4:30 pagi, selepas menyiapkan segala bekalan yang perlu untuk ihram, kami teman sebilik 4 orang memulakan langkah ke Masjidil Haram. Sepertimana yang dijanjikan, kami berkumpul di bawah lampu „spotlight‟ berhadapan Babus Salam. Selepas tahajud dan solat Subuh berjamaah, kami mendengar taklimat dan pengisian ceramah / bayan hidayah oleh Ustaz Zul. Beliau mengingatkan kami kepada manasik haji yang perlu kita laksanakan dan memastikan semua telah berniat ihram dan sebagainya. 8:15 pagi, kami mula berjalan daripada Babus Salam menuju ke Mina. Kami melalui terowong yang terletak di belakang masjid yang bersetentang dengan tempat saei ( Safa Marwah). Perjalanan kami yang mengambil masa kira-kira 1 jam 45 minit itu telah menyampaikan kami ke Mina. Di Mina, kami mencari lokasi untuk mendirikan khemah bagi jemaah kami. Setelah khemah didirikan, kami berehat sambil menunggu masuknya waktu solat Zohor. Secara keseluruhannya, kumpulan kami ini dibahagikan kepada 4 kumpulan yang terdiri daripada lebih kurang sepuluh ke dua belas orang bagi satu-satu kumpulan dan kumpulanku di ketuai oleh cikgu Rauf. Sebelum sampai ke Mina, suatu insiden telah berlaku dimana salah seorang ahli kumpulan kami telah hilang di celah-celah ummat Islam yang ramai itu. Aku rasa, kami terpisah semasa kami berhenti untuk ke tandas. Pada mulanya, aku nampak pakcik Hanif masuk ke tandas dan keluar semula, tetapi tiba-tiba dia telah hilang dari pandanganku. Subhanallah, mungkin dia tidak ternampak kami sekumpulan yang sedang menunggu beliau di luar tadi. Mungkin dia berasa telah ditinggalkan kami, lalu tergesa-gesa keluar dan meneruskan perjalanan seorang diri. MasyaAllah kasihan dia, aku doakan agar Allah mudahkan perjalanannya menunaikan rukun Islam kelima ini.
Jam 12:30 tengahari, azan menandakan waktu Zohor telah masuk. Kami solat 2 rakaat qasar Zohor bersama imam masjid Khif dan kemudian daripada itu, mendengar khutbah daripada imam tersebut. Aku dimaklumkan oleh Ustaz Zul Ehsan, bahawa ia adalah suatu sunnah untuk kita laksanakan 5 waktu solat di kunjungan ke Mina yang pertama ini dan
memendekkan (qasar) bagi solat-solat yang 4 rakaat.Maka kami mulakan dengan Zohor, Asar, Maghrib, Isyak dan Subuh dengan niat manasik (yakni melaksanakan kerja haji). Disamping itu, kami meneruskan gerakan mencari pakcik Hanif yang hilang, namun tidak ketemu. Aku berdoa agar Allah membantu beliau untuk melakukan manasik haji ini dengan sempurna. Apa yang aku pelajari hari ini,
1) Mina yang pertama ini adalah tempat Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam memberikan „targheeb‟ atau semangat kepada para sahabat baginda radhiyallahu „anhum ajmain. Sebab itulah di Masjid Khif ini, Imamnya berkhutbah pada setiap selesai waktu solat bermula Zohor tadi sehingga Subuh. Nabi mengambil peluang ini untuk mengajari para sahabat akan manasik haji (cara-cara mengerjakan haji) dan juga kepentingan dakwah.
2) Menurut Ustaz Zul yang mengiringi kami, di dalam sebuah hadis riwayat Ibnu Jarir, pada hari ke 10 Zulhijjah, selepas tawaf dan saei, nabi solat Zohor di Mina.
3) Dalam hadis riwayat Ibnu Abbas, selepas tawaf dan saei di Mekah, nabi solat Zohor di Mekah dan Asar di Mina.
Jam 11:30 malam, aku terjaga untuk ke tandas tetapi apabila aku mula-mula bangkit , kakiku terasa sakit yang amat sangat. Tidak pernah lagi aku merasa sakit yang sedemikian lagi sebelum ini. Bermula daripada buku lali, naik ke betis dan terus ke peha, semuanya terasa sakit, subhanallah. Aku pun mula risau kerana masih jauh lagi perjalananku ini sebelum sampai ke Arafah. Kalau begini keadaanku, pasti ianya akan menyukarkan untuk meneruskan lagi jihadku ini. Aku baring sebentar untuk memikirkan apa yang perlu aku buat. Aku membelek beg tabung haji yang dibekalkan kepadaku oleh pihak Tabung Haji dan mendapati di dalamnya ada satu krim „Slogen Analgesic‟. “Mungkin ini dapat membantu,” detik hatiku. Aku menyapu krim tersebut daripada hujung kaki hingga ke pangkal peha dan menyambung semula tidurku. Aku tidak putus-putus berdoa agar Dia mudahkanku untuk meneruskan perjalanan ini. Alhamdulillah, dengan izin Allah jua, apabila aku bangkit pada jam 2:00pagi untuk bertahajud, aku merasakan bahawa sakit „cramp‟ di kakiku tadi telah mulai lega. Aku boleh berdiri dan berjalan semula. Alhamdulillah, syukur kepada Allah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)



No comments:
Post a Comment