Muqaddimah “Diari Haji”


DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI
Alhamdulillah, syukur hamba yang faqir ini kepada Allah yang Maha Kaya. Dialah Allah yang menciptakan alam ini. Dialah Allah yang Maha Pencipta bumi dan langit, bukit bukau dan tanah lapang, bulan dan matahari, siang dan malam, ibu dan ayah. Dialah Allah yang menciptakan bumi, Jupiter, Marikh, Musytari, Pluto dan Matahari. Dialah Allah Yang Maha Agung yang telah menciptakan kita yang hina ini. Selawat dan Salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam yang telah mengajarkan kita erti kehidupan yang sebenar. Bagindalah sebaik-baik penterjemah wahyu ilahi. Baginda telah mengajari kita Al-Quran dalam bentuk lisan dan juga penterjemahan fizikal dan tindakan. Cinta baginda kepada ummat melebihi kasih dan sayang kepada isteri dan anak-anaknya sendiri. Pengorbanan baginda sampai kepada kemuncak pengorbanan hatta jiwa dan raga sekalipun sanggup dipertaruhkan demi menegakkan kedaulatan Islam di atas muka bumi ini. Allahumma solli ala Muhammad wa ala alihi wasohbihi ajma'in. Pengembaraan adalah hikmah. Pengembaraan merupakan suatu pengalaman yang bisa menjadi guru kita. Adakalanya guru pengembaraan itu berupa ilham dari Allah Yang Maha Alim, ataupun guru yang membekalkan kita dengan pengalaman, kesusahan atau kesenangan. Kalau tidak, masakan Tuhan memasukkan dalam senarai yang Allah membeli daripada mereka jiwa dan harta mereka dalam syurga orang-orang yang mengembara.

Allah Berfirman, “Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (balasan syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.(Mereka itu ialah): orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji Allah, yang mengembara (untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam), yang rukuk, yang sujud, yang menyuruh berbuat kebaikan dan yang melarang daripada kejahatan, serta yang menjaga batas-batas hukum Allah. dan gembirakanlah orang-orang yang beriman (yang bersifat demikian). (At Taubah;111-112)

Selain daripada orang yang mengembara, perkataan “ As-Sa’ihun” ini ditafsirkan juga di dalam tafsir Al-Baghawi sebagai orang yang berpuasa sebagaimana tafsiran Ibnu Mas’ud dan juga Ibnu Abbas Radhiyallahu’anhuma. Menurut Sufyan bin Uyainah,perkataan “ As-Sa’ihun” yang maksud asalnya mengembara ditujukan kepada orang yang juga berpuasa kerana orang yang berpuasa ini meninggalkan makan, minum dan bersetubuh seumpama orang yang mengembara. Menurut ‘Atho’, bermakna orang yang berperang dijalan Allah. Menurut Ikrimah pula, ianya bermakna menuntut ilmu dijalan Allah.
Walau bagaimanapun, kita yakin bahawa pengembaraan atau perlancongan atau berjalan-jalan itu banyak faedahnya. Antaranya ialah:-

1. Menambah pengalaman.

2. Menambah ilmu pengetahuan.

3. Menjadikan diri menjadi lebih matang.

4. Mengeratkan hubungan sesama teman-teman yang keluar mengembara sekali.

5. Meningkatkan keimanan apabila melihat kebesaran ciptaan Allah.

6. Menambah kegerunan kepada azab Allah apabila melihat tempat-tempat yang pernah dimusnahkan Allah.

7. Mendekatkan diri kepada Allah kerana melihat ayat-ayat Allah dalam bentuk fizikal.

8. Dan banyak lagi yang kita boleh fikirkan.

Allah juga telah menuntun kita tentang fadhilat mengembara ini melalui ayat-ayatnya seperti dibawah:-
“Bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya - Dengan melihat kesan-kesan yang tersebut - mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.” (Al-Haj : 46)


“Tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara di muka bumi, serta memerhatikan Bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu dari mereka? Orang-orang itu lebih kuat daripada mereka sendiri, dan orang-orang itu telah meneroka bumi serta memakmurkannya lebih daripada kemakmuran yang dilakukan oleh mereka, dan orang-orang itu juga telah didatangi oleh Rasul-rasulNya Dengan membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata (lalu mereka mendustakannya dan kesudahannya mereka dibinasakan). Dengan yang demikian, maka Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.” (Ar-Ruum:9)

Terasa cukup kerdil diri ini ketika detik hati memaksa jari jemari menaip 'keyboard' untuk menghasilkan penulisan yang tidak seberapa ini. Namun kerana sifat cemburu yang ada di dalam hati ini tatkala membaca kitab-kitab agung karangan ulama-ulama, diri ini berasa juga untuk memberikan sedikit sumbangan kepada bidang penulisan.
Sudah menjadi kebiasaan penulis sejak menuntut di sekolah lagi untuk membuat catatan harian bagi peristiwa-peristiwa besar dalam kehidupan ini. Tambahan pula pada masa kini, telefon bimbit PDA banyak membantu. Dimana-mana sahaja, kita boleh menaip dan mengarang. Kalau dahulu, penulisan menggunakan batu sebagai medium, berkembang kepada pelepah kurma,kemudian penggunaan kertas dan dakwat, kemudian berkembang lagi dengan mesin taip, seterusnya komputer yang pelbagai fungsi dan kelajuan dan kini dengan teknologi PDA pula.
Catatan harian semasa melaksanakan kerja haji pada tahun 2003 amatlah bermakna bagi penulis kerana selain ia mengandungi seribu satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan, penulis merasakan bahawa setiap detik, penulis sedang ditarbiyah oleh pemilik dua tanah suci itu. Maka, perasaan ini meronta-ronta memaksa diri ini untuk mengabadikan peristiwa-peristiwa yang telah berlaku sepanjang tempoh tersebut untuk dikongsi sesama sidang pembaca sekalian. Sudi-sudikanlah membaca catatan ini. Semoga ada manfaatnya dan seandainya ada salah dan silap, mohon diperbetulkan. Buat akhirnya, penulis memohon kepada Allahu subhanahu wa ta'ala agar dijauhkan diri ini dari penyakit riyak dan sum'ah yang boleh merosakkan amalan yang tidak seberapa ini.
-Wan Ahmad Rafaei IbnurRasheed-2008

Khamis, 23 Januari 2003 – Malam Pertamaku


Selepas solat Isyak berjemaah, aku mula mengemas barang-barang sebagai persiapan ke Tanah Suci. Hanya dua beg yang aku bawa, maklumlah orang bujang. Letih semalam masih lagi terasa kerana terpaksa berjalan jauh. Subhanallah 3 hari berturut-turut bermusafir, manakan tidak berasa letih badan ini. Semalam,iaitu hari Rabu, aku terpaksa bermusafir dari Ipoh ke Kelantan untuk menziarahi jenazah Tok Mek yang tersayang yang baru sahaja menghembuskan nafasnya yang terakhir. Pagi tadi pula, terpaksa bermusafir pulang dari Kelantan ke Kuala Lumpur. Agak penatlah juga. I think this is the beginnning for my journey to Mecca. I‟m sure that there will be greater events awaiting me in near future. Mungkin ini sebagai muqaddimah untukku dan pastinya banyak lagi peristiwa yang akan bakal menantiku sepanjang perjalananku ke Mekah nanti. Moga-moga Allah mudahkan urusanku Amiin.

Jumaat, 24 Januari 2003 – Pertama kali menjejakkan kaki di Masjidil Haram


Lebih kurang jam 2:00pagi, kaunter untuk KT74 telah dibuka untuk pendaftaran. Beg dan tag telah diagih-agihkan kepada semua bakal tetamu Allah atau dalam bahasa istilah orang-orang Tabung Haji “Dhuyuufur Rahmaan”.
Lebih kurang jam 3:00pagi, aku mengenakan pakaian ihramku dan semua bakal tetamu Allah mendaftar masuk. Kami semua telah diberikan taklimat terakhir oleh Pengarah Tabung Haji Wilayah sebagai persediaan terakhir untuk kami semua untuk memastikan agar perjalanan kami berjalan lancar.Jam 5:00pagi, bas bertolak ke KLIA dari Kelana Jaya tempat kami berkumpul tadi. Alhamdulillah setakat ini, semuanya berjalan lancar. Sepanjang perjalanan, aku hanya melelapkan mata kerana terlalu letih. Apabila kami tiba di KLIA, kicauan burung menyambut kami dengan iringan azan subuh. Selesai menunaikan rukun Islam kedua itu, kami check-in dan tepat jam 8:00pagi, pesawat pun mula meninggalkan landasan menuju ke angkasa. Perjalanan selama 8 jam itu dimanfaatkan sepenuhnya olehku untuk berehat memejamkan mata sebagai mengganti penat lelahku selama beberapa hari ini kerana menguruskan jenazah Tok Mek ku di kampung.
5:30 petang waktu Malaysia, kami tiba di Jeddah. Agak sukar bagiku menyatakan perasaanku ketika ini. Rasa tak sabar lagi untukku menjejakkan kaki ini ke Masjidil Haram untuk menatap Baitullah. Pasti banyak yang telah berubah berbanding 9 tahun yang lalu. Dulu, pada tahun 1994, aku pernah berkunjung kesini dengan mama dan abahku. Waktu itu aku rasa aku masih belum matang lagi. Datang kesini pun, mungkin hanya sekadar kunjungan biasa, tetapi kali ini, aku datang dengan penuh harapan agar Allah menerima pengorbananku dan memberikan taufiq dan hidayahnya kepadaku sebagai bekalan dalam perjalanan dakwah yang aku galas ini. 8
Di Jeddah, kami mengambil masa sekitar 5 jam untuk proses immigration, check-out, solat dan makan tengahari sebelum kami bertolak ke Mekah. Sementara menunggu di Jeddah itu, aku telah bertemu 3 orang sahabat-sahabat jemaah tabligh dan kami berkenalan dan bertegur sapa. Mungkin mereka menyangka yang aku ini juga „karkun‟ seperti mereka kerana rupa parasku yang seakan-akan mereka dengan janggut panjang dan misai yang bercukur. Wallahu‟alam. Kami amat mesra sekali. Dan dengan taqdir Allah jualah, kami menaiki bas yang sama ke Mekah dan akan mendiami bilik yang sama di Mekah nanti.. Subhanallah, begitu sekali perancangan Allah. Dan lagi, dalam bas, aku tertidur lagi kerana keletihan..MasyaAllah letih sungguh perjalanan ini. 7:00 petang, tiba di Mekah. Perjalanan sejauh 75km ini terasa singkat kerana aku hanya menidurkan diriku sepanjang perjalanan. Disana, kami dihantar ke hotel tempat kami akan menginap, Habibah Hotel, bertentangan dengan Al-Jiyad Mecca Hotel. Ianya terletak dalam jarak lebih kurang 550m dari Masjidil Haram, Pintu No 1, King Abdul Aziz. Dihotel, kami makan malam, solat Maghrib, Solat Isyak dan taklimat ringkas berkenaan program kita pada malam ini. Oleh kerana aku telah masuk ke Mekah melalui miqat dengan niat untuk melakukan umrah, ini bermakna, aku akan melakukan Haji Tamattu‟ dan jadual untuk tawaf dan saei pada malam ini ialah pada jam 12:00 tengah malam. Tepat jam 12:00 tengah malam, kami seramai 400 orang jemaah bergerak dari hotel menuju ke Masjidil Haram untuk melakukan tawaf umrah dan saei. Mereka menyarankan agar kita lakukan semua itu secara berjemaah, namun, aku bercadang untuk melakukannya sendirian agar lebih khusyuk dan lebih fokus lagi. Subhanallah, suasananya begitu mengasyikkan bilamana wajahku yang penuh hina ini menatap kaabah, rumah Allah. Terasa seperti ingin mengalir air mataku, namun mungkin kerana diri ini yang penuh dosa, ianya menjadi pendinding antara hatiku dan Dia. Mungkin tarbiyah hari yang bakal mendatang ini akan menyucikan hati yang sudah lama berkarat ini. Tidak ramai orang yang ada disitu, mungkin kerana hari telah larut malam. Amat sukar untukku menceritakan bagaimana gembiranya perasaanku tatkala melihat kaabah..Alhamdulillah aku bersyukur kerana masih berpeluang lagi untuk menjejakkan kaki ke bumi kelahiran Nabi Muhammad Sallallahu‟alaihi wasallam ini.

Sabtu, 25 Januari 2003 – Teman Sebilikku


Selepas selesai bertahalul, aku bercadang untuk beriktikaf di Masjid hingga ke fajar. Sambil menunggu waktu fajar, aku tersengguk-sengguk kerana terlalu mengantuk. Aku melipat kain ihramku untuk dijadikan bantal dan melepaskan hajat mataku yang sudah tidak tertahan lagi.
7:30 pagi, selepas selesai menunaikan solat sunat isyraq, aku balik ke hotel semula untuk bersarapan. Alhamdulillah, nasi lemak yang menjadi juadah kami pada pagi itu amatlah menyenangkan. Aku makan sampai dua pinggan.
Oh ya, lupa untukku memperkenalkan teman sebilikku. Bilik kami yang sempit ini didiami oleh 5 orang jejaka; Adnan, Pakcik Mohammad dan Cikgu Amir dari Pahang, Rafid dari Johor dan aku. Bilik yang disediakan untuk kami memang cukup-cukup untuk tidur dan bersalin pakaian sahaja. Itupun terpaksa dibuat diatas katil..heh..heh.. Walau bagaimana pun, aku bersyukur atas apa yang ada. Mungkin disana ada orang lain yang lebih payah.
Sebentar tadi, sebelum Zohor, Adnan dan Amir memberitahuku yang mereka bertemu dengan seorang Ustaz daripada Indonesia yang telah menetap di Mekah selama 19 tahun. Dia menjemput kami semua ke suatu halaqah atau majlis ilmu pada esok hari selepas Asar. Aku menyatakan persetujuanku untuk program pada esok hari dengan harapan agar dapat menambah sedikit sebanyak ilmu didada. Antara Zohor dan Isyak, aku menghabiskan waktuku di Masjid. Alhamdulillah, suasana yang cukup tenang ini banyak membantuku untuk memulihkan sedikit hafazanku terhadap ayat-ayat Allah yang pernah aku hafal dulu. Aku belek kembali surah-surah yang pernah aku hafal suatu ketika dahulu tetapi agak tergagap-gagap sedikit kerana telah lama tidak diulangkaji.
Selesai solat Isyak, baru aku pulang ke hotel. Itu pun kerana hendak mengisi perut yang sudah berkeroncong. Sesudah menunaikan keperluan perut, aku kembali ke Masjid Haram untuk sambung iktikaf. Lama juga aku berpusing-pusing di sekitar Masjidil Haram untuk cari tempat yang sesuai untuk „landing‟. Masa pun sudah lewat untuk aku berjaga. Selepas berjumpa tempat 10
yang sesuai di tempat berhawa dingin di tingkat kedua, aku pun mula melelapkan mataku. Tepat jam 12:00 tengah malam, aku bangkit untuk tahajud dan bacaan Quran. Jam 2:00pagi, sambung tidur kembali kerana tidak tahan mengantuk. Jam 4:00 pagi ,aku bangkit kembali untuk tahajud dan mengulangkaji sedikit hafalan.

Ahad, 26 Januari 2003 – Mubaiyyin oleh Syeikh Pattani


Selepas solat subuh berjemaah dengan Imam Shuraim, aku sambung iktikaf didepan Kaabah sementara menanti waktu Syuroq. Sambil-sambil membaca Al-Quran dihadapan Kaabah itu, tiba-tiba mataku tertarik kepada sepasang suami isteri yang aku rasa mengenali mereka. Subhaanallah, Abg Hashim Al-Australi dan isterinya, Kak Jah. Rupa-rupanya mereka juga datang untuk menunaikan haji pada musim ini. Mereka datang dengan rombongan Syeikh Mu‟taz dari Australia. MasyaAllah, aku sungguh seronok mendengar cerita mereka bahawa dalam jemaah mereka juga ada beberapa sahabat-sahabatku yang pernah aku kenali mereka sewaktu belajar di Australia dahulu. Aku mohon kepada Allah agar aku akan dipertemukan dengan mereka terutamanya sahabat karibku dari Thailand, Yusuf Waedaramae. Selepas Syuroq, aku berlegar-legar di luar Masjid. Seleraku mula melonjak untuk mencari kebab arab. Dahulu pada tahun 1994,sewaktu berkunjung kesini kira-kira 9 tahun yang lalu untuk menunaikan umrah, makanan ini merupakan yang paling aku gemari. Hampir setiap hari aku menjadikannya sebagai juadah. Setelah berjumpa apa yang dicari, aku pulang ke hotel. Aku bercadang untuk menelefon mama dan abah di Malaysia untuk „melaporkan‟ keadaanku disini, maklumlah anak manja. “Assalamualaikum”. “Waalaikumussalam”. “ Mama apa khabar?”tanyaku. “ Alhamdulillah, sihat. Macam mana disana? Semua OK ke?” “Alhamdulillah mama, kat sini semua OK aje. Abang Ei seronok datang sini, dapat tengok Kaabah, Masjidil Haram, buat amal ibadah sikit. Abang Ei berjaga malam, tidur siang.” Begitulah lebih kurang celotehku dengan mama. Aku doakan agar mama dan abah diampunkan oleh Allah dan dikasihani Allah sebagaimana mereka mengasihaniku sewaktu aku masih kecil. Selepas Solat Asar seperti yang dijanjikan semalam, kami bertiga pergi menemui Ustaz ini yang katanya telah menetap disini selama 19 tahun lamanya.Sementara menanti ustaz ini, datang tiga orang lagi untuk menyertai program kami pada hari ini. Ustaz Shariffuddin namanya. Setelah berborak panjang, rupanya bukan 19 tahun dia menetap disini tetapi, menurutnya dia telah berada disini selama 26 tahun tetapi bekerja menguruskan jemaah haji selama 19 tahun. Ustaz yang agak berumur ini kelihatan warak sekali dengan janggut putih dan serban yang terikat kemas. Menurutnya lagi, kita masih lagi menunggu beberapa orang yang lain untuk menyertai kita. InsyaAllah tidak lama lagi, akan ada lagi yang akan menyusul. Tiba-tiba orang yang kami tunggu itu rupa-rupanya beberapa orang yang pernah aku kenali semasa menuntut di Australia dahulu iaitu Syeikh Idris, Syeikh Abu Bakar, Solihin dan beberapa sahabat-sahabat jamaah tabligh yang pernah aku kenali dahulu. “Subhanallah, what a very small world”. Sungguh aku tidak menyangka, dalam keadaan ummat manusia yang hampir 3 juta itu, masih lagi kami berpeluang untuk bertemu. Sememangnya ini semua adalah taqdir daripada Allah Subhanahu wa Taala.Kami berdakapan erat buat beberapa ketika sebagai tanda melepaskan kerinduan selepas hampir dua tahun terpisah diantara dua benua. 12
Kemudian, Ustaz Shariffuddin membawa kami semua ke sebuah rumah seorang „ikhwah‟ tempatan. Subhanallah rumahnya sungguh besar bagaikan istana. “Hebat juga rumah pak arab ini,” detik hatiku. Dimuka pintu rumah tersebut, kami disambut oleh seorang lelaki separuh umur yang berwajah Melayu. Aku sungguh tidak menyangka bahawa tuan istana tersebut adalah seorang Melayu yang berasal daripada Pattani, Thailand. Kami dijamu dengan keropok dan teh panas. Selesai solat Maghrib secara berjemaah, kami mendengar ceramah atau dalam istilah kami „bayan‟ selama beberapa minit oleh seorang syeikh yang juga orang Pattani. Dia sudah lama menetap di Mekah ini, namun bahasa Pattaninya masih lagi fasih dibibir. Yang aku kagumi ialah, bahasa pertuturan tersebut juga digunakan dengan fasih oleh anak-anak mereka yang lahir di sini. Nampaknya, mereka masih lagi mengekalkan bahasa ibunda mereka walaupun jauh diperantauan, subhanallah. „Bayan‟ tersebut adalah tentang perjuangan baginda Nabi Sallalahualaihiwasallam di Mekah sewaktu musim haji. Sebelum Islam tersebar luas, Mekah sudah menjadi tempat tumpuan masyarakat Arab. Ramai yang datang berkunjung ke Mekah sewaktu musim haji dengan ibadah cara mereka yang tersendiri. Di waktu itu, Kaabah dikelilingi oleh beratus-ratus berhala yang pelbagai rupa. Masyarakat jahiliyah datang dari seluruh pelosok negeri untuk menyembah dan berkorban disitu. Namun, dengan kebijaksanaan junjungan besar Nabi Muhammad, baginda mengambil peluang itu untuk berdakwah kepada kaum-kaum tertentu ke arah mentauhidkan Allah. Nabi menuju dari khemah ke khemah untuk mengajak manusia dengan kata-kata baginda , “Siapa yang ingin mentauhidkan Allah? Marilah kita beriman kepada Allah.” Didalam bayan itu juga, mubaiyyin (orang yang memberi ceramah/bayan) itu menyebutkan bahawa dalam Hajjatul Wida, ketika penghujung perjuangan Nabi Muhammad Sallalahualaihiwasallam, baginda juga berkunjung dari khemah ke khemah. Tetapi pada waktu itu suasananya lain kerana yang berkunjung ke situ semuanya adalah Muslim. Makan kata-kata baginda pada waktu itu ialah, “ Siapa yang ingin bersamaku mengajak manusia lain mentauhidkan Allah? Marilah kita ajak manusia sekaliannya beriman kepada Allah.” Musim haji ini adalah peluang yang amat baik untuk kita menjalankan usaha dakwah, mengajak manusia kearah mentauhidkan Allah dan kearah pengamalan Islam. Ini adalah kerana disinilah manusia seluruh dunia berkumpul. Kita tidak perlu susah-susah untuk berziarah untuk berdakwah dari negeri ke negeri kerana disinilah kita boleh bertemu orang dari seluruh dunia. Kita tidak perlu pergi mengelilingi dunia kerana dunia telah datang berkumpul dekat dengan kita. Maka kita sebagai daei ilallah (penyeru ke arah jalan Allah), perlulah mengambil peluang ini untuk berdakwah kepada semua individu semampu mungkin. Dengan harapan agar bilamana mereka pulang ke kampung halaman mereka nanti, mereka akan menyebar luaskan lagi usaha dakwah ini. Begitulah ujar penceramah itu dengan penuh semangat.
Penceramah itu menambah lagi bahawa perkara yang penting lagi di dalam kerja buat haji ini ialah falsafah yang terkandung di dalam segala perbuatan haji. Selain manasik haji seperti yang kita pelajari dalam kursus-kursus haji bersiri yang pernah kita lalui, kita juga perlu mengetahui dan menghayati falsafah dan pengajaran disebalik peristiwa-peristiwa haji. Bagaimanakah kita menghayati sejarah perjuangan rasul-rasul terdahulu? Bagaimanakah kita menginsafi diri kita yang banyak melakukan kesalahan ini? Bagaimanakah kita berusaha untuk merebut janji-janji 13
daripada Allah seperti pahala, syurga, bertemu dengan Allah dan syahid di jalan Allah? Itu antara persoalan yang perlu kita rungkaikan di sepanjang perjalanan menunaikan haji ini. Dan sebagai penutup, mubaiyyin memberikan peringatan bahawa dalam pekerjaan haji ini, elakkan daripada perkara-perkara duniawi. Kurangkan pemikiran kita daripada perkara-perkara yang boleh merosakkan haji. Kurangkan aktiviti-aktiviti seperti membeli belah berlebih-lebihan, „window shopping‟ dan „ tawaf kedai‟ yang mana perkara tersebut sedikit sebanyak boleh mensasarkan niat dan tujuan sebenar kita datang ke Mekah ini. Selesai bayan dan solat Isya berjemaah, kami dijamukan dengan sajian yang sangat istimewa oleh tuan rumah iaitu nasi briani kambing.

Isnin, 27 Januari 2003 – Umrah bersama rakan-rakan & kaifiyat tawaf


Jam 10;00 pagi, kami semua bangkit dari tidur yang lena selepas membuai mimpi. Pagi itu, kami bermesyuarat untuk aktiviti hari ini. Selepas melantik ketua/amir untuk hari ini, kami membaca sedikit buku ta‟alim tentang keutamaan haji dan dakwah. 5:00 petang selepas Asar, seperti yang diputuskan dalam mesyuarat pagi, kami berkumpul untuk melaksanakan umrah. Selepas mengenakan „uniform‟ umrah, iaitu pakaian ihram, aku bersama Cikgu Amir, Adnan dan Roslan menyewa sebuah teksi untuk ke Tan‟eem bagi melaksanakan niat umrah dan berihram di sana. Pemandu teksi kami adalah seorang pemuda yang berasal daripada India dan beliau juga adalah seorang „maulana‟ atau dalam istilah kita disini, ustaz. Lama juga kami berborak dalam bahasa yang agak-agak faham. Dia boleh berbahasa Ingeris campur Arab. Kami juga bolehlah sedikit-sedikit berbahasa Inggeris dan Arab. Perjalanan pergi balik yang mengambil masa lebih kurang setengah jam itu terisi jugalah dengan perbualan ukhuwwah itu. Sesampainya kami semula ke Mekah, azan maghrib sedang berkumandang. Suara azan muazzin Mekah itu amat menusuk kalbu. Kalau selama ini, kita hanya mendengarnya melalui corong-corong radio dan televisyen, kali ini kita dapat mendengarnya secara „life‟ dari tuan empunya diri. Selesai solat berjemaah Maghrib, aku menuju ke Kaabah untuk melaksanakan tawaf. MasyaAllah, ramai sungguh orang bersesak-sesak disini. Kalau hendak diikutkan hati, mahu sahaja aku tangguhkan dulu kerja tawaf ini kerana tidak tahan dengan keadaan orang yang terlalu ramai itu. Hampir kelemasan aku dibuatnya kerana orang ramai saling tolak menolak antara satu sama lain. Namun kerana memikirkan bahawa perjuangan Nabi Muhammad dalam melaksanakan dakwah dahulu lebih sukar lagi jalannya, aku menguatkan semangat untuk meneruskan tawaf walaupun suasana agak tidak mengizinkan. Sebelum ini, ada seorang ustaz pernah mengajariku tentang cara tawaf yang berkesan selain daripada cara doa yang diajar oleh pihak Tabung Haji dalam kursus-kursus haji bersiri. Perkara yang pertama sekali yang perlu kita buat ialah menumpukan perhatian kita kepada amalan tawaf ini. Dalam istilahnya ialah „tawajjuh‟. Kita bertawajjuh dengan amalan tawaf ini. Maka dengan penuh tawajjuh, kita berdoa seperti berikut pada setiap pusingan:-

1) Istighfar sambil mengenangkan dosa-dosa kita yang lalu.

2) Mohon Taufiq Hidayah

3) Mohon mati dalam Iman

4) Mohon dilepaskan dari azab kubur.

5) Mohon diselamatkan dari padang Mahsyar

6) Mohon lepas Titian Sirath

7) Mohon dimasukkan ke syurga

Alhamdulillah, apabila mengamalkan apa yang diajarkan itu, segala kerisauan telah hilang. Tiada lagi kerisauan tentang kesusahan, orang-orang yang menolak, orang ramai dan segala yang negatif. Aku hanya memikirkan tentang aku dengan Allah.. Aku hanya memikirkan tentang 7 perkara itu…subhanallah, moga-moga apa yang aku buat ini akan membentuk jiwa aku menjadi orang yang lebih teguh atau thabat dalam perjuangan. Perasaanku kini bukan bersama manusia yang bersesak-sesak tetapi merasakan kebersamaanku dengan Allah. Selesai tawaf, aku melaksanakan saei, namun hanya sempat menyempurnakan satu kali saei sahaja kerana waktu solat Isyak sudah semakin hampir. Baki 6 kali saei lagi, aku sambung selepas menunaikan solat Isyak.

Rabu, 29 Januari 2003 – Pengisian oleh Maulana Farouq


Selesai iktikaf di Masjid selepas Subuh, aku pulang ke bilik untuk mesyuarat harian bersama sahabat-sahabat dibilik. Mesyuarat kami memutuskan untuk membuat lawatan disekitar kawasan Tanah Haram.
Jam 9:00 pagi, aku bersama abang Adnan, Cikgu Amir, Rafid, pakcik Mohammad dan abang Roslan berhajat untuk menyewa minibas untuk program lawatan tersebut. Setelah membuat „survey‟, kami mendapati sebuah van mengenakan bayaran sebanyak SR150 bagi satu trip perjalanan. Van yang sepatutnya boleh memuatkan seramai 11 orang itu hanya disewa oleh kami berenam. Maknanya kami mengeluarkan SR25 seorang untuk lawatan tersebut. Pemandu van tersebut membawa kami menziarahi Jabal Thur, Arofah, Jabal Rahmah, Masjid Namirah, Mudzalifah, Mina dan Jabal Nur. Selesai ziarah, kami pulang semula ke hotel untuk beristirahat. Selepas Asar, aku bercadang untuk membuat tawaf sunat. Tapi kali ini aku hendak cuba bertawaf di tingkat dua masjid kerana dibawah sana, orang terlalu ramai membuat tawaf. Menurut perkiraanku, satu pusingan tawaf mengambil masa sekitar 7minit. Secara keseluruhannya 7 pusingan tawaf mengambil kira-kira 50 minit untuk selesai!! Selesai solat Maghrib, aku pulang ke hotel untuk menyempurnakan hak perut. Semasa sedang menikmati juadah malam itu, tiba-tiba seorang pemuda yang lagaknya seperti seorang „karkun‟(pendakwah tabligh) mendekatiku. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Rauf dan kami berbual-bual untuk saling mengenali antara satu sama lain. Di akhir perbicaraan, dia mengajakku ke rumah seorang orang alim di pinggir Kota Mekah. Kebetulan pula, aku tiada kekangan aktiviti pada malam ini, lalu aku menyatakan persetujuanku. Kami berjanji untuk bertemu berdekatan jam besar berhadapan pintu Malik Abdul Aziz. Sebagaimana yang dijanjikan, kami bertemu di tempat tersebut. Disana aku berkenalan dengan beberapa „karkun‟ Malaysia seperti Ustaz Abdul Ghani, Abdurrahman dan beberapa orang yang lain. Kami dibawa ke destinasi yang dituju oleh seorang pemuda Arab. Setibanya kami di kediaman Maulana Farouq, beliau sedang mengadakan kuliah dengan beberapa orang anak muda. Mungkin anak muridnya agaknya. Kami menunggu sebentar sementara beliau menghabiskan pengajarannya kepada anak-anak muda tersebut. Selesai kuliahnya, kami saling berkenalan. Maulana Farouq atau Syeikh Farouq adalah amir jemaah tabligh di Mekah. Beliau berasal daripada Pakistan dan telah lama menetap di Mekah atas urusan dakwah. Sambil berbual-bual, beliau memberikan sedikit nasihat kepada kami semua yang hadir. Beliau memulakan dengan sepotong ayat Al-Quran,
““Sesungguhnya Rumah Ibadat Yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah Yang di Makkah Yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.Di situ ada tanda-tanda keterangan Yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim. dan sesiapa Yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan Ibadat Haji Dengan mengunjungi Baitullah Iaitu sesiapa Yang mampu sampai kepadaNya. dan sesiapa Yang kufur (ingkarkan kewajipan Ibadat Haji itu), maka Sesungguhnya Allah Maha kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk. (Ali Imran; 96-97)

