Jumaat, 28 Februari 2003 – Perkuburan Baqi’ dan Perkahwinan Da’ei & Da’eiah

4:30 pagi baru bangkit dari tidur. MasyaAllah, kelam kabut aku bangun. Semua ahli bilikku terlewat belaka. Terasa sedikit sesal kerana terlewat bangun tidur hari ini, tidak sempat untuk bertahajud panjang. Tidak mengapalah, mungkin itu rezeki kami untuk hari ini.
Selepas Asar hari ini, aku bercadang hendak menziarahi tanah perkuburan Baqi‟. Tempat bersemadinya kebanyakan para sahabat radhiyallahu „anhum ajma‟in termasuklah para isteri baginda. Sesampainya aku ke pintu tanah perkuburan tersebut, didapati pintu masuknya berkunci. Lalu aku pun melangkahlah ke sisi kubur tersebut dan hanya melihat-lihat daripada luar sahaja. Daripada luar, aku masih dapat melihat keadaan tanah perkuburan Baqi‟ yang agak menggerunkan. Keadaan tanahnya yang gersang dengan batu-batu yang tidak bernama itu mengingatkan daku yang suatu hari nanti, pasti kita akan menyertai mereka „sooner or later‟. Itu adalah yang pasti. Aku hanya berdoa kepada Allah agar hidupku di dunia ini akan jadi yang terbaik dan matiku juga adalah mati yang paling mulia. Sesungguhnya hidup yang paling mulia ialah kehidupan para Mujahid dan yang kematian yang paling mulia adalah kematian para Syuhada‟. Amiin.
Selesai menziarahi tanah perkuburan Baqi‟, aku ingin meninjau keadaan di Pintu nombor 38 Masjid Nabawi. Aku diberitakan bahawa di pintu ini merupakan lokasi di mana tempat berkumpulnya para pendokong dakwah daripada jamaah tabligh. Semasa aku di Mekah dahulu, Ustaz Abdul Ghani telah memesanku supaya menghubungi seorang sahabatnya di Madinah. Mungkin ada program dakwah yang boleh aku sertai sepanjang berada di sini nanti. Setelah mendail nombor telefon yang diberikan oleh Ustaz Abdul Ghani, aku bertemu dengan Ustaz Arif Al-Indunisi Al-Madani dan Ustaz Fadli Al-Malizi. Kami berkenalan dan saling bertanya khabar serta berbincang tentang pelbagai perkara. Antara nasihat „orang tua‟ itu kepadaku yang masih bujang ialah tentang peripentingnya perkahwinan dalam perjuangan dakwah.
46
“Awak dah kahwin?” tanya Ustaz Arif kepadaku. “InsyaAllah dalam beberapa bulan lagi, saya akan berkahwin.” “Kita sebagai orang dakwah ini, apabila datang untuk menunaikan fardhu haji dan ziarah ke Madinah ini, kita perlu memerhatikan satu perkara. Ianya adalah berkenaan peripentingnya perkahwinan dalam dakwah. Ianya sangat penting kerana perkahwinan memainkan peranan penting dalam gerak kerja dakwah. Kalau di Mekah dulu, kita boleh mengambil iktibar daripada perkahwinan diantara Nabi Ibrahim alaihissalam dengan Siti Hajar. Pengorbanan mereka berdua sejak dari peristiwa perpisahan di Safa dan Marwah sehinggalah peristiwa penyembelihan Nabi Ismail merupakan contoh buat kita yang ingin melakukan kerja dakwah. Kalau di Madinah pula, marilah kita contohi pengorbanan suami isteri yang ditunjukkan oleh baginda Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam dan isteri baginda Saidatina Khadijah Radhuyallahu anha. Mereka berdua banyak berkorban untuk Islam dan saling memberi sokongan antara satu sama lain.” Ujar Ustaz Arif kepadaku. Aku hanya tunduk dan mendengar dengan penuh minat. Aku berdoa agar bakal isteriku nanti akan dapat menjadi pembantu setiaku di dalam jalan dakwah ini. Amiin.

No comments: