Isnin, 10 Februari 2003 /9 Zulhijjah 1423 – Perjalanan dari Mina ke Arafah

Pagi-pagi lagi, selepas solat subuh, dalam lingkungan jam 6:30pagi, kami bermesyuarat sesama ahli kumpulan kita. Ada cadangan untuk kita meneruskan perjalanan dari Mina ke Arafah ini dengan menaiki kenderaan seperti bas atau van atau apa-apa kenderaan asalkan tidak berjalan kerana ada yang sudah „insaf‟ berjalan kaki sejauh 7km semalam. MasyaAllah, lemahnya kami ini. Setelah menghantar beberapa orang „perisik‟ untuk mencari kenderaan, kami mendapati bahawa kos untuk berkenderaan ke Arafah yang terletak sejauh 15km dari Mina ini adalah sebanyak SR50.00 sekepala. Subhanallah, bila sebut sahaja tambangnya sehingga jumlah itu, kami memutuskan untuk meneruskan perjalanan dengan kenderaan „kaki‟ sahaja. “Kita jalan perlahan-lahan sahajalah, relek-relek sahaja. Kalau penat, kita berhentilah rehat,” ujar ketua kumpulanku memberikan kata-kata semangat untuk meneruskan lagi perjalanan. Bagiku hanya satu, aku ingin cuba menjiwai apa yang dirasai oleh orang-orang terdahulu yang memperjuangkan Islam tanpa kenderaan. Bagaimana mereka yang pada waktu itu yang tiada kenderaan canggih seperti kita ini, tetapi mampu menyebarluaskan Islam keseluruh dunia sehingga menguasai tiga suku dunia ini. Subhanallah…Subhanallah… Menurut perkiraanku, perjalanan dari Mina ke Mekah ini mengambil masa kira-kira 3 jam. Kami mula berjalan jam 7:05pagi dan tiba di Masjid Namirah di Arafah jam 10:05pagi. Berjalan kaki ini memang bagus, lebih-lebih lagi bagi ahli jemaah yang muda macam aku ini. Pertamanya, kita dapat sedikit sebanyak merasai apa yang dirasai oleh orang-orang terdahulu yang menunaikan haji. Bahkan pada zaman mereka amat jauh berbeza dari zaman sekarang. Pada masa nabi dahulu, perjalanan hanya dipenuhi oleh debu-debu padang pasir yang kering kontang. Berbeza dengan zaman sekarang dimana perjalanan ini hanyalah seperti suatu temasya. Jika kita terasa dahaga, kita hanya boleh berhenti di tepi jalan dan „water cooler‟ sedia untuk berkhidmat. Kedai-kedai dan gerai-gerai di kiri dan kanan perjalanan membuatkan kita lupa yang kita sedang mengerjakan ibadah haji.
Berbeza sungguh jemaah Malaysia dengan jemaah haji dari negara lain. Aku melihat, pada mereka, berjalan kaki ini seperti suatu yang biasa bagi mereka. Bukan sahaja yang sebaya denganku, bahkan ada pelbagai peringkat umur dari sekecil 4-5 tahun sehinggalah umur lingkungan 60-an termasuk lelaki dan wanita. Ada yang datang dengan keluarga yang terdiri daripada ayah, ibu dan anak-anak yang kecil seolah-olah mereka sedang berkelah, namun mereka berjalan kaki sepertiku juga daripada Mekah ke Arafah ini. Ada yang tua, berjalan dengan
32
tongkat, ada yang perempuan, sambil menjunjung beg besar diatas kepalanya. Aku juga bertemu dengan seorang makcik yang agak gemuk berjalan perlahan-lahan. Ada juga yang berjalan terhengsot-hengsot dan macam-macam orang yang aku temui. MasyaAllah, malu rasanya diriku ini kalau aku yang masih muda dan diberikan kesihatan ini mengambil sebarang kenderaan untuk tujuan ini. Aku pohon banyak-banyak kepada Allah agar menerima amalanku yang tidak seberapa ini. Sebelum itu, aku terlupa untuk mencoretkan disini bahawa apabila kami tiba di Muzdalifah (dalam perjalanan ke Arafah), kumpulan kami telah terpecah dua. Ada sebahagian yang sudah tidak mampu lagi meneruskan perjalanan berhasrat untuk mencari kenderaan. Maka, ketua putuskan bahawa sesiapa yang mampu berjalan, teruskan berjalan dan bagi yang tidak, bolehlah mencari mana-mana kenderaan dan kita akan bertemu di Masjid Namirah di penjuru sebelah kanan masjid. Daripada bilangan ahli kumpulan kami itu, aku termasuk dalam kumpulan yang ingin terus berjalan kaki. Walaupun hatiku memberontak untuk mengikut mereka, namun apabila memikirkan bahawa orang lain yang lebih kurang kemampuan daripadaku pun masih lagi berjalan apatah lagi aku yang masih muda remaja ini.
Tatkala kami tiba di Arafah, kami membeli sedikit roti dan kuah kari untuk melapik perut yang kosong. Selepas „lunch‟ itu, kami pergi ke Masjid Namirah seperti yang di janji. Orang terlalu ramai ketika itu, bersesak-sesak dan berhimpit-himpit seumpama ramainya orang sewaktu tawaf. Tiada ruang antara kami. Kami cuba menghampiri penjuru kanan masjid sepertimana yang dijanji dengan kumpulan yang menaiki kenderaan tadi, namun arus manusia telah menolak kami keluar semakin jauh daripada masjid. Agak sukar untuk aku menggambarkan keadaanku itu sewaktu itu melalui penulisan ini kerana hanya orang yang melaluinya sahaja yang dapat merasakan suasana ketika itu! Temanku berkata kepadaku bahawa kalau kita ikut arus ini, kita akan tertolak jauh daripada masjid dan mencadangkan agar kita berhenti sahaja. Apa hendak jadi, jadilah! Lalu, kami bentang tikar di tepi laluan dan duduk disitu sementara menunggu masuknya waktu solat Zohor. Namun, ujian tidak berhenti setakat itu, kerana tempat kami membentang tikar itu pula menjadi laluan atau „toriq‟ orang ramai. Sekejap-sekejap tikar kami dipijak orang. Tunggu sekejap, tikar kami dipijak lagi. Apa yang boleh aku buat hanyalah bersabar atas apa yang berlaku. Inilah ujian Allah. Betullah kata orang yang Arafah ini merupakan tempat yang Allah makbulkan doa. Ada dua insiden yang mengajar aku akan kebesaran Allah. Pertamanya ialah sewaktu aku melihat banyak roti „sabil‟ yang diagih-agihkan kepada orang ramai sebagai sedekah, aku berbisik kepada sahabatku, “Uish, kalau dapat roti sabil ni tentu best ni.” Tidak sampai setengah minit, tiba-tiba, sebungkus roti „sabil‟ melayang terjatuh diatas ribaku. Subhanallah, aku tersentak kerana tidak tahu dari mana datangnya roti tersebut. Roti „sabil‟ yang aku namakan itu adalah roti nan yang diberikan secara percuma kepada orang ramai. Sambil mereka mengagih-agihkan roti itu dan terpaksa berebut-rebut mengambilnya, mereka menyebut , „Fi Sabilillah‟. Sebab itu aku memanggilnya sebagai roti „sabil‟.
Insiden kedua ialah, sewaktu orang terlalu ramai berpusu-pusu memijak tikarku semasa aku menunggu untuk solat Zohor itu, aku menadah tangan sambil berdoa kepada Allah agar
33
memudahkan aku untuk solat Zohor dan Asar. Secara tiba-tiba dengan kuasa Allah, manusia menjadi surut dan tidak sesak lagi sehinggalah iqomah dikumandangkan dan aku dapat selesai menunaikan solat Zohor dan Asar secara jama‟ taqdim tanpa qasar.
Selepas khutbah dan solat, kami bertemu kumpulan daripada Singapura. Kami bersilaturrahim sambil berkenal-kenalan antara satu sama lain. Aku dan teman-temanku berhasrat untuk mencari Maktab Tabung Haji Malaysia di Arafah ini. Sekurang-kurangnya kami boleh menumpang mereka dalam perjalanan pulang ke Mekah nanti.
Sambil pusing-pusing mencari jemaah Malaysia, aku membanyakkan doa. Sememangnya orang betul-betul ramai sehinggakan tiada ruang antara kami,kulit bersentuh kulit semacam di Padang Mahsyar. Aku memperbanyakkan zikir dan doa dan berfikir akan hari akhirat. Mungkin ini adalah gambaran di Padang Mahsyar nanti. Sudahlah panas sebab kepalaku yang sudah dibotakkan semasa melaksanakan umrah tempoh hari. Memang cahaya matahari memancar terus kearah kulit kepalaku. Aku yakin dengan firman Allah yang katanya haji ini mengingatkan kita kepada hari kita di padang mahsyar atau hari kita dihimpunkan di hadapan Allah nanti. (
Dan bertaqwalah kamu kepada Allah dan ketahuilah bahawa sesungguhnya kelak kamu akan dihimpunkan di hadapan Allah” –(Al-Baqarah,203)

Setelah hampir 3 jam berpusing dan berdoa untuk mencari khemah Maktab jamaah Tabung Haji, kami tidak bertemu. Jam sudah menunjukkan pukul 4:30 petang. Kami memutuskan untuk mencari kenderaan untuk patah balik ke Muzdalifah bagi melaksanakan wajib haji „bermalam di Muzdalifah‟. Jam 5:30petang, naik kereta sewa yang tambangnya sebanyak SR50.00. Kami tiada pilihan lain kerana terlalu letih untuk berjalan pulang. 4 jam berlalu, barulah kereta sewa kami itu tiba di Muzdalifah. Detik hatiku, “Kalau aku berjalan kaki tadi pun, dah lama dah sampai disini.” Oleh kerana keadaan yang terlalu sesak dengan kenderaan, kami tersekat di Arafah sahaja selama 3 jam sebelum dapat keluar dari kesesakan lalulintas itu. Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana akhirnya kami tiba di Muzdalifah. Aku mengutip beberapa biji batu bagi tujuan melontar jamrah nanti dan mencari lokasi untuk tidur. Tanpa mempedulikan orang lain, aku membentangkan kain alasku dan melelapkan mataku untuk menyambung kembali perjalanan hari esok. Ya Allah, terimalah segala pengorbananku yang tidak seberapa ini, Wahai Allah.

No comments: