Khamis, 27 Februari 2003 – Ziarah maqam Rasulullah

3:50 pagi, tiba di Babus Salam yang bertentangan dengan Raudhah (lokasi asal Masjid Nabawi) di Masjid Nabawi. Amat menakjubkan kerana Raudhah sudah sedia penuh. Aku menyangka yang aku sudah bangun awal kerana waktu subuh hanya akan masuk dalam jangkamasa 2 jam lagi, namun manusia telah ramai walaupun masih awal pagi. Walaupun demikian, kami berpeluang untuk duduk bersebelahan dengan Raudhah untuk menunaikan beberapa rakaat solat sunat. Selepas solat subuh, aku menziarahi maqam tempat dimana bersemadinya jasad mulia Muhammad sallallahu alaihi wasallam dan dua sahabat baginda. Suasana cukup syahdu, aku berasa seperti tidak percaya sedang berada di hadapan maqam baginda kerana selama ini hanya melihatnya melalui gambar sahaja. Dan selama ini jugalah, aku hanya mendengar-dengar sahaja cerita tentang baginda melalui mulut-mulut para alim ulama. Dan selama ini jugalah aku hanya pernah membaca catitan-catitan serta nukilan para penulis kitab sirah berkenaan baginda. Dan sekarang, aku sedang berada di hadapan maqam baginda. Dan baginda yang berada di dalam kubur itulah yang belum pernah aku jumpa tetapi bagindalah yang aku sanjung tinggi selama ini. Sungguh ajaib kerana insan yang cukup asing bagi kita itu, menjadi sanjungan ramai. Ya Rasulallah. Aku masih teringat bait-bait nasyid yang aku gemari berkenaan dirimu yang mulia ini.

Malu rasanya menyatakan cinta,
Kepada dia kekasih Allah,
Kerana dia insan mulia,
Sedangkan diriku insan biasa.
Kupujuk jua hati dan jiwa,
Meluahkan rasa cinta membara,
Segala pujian salam dan selawat,
Tanda penghargaan seorang ummat.
Selagi upaya, kuturuti ajarannya,
Apa terdaya ku amalkan sunnahnya,
Moga didunia mendapat berkat,
Diakhirat sana beroleh syafaat.
Kerana peribadinya aku jatuh cinta,
Kerana budinya aku terpesona,
Rinduku padanya tiada terkata,
Mogakan bersama di Taman Syurga.
Sesungguhnya apa yang ku dambakan,
Hanyalah cinta Allah Yang Esa,
Kerana Cinta kepada Rasulullah,
Bererti cinta kepada Allah. (Hijjaz)

Rasulullah,
Dalam mengenangmu,
Kami susuri lembaran sirahmu,
Pahit getir perjuanganmu,
Membawa cahaya kebenaran.
Engkau taburkan pengorbananmu,
Untuk ummatmu yang tercinta,
Biar terpaksa tempuh derita,
Cekalnya hatimu menempuh ranjaunya.
Tak terjangkau tinggi pekertimu,
Tidak tergambar indahnya akhlakmu,
Tidak terbalas segala jasamu,
Sesungguhnya engkau Rasul mulia.
Tabahnya hatimu menempuh dugaan,
Mengajar erti kesabaran,
Menjulang panji kebenaran,
Terukir namamu di dalam Al-Quran.
(The Zikr)

Dua nasyid „klasik‟ yang menjadi zikir bibirku sejak dari dulu lagi. Nasyid yang sentiasa mengingatkanku kepada zaman tarbiyah dulu bersama-sama sahabat-sahabat di sekolah dan di kampus dahulu. Sewaktu itu, kami berasa sangat dekat dengan perjuangan Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam kerana sepanjang masa, semua orang menghidupkan suasana itu. Terima kasih aku ucapkan kepada penulis lirik dan penggubal lagu tersebut. Sejuta penghargaan juga buat Baginda yang banyak berkorban buat ummat. Tanpa pengorbananmu, diri ini pasti tidak akan mengenal Tuhan Yang Mencipta Alam ini. Terima kasih Wahai Rasulullah.
Di antara Maghrib dan Isyak, aku „melepak‟ sebentar di masjid. Kebetulan pada waktu itu, sedang berlangsung suatu majlis ilmu oleh seorang alim. Sekadar ilmu Bahasa Arab yang aku faham sedikit-sedikit ini, aku fahami bahawa tok guru itu sedang membahaskan tentang keutamaan selawat keatas baginda nabi. Dan beliau membawakan satu hadis berkenaan selawat keatas baginda. Cara terbaik untuk berselawat ialah dengan berselawat seperti yang kita baca dalam tahiyyat akhir tanpa menambah perkataan „saidina‟. Itulah selawat yang terbaik kerana
45
itulah yang disebutkan oleh nabi walaupun disana ada bermacam-macam selawat yang lain yang dihasilkan oleh para alim ulama lain. Wallahu‟alam.

No comments: