Sabtu, 1 Mac 2003 – Ziarah sekitar Madinah dan “Sodiquun”

2:30 pagi, Alhamdulillah Allah telah mengejutkanku dari pembaringan. Sesudah bersiap-siap, aku beriktikaf di Raudhah dengan beberapa amalan sunat. 7:15 pagi, aku berpeluang bersama-sama jemaah yang lain untuk berziarah ke tempat-tempat bersejarah di sekeliling Kota Madinah seperti Masjid Quba‟, Masjid Qiblatain, Bukit Uhud, Maqam Sayyidus Syuhada‟ dan Pasar Kurma. Sepanjang perjalanan, kami diberi taklimat dan pengisian oleh mutawwif yang membawa kami. Banyak ilmu yang dapat kami pelajari. Bukanlah hasratku untuk menukilkannya di sini semuanya. Cukuplah apa yang telah di catatkan di dalam kitab-kitab sirah oleh para alim ulama. Selepas solat Maghrib berjemaah di Masjid Nabawi, sementara menunggu solat Isyak, aku mencuri-curi dengar kuliah yang disampaikan oleh seorang alim di salah satu penjuru masjid. Beliau telah mengajari kami akan sifat-sifat yang ada pada para sahabat yang telah di tarbiyah oleh tangan Rasulullah sendiri.

“(Pemberian itu hendaklah diperuntukkan) kepada orang-orang fakir yang berhijrah (Muhajirun), yang telah diusir keluar dari kampung halamannya dan harta bendanya (kerana berpegang teguh kepada ajaran Islam), untuk mencari limpah kurnia dari Allah dan keredaanNya, serta menolong (ugama) (Al-Ansar) Allah dan RasulNya; mereka itulah orang-orang Yang benar (imannya dan amalnya).” (Al-Hasyr , 8)

“Sesungguhnya Allah telah menerima taubat Nabi dan orang-orang Muhajirin dan Ansar Yang mengikutnya (berjuang) Dalam masa kesukaran, sesudah hampir-hampir terpesong hati segolongan dari mereka (daripada menurut Nabi untuk berjuang); kemudian Allah menerima taubat mereka; Sesungguhnya Allah amat belas, lagi Maha Mengasihani terhadap mereka. Dan (Allah menerima pula taubat) tiga orang Yang ditangguhkan (penerimaan taubat mereka) hingga apabila bumi Yang Luas ini (terasa) sempit kepada mereka (kerana mereka dipulaukan), dan hati mereka pula menjadi sempit (kerana menanggung dukacita), serta mereka yakin Bahawa tidak ada tempat untuk mereka lari dari (kemurkaan) Allah melainkan (kembali bertaubat) kepadanya; kemudian Allah (memberi taufiq serta) menerima taubat mereka supaya mereka kekal bertaubat. Sesungguhnya Allah Dia lah Penerima taubat lagi Maha Mengasihani.Wahai orang-orang Yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang-orang Yang benar.” (At-Taubah, 117-119)

Didalam kedua-dua ayat ini, Allah telah menyebut bahawa kedua-dua kaum Muhajirin dan Ansar ini adalah mereka yang Sodiquun kerana mereka telah membenarkan segala apa yang disampaikan oleh junjungan besar Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Kita sebagai ummat nabi semestinyalah mencontohi mereka kerana para sahabat ini telah membuktikan kebenaran iman mereka dengan masa mereka, harta, keluarga, hatta nyawa sekalipun!! Ayuhlah kita hidupkan kembali Islam yang kian lemah ini dengan mencontohi mereka.

No comments: