Semasa sarapan pagi, aku berbual-bual dengan jiran sebilikku. Sambil-sambil bertanya khabar dan sebagainya, aku selitkan sedikit ilmu yang aku pelajari semalam daripada Maulana Farouq. MasyaAllah, aku amat berharap agar Allah gunakan aku ini untuk manfaat Islam. Biarlah Allah gunakan lisanku ini untuk menuturkan kalimah-kalimah tauhid dan mengajak manusia kearah kebenaran. Jam 10:00 pagi, kami mengadakan membaca buku ta‟lim dan bermesyuarat sedikit untuk program hari ini. Hari ni tiada program jama‟iy (berkumpulan). Masing-masing dengan program tersendiri. Aku dan Pakcik Muhammad bercadang untuk mengerjakan umrah sunat. Selepas solat Jumaat seperti yang dijanjikan, aku dengan Pakcik Mohammad pergi ke stesen bas yang bertentangan dengan tempat saei untuk pergi ke Tan‟eem. Dalam perjalanan, aku terserempak dengan seorang kenalan lama, Ustaz Abdul Halim namanya. MasyaAllah „What a small world again‟. Terasa sungguh kecil dunia ini kerana dalam ramai-ramai manusia yang ada di Mekah ini (mungkin hampir 3 juta), masih Allah temukan kami. Kami berborak ringkas kerana aku terpaksa menemani Pakcik untuk berniat ihram di Tan‟eem. Dalam perjalanan ke stesen bas, semasa itu kami berjalan berdampingan. Secara tiba-tiba aku merasa pelik kerana semasa kami berjalan itu, Pakcik sudah tiada di sebelahku. Puas aku menoleh kiri dan kanan untuk mencari kemana hilangnya orang tua ini dalam kesesakan orang ramai itu. Lalu aku terpandang kebelakang dan melihat sekumpulan wanita muda berkulit gelap sedang mengerumuni Pakcik. Aku terpegun kerana tidak pernah terlintas yang perkara itu boleh terjadi di perkarangan Masjidil Haram ini. Mereka menarik-narik pakcik semacam meminta sedekah dan dari jauh itu, aku melihat salah seorang daripada mereka menyelukkan tangannya kedalam beg Pakcik dengan tujuan mencuri. Dengan segera aku berlari kearah mereka dan menjerit “Hoi!!”. Mereka berkeliaran lari kerana menyedari tindakan mereka itu sedang aku perhatikan. “MasyaAllah pakcik..Pakcik OK ke?”. Pakcik Mohammad yang sememangnya sering tersenyum itu berkata, “Tak apa-apa.. OK aje, mereka nak minta sedekah tadi, pakcik nak bagi.” Saya berkata, “Mak saya pesan, lain kali, kalau orang nak minta sedekah cara begini jangan bagi sebab kalau kita bagi satu, nanti diaorang ajak kawan-kawan yang lain datang lagi. Pokai kita nanti. Kalau nak sedekah, kita bagi senyap-senyap sahaja kepada mana-mana individu yang kita nak bagi nanti.” Subhanallah, aku tidak pernah menyangka yang peristiwa ini boleh terjadi didepan mataku. Tidak mengapalah, yang pentingnya Pakcik selamat. 3:15-3:30 - Naik bas 3:50 – Solat Asar 4:15-4:45 – Bas 5:15 Tawaf – sempat 6 pusingan
Selepas Maghrib tambah lagi satu pusingan dan selesaikan saei sehingga selesai. Tambang bas SR4:00 pergi balik
Sabtu-Ahad, 1-2 Februari 2003 – Rutin Harian
Dua tiga hari ini, rutin kehidupanku hanyalah aktiviti yang hampir sama. Tiada yang istimewa. Cumanya saban hari, aku cuba untuk belajar berdakwah. Hari-hariku mulakan dengan tahajud dan bacaan Al-Quran diikuti dengan solat subuh dan zikir subuh. Selepas sunat Isyraq, pulang ke bilik hotel untuk bersarapan pagi. Selepas sarapan, tidur sekejap untuk mengganti tidur semalam dan mengumpul tenaga untuk sehari ini. Biasanya jam 10:00pagi, kami dibilik akan adakan majlis ilmu dengan sekurang-kurangnya membaca buku Fadha'il A'mal (Kelebihan Amal) dengan fokus kami kepada Kelebihan-kelebihan dalam ibadah haji. Selepas ta'lim, kami bermesyuarat dan membentang kerja dakwah yang kami buat, siapa yang kami dakwahkan, asal dari negeri/negara mana, apa yang kami dakwahkan dan sebagainya. Selesai bermesyuarat, kami membuat aktiviti bebas. Ada yang dibuat secara kolektif dan ada yang dibuat secara individu seperti umrah, bacaan Al-Quran, iktikaf di masjid, ziarah dan macam-macam lagi. Tetapi menjadi suatu ketetapan kami untuk bertegur sapa dengan sesiapa sahaja yang kami jumpa dengan tujuan silaturrahim dan dakwah. Kadangkala kami bertemu dengan orang dari Asia Barat, Timur, Barat, Eropah, Australia, Amerika dan pelbagai lagi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)



No comments:
Post a Comment