Hari-hari terakhirku di Mekah ini, aku jalani seperti rutin biasa. Bangun tahajud, quran dan zikir. Selesai subuh, tunggu Isyraq dan sarapan. Kemudian majlis ta‟lim (majlis ilmu) dengan rakan sebilik. Kadangkala, kami jemput juga para ustaz yang ada disini seperti Ustaz Abdul Ghani dan Ustaz Zul Ehsan untuk beri pengisian. Selepas itu kami buat ativiti bebas seperti umrah, ziarah tempat bersejarah, „tawaf kedai‟, ziarah sahabat-sahabat semasa di Australia dahulu. Adakalanya juga aku dan rakan-rakan mencuba pelbagai jenis masakan yang ada disini seperti nasi briani, kambing golek, kebab Turki, nasi mandi,manisan arab dan macam-macam lagi makanan Timur Tengah. Alhamdulillah kerana setakat ini, perutku masih lagi dapat menerima makanan-makanan „asing‟ itu. Alhamdulillah kerana masih lagi aku dapat menggunakan nikmat lidah untuk merasa macam-macam sedangkan di sana ada ramai orang yang tidak dapat merasai semua itu kerana faktor kesihatan. Aku selang selikan juga rutin harianku dengan dakwah fardhiyyah sepertimana rakan-rakan sebilikku yang lain. Setiap pagi selepas majlis ta‟lim (majlis ilmu), kami akan membuat laporan tentang siapa yang kami jumpa, asal dari negara mana, apa yang kami dakwahkan dan perkataan-perkataan bagi mengeratkan tali silaturrahim. Sepanjang aku menetap disini, aku bertemu dengan rakan-rakan dari pelbagai negara selain orang Malaysia seperti Indonesia, Thailand(Pattani yang boleh bercakap Melayu), Libya, Australia, United Kingdom, USA, India, Pakistan dan macam-macam lagi. Kami diajar oleh para Maulana agar memberikan penumpuan dakwah ini kepada menceritakan kebesaran Allah agar dengan itu akan masuk dalam hati kita perasaan iman dan percaya kepada Allah subhanahu wa taala. Sememangnya punca kerosakan ummat dewasa ini adalah kerana kelemahan iman hatta para ustaz dan orang alim sekalipun, seandainya tidak punya iman yang sejati kepada Allah, kemungkinan untuk terkeluar dari landasan itu bukanlah suatu yang mustahil. Aku berdoa agar Allah gunakan aku ini sebagai penyebab hidayah kepada orang lain. Amin Ya Rabbal Alamin. Bismillahirrahmaanirrahiim, Pertama-tamanya Wahai Allah, aku ingin mengucapkan setinggi-tinggi kesyukuranku kepadaMu lantaran nikmat Iman dan Islam yang Dikau kurniakan kepadaku. Dan juga aku amat bersyukur kepadaMu diatas nikmat „Tarbiyah Ilahi‟ yang Dikau kurniakan kepadaku. Sungguh aku tidak menyangka yang aku telah terpilih diatas jalan ini. Pada perkiraanku semasa mula-mula menjejakkan kakiku ke Mekah, aku hanya terfikirkan tentang manasik haji semata-mata tanpa memikirkan falsafah disebalik ibadah mulia ini. Tidak pernah terlintas dipemikiranku yang sememangnya lemah ini akan falsafah dakwah, falsafah jihad, falsafah udhiyyah/pengorbanan dan sebagainya di dalam ibadah haji ini. Sesungguhnya Wahai Allah, „Tarbiyah Ilahi‟ ini sangat bermakna buatku.
Aku bersyukur kepadaMu kerana telah memilihku untuk diterangkan makna dakwah dan „transfer of responsibility‟ atau pengalihan tanggungjawab dakwah daripada Nabi kepada ummat. Sesungguhnya haji ini adalah proses di mana nabi menyerahkan amanah dakwah yang di sandangnya kepada ummat agar ummat terus-menerus menyambung perjuangan baginda. Aku bersyukur kerana Dikau telah mengaturkan program tarbiyah ini dan setiap kali ada sahaja insan yang Dikau hantar untuk memberi peringatan kepadaku dari masa ke semasa. Aku akui kelemahanku pada masa kini, namun aku percaya bahawa bekalan ini akan dapat aku gunakan di masa hadapan kerana perjalanan ini masih panjang dan ini hanyalah salah satu daripada tempat persinggahan daripada perjalanan yang panjang ini. Wahai Allah, dalam masa beberapa hari lagi, aku akan menziarahi NabiMu. Aku berterimakasih kepadaMu kerana telah melayanku dengan baik di sini sebagai tetamuMu. Dan aku juga berharap agar disambut juga dengan baik dibumi yang satu lagi yang aku akan berkunjung dalam masa dua-tiga hari lagi. Amiin Ya Rabbal Alamin.”
Subscribe to:
Post Comments (Atom)



No comments:
Post a Comment