1:30 pagi, aku terbangun dari buaian mimpiku. Setelah membersihkan diri, aku mengejutkan sahabat-sahabatku bagi meneruskan perjalanan suci kami ini. Kami mula berjalan dimalam yang sepi itu menuju ke Mina atau tempat dimana terletaknya Jamrah yang tiga itu. Lebih kurang jam 3:00pagi, kami tiba di Jamratul Aqobah untuk melaksanakan ibadah melontar jamrah pada hari yang pertama ini. Selesai melontar, aku bercukur dan bertahallul. Alhamdulillah, aku benar-benar bersyukur kerana telah selesai tahallul awal. Sudah tentunya ini semua adalah dengan inayah pertolongan daripada Allah jua. Alhamdulillah, terima kasih Allah. Jam 4:30 pagi, kami menaiki kereta sewa untuk ke Masjidil Haram dan bersiap sedia untuk melaksanakan solat subuh di sana. Selepas solat, kami pulang ke hotel untuk membersihkan diri tetapi agak kurang bernasib baik kerana Pengurus hotel masih belum tiba lagi dan kunci bilik kami tidak dapat diberikan kepada kami. Jadi, kami terpaksa menunggu sebentar di ruang lobi.
Aku membersihkan diri, menukar pakaian ku kepada pakaian biasa dan bersiap sedia untuk Solat Sunat Hari Raya. Oh ya, lupa pula aku yang hari ini adalah Hari Raya Aidul Adha. Cerita kepayahan dan keperitan dalam perjalanan tadi membuatkan aku terlupa bahawa hari ini adalah hari raya korban. Hari yang menyimpan seribu satu pengorbanan ummat terdahulu termasuklah pengorbanan junjungan Nabi besar kita Muhammad sallallahu alaihi wasallam.
Jam menunjukkan tepat pukul 7:00pagi. Aku bertanya kepada pembantu yang bekerja di hotel itu berkenaan waktu solat sunat hari raya. Katanya, solat bermula jam 8:00 pagi. Ini bermakna, aku mempunyai tempoh sekitar satu jam lagi dan mungkin sempat untukku melaksanakan tawaf ifadhah. Sesampainya dihadapan Kaabah, aku membuat tawaf tetapi sewaktu jam tepat 7:15pagi, kedengaran suara bilal mengajak orang ramai untuk bangun melakukan solat sunat „aidiladha. Nampaknya aku tidak sempat untuk bersolat sunat hari rayalah tahun ini kerana orang terlalu ramai di sekeliling kaabah sedangkan aku berada di radius yang amat dekat dengan kaabah. Kalau aku bersesak keluar daripada jemaah tawaf itu pun, mungkin juga aku tidak sempat bersama imam dek kerana ramainya orang. Aku meneruskan juga tawaf sehingga selesai dan terus melaksanakan saei. Jam 9:15 pagi selesai segala urusan dan aku pulang ke bilik hotel untuk…..tidur… MasyaAllah nikmatnya kerana aku telah menunaikan sebahagian besar daripada urusan kerja haji ini. Aku menggunakan kesempatan ini untuk berehat sepuas-puasnya. Seronok sungguh hatiku tidak terkira. Tidur… Tidur… Tidur… Sewaktu solat zohor di Masjid Ajyadd (yang berdekatan dengan hotel), aku bertemu dengan Hj Ramlan dan Hj Fazli. Mereka berdua mengajakku ke Mina pada petang ini untuk persediaan urusan melontar jamrah pada keesokan harinya. Aku menyatakan persetujuanku dan pada jam 3:00 petang, kami bertolak ke Mina dengan menaiki sebuah kereta sewa. Caj seorang ialah sebanyak SR10.00. Sesampainya kami berenam di Mina, kami mencari tempat untuk mendirikan khemah untuk berteduh pada malam ini. Setelah mendirikan khemah dipenjuru jambatan, tiba-tiba datang askar saudi menghalau kami dan menyatakan bahawa tempat ini tidak boleh memasang khemah kerana menghalang laluan dan sebagainya. Setelah bertekak dengan mereka selama beberapa minit, kami beralah dan mencari lokasi lain untuk berkhemah. „Spot‟ terbaru kami itu, tiada siapa yang datang mengacau dan aku mengambil peluang ini untuk berehat lagi sementara menunggu hari melontar esoknya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)



No comments:
Post a Comment