Siapa yang ingin bersamaku mengajak manusia lain mentauhidkan Allah? Marilah kita ajak manusia sekaliannya beriman kepada Allah.” Musim haji ini adalah peluang yang amat baik untuk kita menjalankan usaha dakwah, mengajak manusia kearah mentauhidkan Allah dan kearah pengamalan Islam. Ini adalah kerana disinilah manusia seluruh dunia berkumpul. Kita tidak perlu susah-susah untuk berziarah untuk berdakwah dari negeri ke negeri kerana disinilah kita boleh bertemu orang dari seluruh dunia. Kita tidak perlu pergi mengelilingi dunia kerana dunia telah datang berkumpul dekat dengan kita. Maka kita sebagai daei ilallah (penyeru ke arah jalan Allah), perlulah mengambil peluang ini untuk berdakwah kepada semua individu semampu mungkin. Dengan harapan agar bilamana mereka pulang ke kampung halaman mereka nanti, mereka akan menyebar luaskan lagi usaha dakwah ini. Begitulah ujar penceramah itu dengan penuh semangat.
Penceramah itu menambah lagi bahawa perkara yang penting lagi di dalam kerja buat haji ini ialah falsafah yang terkandung di dalam segala perbuatan haji. Selain manasik haji seperti yang kita pelajari dalam kursus-kursus haji bersiri yang pernah kita lalui, kita juga perlu mengetahui dan menghayati falsafah dan pengajaran disebalik peristiwa-peristiwa haji. Bagaimanakah kita menghayati sejarah perjuangan rasul-rasul terdahulu? Bagaimanakah kita menginsafi diri kita yang banyak melakukan kesalahan ini? Bagaimanakah kita berusaha untuk merebut janji-janji 13
daripada Allah seperti pahala, syurga, bertemu dengan Allah dan syahid di jalan Allah? Itu antara persoalan yang perlu kita rungkaikan di sepanjang perjalanan menunaikan haji ini. Dan sebagai penutup, mubaiyyin memberikan peringatan bahawa dalam pekerjaan haji ini, elakkan daripada perkara-perkara duniawi. Kurangkan pemikiran kita daripada perkara-perkara yang boleh merosakkan haji. Kurangkan aktiviti-aktiviti seperti membeli belah berlebih-lebihan, „window shopping‟ dan „ tawaf kedai‟ yang mana perkara tersebut sedikit sebanyak boleh mensasarkan niat dan tujuan sebenar kita datang ke Mekah ini. Selesai bayan dan solat Isya berjemaah, kami dijamukan dengan sajian yang sangat istimewa oleh tuan rumah iaitu nasi briani kambing.

Isnin, 27 Januari 2003 – Umrah bersama rakan-rakan & kaifiyat tawaf


Jam 10;00 pagi, kami semua bangkit dari tidur yang lena selepas membuai mimpi. Pagi itu, kami bermesyuarat untuk aktiviti hari ini. Selepas melantik ketua/amir untuk hari ini, kami membaca sedikit buku ta‟alim tentang keutamaan haji dan dakwah. 5:00 petang selepas Asar, seperti yang diputuskan dalam mesyuarat pagi, kami berkumpul untuk melaksanakan umrah. Selepas mengenakan „uniform‟ umrah, iaitu pakaian ihram, aku bersama Cikgu Amir, Adnan dan Roslan menyewa sebuah teksi untuk ke Tan‟eem bagi melaksanakan niat umrah dan berihram di sana. Pemandu teksi kami adalah seorang pemuda yang berasal daripada India dan beliau juga adalah seorang „maulana‟ atau dalam istilah kita disini, ustaz. Lama juga kami berborak dalam bahasa yang agak-agak faham. Dia boleh berbahasa Ingeris campur Arab. Kami juga bolehlah sedikit-sedikit berbahasa Inggeris dan Arab. Perjalanan pergi balik yang mengambil masa lebih kurang setengah jam itu terisi jugalah dengan perbualan ukhuwwah itu. Sesampainya kami semula ke Mekah, azan maghrib sedang berkumandang. Suara azan muazzin Mekah itu amat menusuk kalbu. Kalau selama ini, kita hanya mendengarnya melalui corong-corong radio dan televisyen, kali ini kita dapat mendengarnya secara „life‟ dari tuan empunya diri. Selesai solat berjemaah Maghrib, aku menuju ke Kaabah untuk melaksanakan tawaf. MasyaAllah, ramai sungguh orang bersesak-sesak disini. Kalau hendak diikutkan hati, mahu sahaja aku tangguhkan dulu kerja tawaf ini kerana tidak tahan dengan keadaan orang yang terlalu ramai itu. Hampir kelemasan aku dibuatnya kerana orang ramai saling tolak menolak antara satu sama lain. Namun kerana memikirkan bahawa perjuangan Nabi Muhammad dalam melaksanakan dakwah dahulu lebih sukar lagi jalannya, aku menguatkan semangat untuk meneruskan tawaf walaupun suasana agak tidak mengizinkan. Sebelum ini, ada seorang ustaz pernah mengajariku tentang cara tawaf yang berkesan selain daripada cara doa yang diajar oleh pihak Tabung Haji dalam kursus-kursus haji bersiri. Perkara yang pertama sekali yang perlu kita buat ialah menumpukan perhatian kita kepada amalan tawaf ini. Dalam istilahnya ialah „tawajjuh‟. Kita bertawajjuh dengan amalan tawaf ini. Maka dengan penuh tawajjuh, kita berdoa seperti berikut pada setiap pusingan:-

1) Istighfar sambil mengenangkan dosa-dosa kita yang lalu.

2) Mohon Taufiq Hidayah

3) Mohon mati dalam Iman

4) Mohon dilepaskan dari azab kubur.

5) Mohon diselamatkan dari padang Mahsyar

6) Mohon lepas Titian Sirath

7) Mohon dimasukkan ke syurga

Alhamdulillah, apabila mengamalkan apa yang diajarkan itu, segala kerisauan telah hilang. Tiada lagi kerisauan tentang kesusahan, orang-orang yang menolak, orang ramai dan segala yang negatif. Aku hanya memikirkan tentang aku dengan Allah.. Aku hanya memikirkan tentang 7 perkara itu…subhanallah, moga-moga apa yang aku buat ini akan membentuk jiwa aku menjadi orang yang lebih teguh atau thabat dalam perjuangan. Perasaanku kini bukan bersama manusia yang bersesak-sesak tetapi merasakan kebersamaanku dengan Allah. Selesai tawaf, aku melaksanakan saei, namun hanya sempat menyempurnakan satu kali saei sahaja kerana waktu solat Isyak sudah semakin hampir. Baki 6 kali saei lagi, aku sambung selepas menunaikan solat Isyak.

Rabu, 29 Januari 2003 – Pengisian oleh Maulana Farouq


Selesai iktikaf di Masjid selepas Subuh, aku pulang ke bilik untuk mesyuarat harian bersama sahabat-sahabat dibilik. Mesyuarat kami memutuskan untuk membuat lawatan disekitar kawasan Tanah Haram.
Jam 9:00 pagi, aku bersama abang Adnan, Cikgu Amir, Rafid, pakcik Mohammad dan abang Roslan berhajat untuk menyewa minibas untuk program lawatan tersebut. Setelah membuat „survey‟, kami mendapati sebuah van mengenakan bayaran sebanyak SR150 bagi satu trip perjalanan. Van yang sepatutnya boleh memuatkan seramai 11 orang itu hanya disewa oleh kami berenam. Maknanya kami mengeluarkan SR25 seorang untuk lawatan tersebut. Pemandu van tersebut membawa kami menziarahi Jabal Thur, Arofah, Jabal Rahmah, Masjid Namirah, Mudzalifah, Mina dan Jabal Nur. Selesai ziarah, kami pulang semula ke hotel untuk beristirahat. Selepas Asar, aku bercadang untuk membuat tawaf sunat. Tapi kali ini aku hendak cuba bertawaf di tingkat dua masjid kerana dibawah sana, orang terlalu ramai membuat tawaf. Menurut perkiraanku, satu pusingan tawaf mengambil masa sekitar 7minit. Secara keseluruhannya 7 pusingan tawaf mengambil kira-kira 50 minit untuk selesai!! Selesai solat Maghrib, aku pulang ke hotel untuk menyempurnakan hak perut. Semasa sedang menikmati juadah malam itu, tiba-tiba seorang pemuda yang lagaknya seperti seorang „karkun‟(pendakwah tabligh) mendekatiku. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Rauf dan kami berbual-bual untuk saling mengenali antara satu sama lain. Di akhir perbicaraan, dia mengajakku ke rumah seorang orang alim di pinggir Kota Mekah. Kebetulan pula, aku tiada kekangan aktiviti pada malam ini, lalu aku menyatakan persetujuanku. Kami berjanji untuk bertemu berdekatan jam besar berhadapan pintu Malik Abdul Aziz. Sebagaimana yang dijanjikan, kami bertemu di tempat tersebut. Disana aku berkenalan dengan beberapa „karkun‟ Malaysia seperti Ustaz Abdul Ghani, Abdurrahman dan beberapa orang yang lain. Kami dibawa ke destinasi yang dituju oleh seorang pemuda Arab. Setibanya kami di kediaman Maulana Farouq, beliau sedang mengadakan kuliah dengan beberapa orang anak muda. Mungkin anak muridnya agaknya. Kami menunggu sebentar sementara beliau menghabiskan pengajarannya kepada anak-anak muda tersebut. Selesai kuliahnya, kami saling berkenalan. Maulana Farouq atau Syeikh Farouq adalah amir jemaah tabligh di Mekah. Beliau berasal daripada Pakistan dan telah lama menetap di Mekah atas urusan dakwah. Sambil berbual-bual, beliau memberikan sedikit nasihat kepada kami semua yang hadir. Beliau memulakan dengan sepotong ayat Al-Quran,
““Sesungguhnya Rumah Ibadat Yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah Yang di Makkah Yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.Di situ ada tanda-tanda keterangan Yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim. dan sesiapa Yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan Ibadat Haji Dengan mengunjungi Baitullah Iaitu sesiapa Yang mampu sampai kepadaNya. dan sesiapa Yang kufur (ingkarkan kewajipan Ibadat Haji itu), maka Sesungguhnya Allah Maha kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk. (Ali Imran; 96-97)

1. Berdasarkan ayat ini, Allah memaklumkan kepada kita bahawa Allah telah menjadikan Kaabah ini untuk dua perkara iaitu:-

a. Berkat

b. Hidayah


2. Haji adalah niat untuk mendapat keredhaan Allah.

3. Roh kepada ibadah haji ini ialah untuk mengingatkan kita kepada Padang Mahsyar sebagaimana firman Allah dalam Surah Al Baqarah, ayat 196-203,
“Dan sempurnakanlah Ibadat Haji dan Umrah kerana Allah; maka sekiranya kamu dikepong (dan dihalang daripada menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, maka kamu bolehlah bertahallul serta) sembelihlah Dam yang mudah didapati; dan janganlah kamu mencukur kepala kamu (untuk bertahallul), sebelum binatang Dam itu sampai (dan disembelih) di tempatnya. maka sesiapa di antara kamu sakit atau terdapat sesuatu yang menyakiti di kepalanya (lalu ia mencukur rambutnya), hendaklah ia membayar fidyah. Iaitu berpuasa, atau bersedekah, atau menyembelih Dam. Kemudian apabila kamu berada kembali Dalam keadaan aman, maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan Dengan mengerjakan Umrah, (dan terus menikmati kemudahan itu) hingga masa (mengerjakan) Ibadat Haji, (bolehlah ia melakukannya kemudian wajiblah ia) menyembelih Dam yang mudah didapati. kalau ia tidak dapat (mengadakan Dam), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari Dalam masa mengerjakan Haji dan tujuh hari lagi apabila kamu kembali (ke tempat masing-masing); semuanya itu sepuluh (hari) cukup sempurna. hukum ini ialah bagi orang yang tidak tinggal menetap (di sekitar) Masjid Al-Haraam (Makkah). dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan ketahuilah bahawasanya Allah Maha berat balasan seksaNya (terhadap orang-orang yang melanggar perintahNya). (Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) Ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, Dalam masa mengerjakan Ibadat Haji. dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal Dengan cukupnya kerana Sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah); dan bertaqwalah kepadaKu Wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).
Tidaklah menjadi salah, kamu mencari limpah kurnia dari Tuhan kamu (dengan meneruskan perniagaan ketika mengerjakan Haji). kemudian apabila kamu bertolak turun dari padang Arafah (menuju ke Muzdalifah) maka sebutlah nama Allah (dengan doa,"talbiah" dan tasbih) di tempat Masy'ar Al-Haraam (di Muzdalifah), dan ingatlah kepada Allah Dengan menyebutnya sebagaimana ia telah memberikan petunjuk hidayah kepadamu; dan Sesungguhnya kamu sebelum itu adalah dari golongan orang-orang yang salah jalan ibadatnya. Selain dari itu hendaklah kamu bertolak turun dari (Arafah) tempat bertolaknya orang ramai, dan beristighfarlah kamu kepada Allah (dengan memohon ampun), Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan Ibadat Haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkanNya) sebagaimana kamu dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan Dengan sebutan yang lebih lagi. Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami! berilah Kami kebaikan) di dunia". (orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat. Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah Kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah Kami dari azab neraka". Mereka itulah yang akan mendapat bahagian Yang baik dari apa Yang telah mereka usahakan; dan Allah amat cepat hitunganNya. Dan sebutlah kamu akan Allah (dengan takbir semasa mengerjakan Haji) Dalam beberapa hari yang tertentu bilangannya. kemudian sesiapa yang segera (meninggalkan Mina) pada hari yang kedua, maka ia tidaklah berdosa dan sesiapa yang melambatkan (meninggalkan Mina) maka ia juga tidaklah berdosa; (ketiadaan dosa itu ialah) bagi orang yang bertaqwa dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah dan ketahuilah Sesungguhnya kamu akan dihimpunkan kepadaNya.” (Al-Baqarah: 196-203) Di akhir ayat tersebut menerangkan tentang matlamat haji ini adalah untuk mengingatkan kepada kita bahawa akhirnya kita semua ini akan dihimpunkan kepada Allah.

4. Taubat – Ramai manusia senang untuk buat istighfar tetapi sedikit sekali yang pandai melakukan kerja taubat. Taubat bermaksud berjanji untuk tidak mengulangi lagi dosa yang lalu yang pernah dilakukan sebelum ini. Orang yang tidak mahu bertaubat adalah orang yang amat lemah imannya.

5. Mengapa kita bertaubat? Kerana kita ini telah menzalimi diri sendiri sebagaimana permohonan Nabi Adam yang dinukilkan oleh Allah dalam surah Al-A‟raf ayat 23,

“Mereka berdua merayu: "Wahai Tuhan kami, Kami telah menganiaya diri Kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan Kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah Kami dari orang-orang Yang rugi". (Al-A‟raf, 23) Dan juga Surah An-Naml ayat 44 dalam kisah Nabi Sulaiman,

“ (Setelah itu) dikatakan kepadanya: "Dipersilakan masuk ke Dalam istana ini." maka ketika ia melihatnya, disangkanya halaman istana itu sebuah kolam air, serta Dia pun menyingsingkan pakaian dari dua betisnya. Nabi Sulaiman berkata: "Sebenarnya ini adalah sebuah istana Yang diperbuat licin berkilat dari kaca". (Mendengar Yang demikian), Balqis berdoa: "Wahai Tuhanku, Sesungguhnya Aku telah menganiaya diri sendiri dan (Sekarang Aku menegaskan bahawa) Aku berserah diri memeluk Islam bersama-sama Nabi Sulaiman, kepada Allah Tuhan sekalian alam ". (An-Naml, 44)

6. Haji ini adalah untuk memohon “Keampunan” dan “Rahmat” daripada Allah kerana kita ini telah menzalimi diri kita sendiri. Nabi Adam dan Hawa telah bertemu di Jabal Rahmah kerana ingin memohon keampunan daripada Tuhan. Nabi Muhammad berdoa kepada seluruh ummat ketika baginda berada di padang Arafah. Dan baginda juga berdoa perkara yang sama di Muzdalifah. Adalah diriwayatkan bahawa doa nabi untuk ummatnya yang zalim itu dikabulkan oleh Allah di Muzdalifah dan tidak di Arafah.

7. Ada empat jenis manusia yang datang untuk menunaikan haji.
a. Musyrikin – ketika zaman sebelum pembukaan Kota Mekah oleh baginda Nabi.
b. Solihin – Orang-orang yang Soleh yang menyempurnakan rukun-rukun haji. Mereka memperolehi haji yang mabrur kerana menjaga semua pantang larang haji. Mereka mempunyai kualiti iman yang tinggi. Antara balasan haji mabrur itu adalah 5 perkara iaitu:-
i. Diampunkan segala dosa
ii. Doa dimakbulkan oleh Allah
iii. Dapat memberikan syafaat kepada ahli keluarga
iv. Tidak akan dijangkiti kemiskinan
v. Masuk syurga Allah
c. Anbiya – Nabi-nabi memohon kepada Allah agar menerima segala usaha pengorbanan mereka
d. Haji Nabi Muhammad sallalhualaihiwasallam – Pada musim haji, Nabi Muhammad ingin menyampaikan tanggungjawab dakwah ini kepada ummat. “To give responsibility to the Ummah.” Sebagaimana sabda baginda,

” Didalam Haji Nabi Muhammad sallahu alaihi wasallam, ada empat perkara/falsafah utama iaitu:-
1. Dakwah
2. Ta‟lim / Majlis Ilmu
3. Zikir dan Ibadah
4. Khidmat

DAKWAH- Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam berjalan selama 10 tahun di Mekah. Pada waktu itu, pada setiap kali musim haji, baginda pergi dari khemah ke khemah untuk menyampaikan kalimah Lailaha illalah. Nabi berdakwah kepada orang-orang yang masih belum Islam lagi supaya beriman kepada Allah Bila Islam telah berkembang pesat, baginda Nabi masih juga pergi dari khemah ke khemah untuk melakukan kerja dakwah tetapi kali ini dengan slogan yang lain iaitu, "Man Ansori Ilallah?- siapa yang ingin bantu aku ke arah jalan Allah?
Pada awal Islam, nabi mula berdakwah dari Mina dan dari sana, 6 orang Madinah yang telah menyahut seruan nabi. Kali kedua, mereka datang dengan membawa 12 orang yang membuat janji setia dengan baginda. Nabi berdakwah, mula dari Mina dan berakhir ke Mina dengan turunnya ayat surah Al-Maidah ayat 3

“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu. maka sesiapa Yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda Yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Al-Maidah:3) Kita sebagai ummat Nabi, sepatutnya membanyakkan doa agar haji yang kita tunaikan ini menjadi seumpama haji nabi yang tidak hanya mengisi dengan manasik-manasiknya sahaja tetapi melaksanakan sunnah yang terbesar iaitu dakwah. Biar setiap orang yang datang untuk menunaikan haji ini kembali ke negara masing-masing dengan membawa tugas dakwah. Ini merupakan peluang yang baik bagi kita dalam jamaah tabligh ini untuk melaksanakan kerja dakwah kerana kita tidak perlu menjelajah keseluruh dunia kerana dunia telah datang berkumpul disini. TA‟LIM- Semasa kerja haji, Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam telah mengajar sahabat-sahabat tentang cara-cara membuat haji ataupun kita sebut sebagai manasik haji. Semasa dalam perjalanan, Nabi mengajar sahabat tentang ihram, Wuquf di Arofah, Mabit di Mina dan Mabit di Muzdalifah. Mula-mula nabi pergi ke Mina Mula-mula nabi menuju ke Mina, bersedia untuk ke Arofah. Kemudian pada hari tarwiyah, bersedia hati. Selepas solat subuh, nabi berdoa di Muzdalifah dan doa nabi makbul disini. Sebagaimana firman Allah Al-Baqarah:198

“Tidaklah menjadi salah, kamu mencari limpah kurnia dari Tuhan kamu (dengan meneruskan perniagaan ketika mengerjakan Haji). kemudian apabila kamu bertolak turun dari padang Arafah (menuju ke Muzdalifah) maka sebutlah nama Allah (dengan doa,"talbiah" dan tasbih) di tempat Masy'ar Al-Haraam (di Muzdalifah), dan ingatlah kepada Allah Dengan menyebutnya sebagaimana ia telah memberikan petunjuk hidayah kepadamu; dan Sesungguhnya kamu sebelum itu adalah dari golongan orang-orang Yang salah jalan ibadatnya. (Al-Baqarah:198) ZIKRULLAH- Apabila kita menuturkan kalimah Labbaikallahumma Labbaik, kita perlu sebut dengan keikhlasan dan mempunyai perasaan yang Allah tidak menerima kita. Perlu ada perasaan takut dan bimbang Allah tidak menerima sahutan kita itu. IBADAH- Melakukan ibadah sebagaimana yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam . KHIDMAT – Didalam kita membuat kerja haji ini ada tiga perkara yang perlu kita ambil perhatian sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam iaitu:-
1. Sebarkan Salam
2. Beri makan
3. Eratkan / Sambungkan Silaturrahim
Seandainya kita buat semua perkara ini, sudah pasti hidayah akan turun dan begitu juga dengan keberkatan. Sebagaimana firman Allah dalam ayat yang disebutkan sebelum ini sebagai HIDAYAH DAN KEBERKATAN UNTUK SELURUH ALAM