1. Berdasarkan ayat ini, Allah memaklumkan kepada kita bahawa Allah telah menjadikan Kaabah ini untuk dua perkara iaitu:-

a. Berkat

b. Hidayah


2. Haji adalah niat untuk mendapat keredhaan Allah.

3. Roh kepada ibadah haji ini ialah untuk mengingatkan kita kepada Padang Mahsyar sebagaimana firman Allah dalam Surah Al Baqarah, ayat 196-203,
“Dan sempurnakanlah Ibadat Haji dan Umrah kerana Allah; maka sekiranya kamu dikepong (dan dihalang daripada menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, maka kamu bolehlah bertahallul serta) sembelihlah Dam yang mudah didapati; dan janganlah kamu mencukur kepala kamu (untuk bertahallul), sebelum binatang Dam itu sampai (dan disembelih) di tempatnya. maka sesiapa di antara kamu sakit atau terdapat sesuatu yang menyakiti di kepalanya (lalu ia mencukur rambutnya), hendaklah ia membayar fidyah. Iaitu berpuasa, atau bersedekah, atau menyembelih Dam. Kemudian apabila kamu berada kembali Dalam keadaan aman, maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan Dengan mengerjakan Umrah, (dan terus menikmati kemudahan itu) hingga masa (mengerjakan) Ibadat Haji, (bolehlah ia melakukannya kemudian wajiblah ia) menyembelih Dam yang mudah didapati. kalau ia tidak dapat (mengadakan Dam), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari Dalam masa mengerjakan Haji dan tujuh hari lagi apabila kamu kembali (ke tempat masing-masing); semuanya itu sepuluh (hari) cukup sempurna. hukum ini ialah bagi orang yang tidak tinggal menetap (di sekitar) Masjid Al-Haraam (Makkah). dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan ketahuilah bahawasanya Allah Maha berat balasan seksaNya (terhadap orang-orang yang melanggar perintahNya). (Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) Ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, Dalam masa mengerjakan Ibadat Haji. dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal Dengan cukupnya kerana Sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah); dan bertaqwalah kepadaKu Wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).
Tidaklah menjadi salah, kamu mencari limpah kurnia dari Tuhan kamu (dengan meneruskan perniagaan ketika mengerjakan Haji). kemudian apabila kamu bertolak turun dari padang Arafah (menuju ke Muzdalifah) maka sebutlah nama Allah (dengan doa,"talbiah" dan tasbih) di tempat Masy'ar Al-Haraam (di Muzdalifah), dan ingatlah kepada Allah Dengan menyebutnya sebagaimana ia telah memberikan petunjuk hidayah kepadamu; dan Sesungguhnya kamu sebelum itu adalah dari golongan orang-orang yang salah jalan ibadatnya. Selain dari itu hendaklah kamu bertolak turun dari (Arafah) tempat bertolaknya orang ramai, dan beristighfarlah kamu kepada Allah (dengan memohon ampun), Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan Ibadat Haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkanNya) sebagaimana kamu dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan Dengan sebutan yang lebih lagi. Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami! berilah Kami kebaikan) di dunia". (orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat. Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah Kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah Kami dari azab neraka". Mereka itulah yang akan mendapat bahagian Yang baik dari apa Yang telah mereka usahakan; dan Allah amat cepat hitunganNya. Dan sebutlah kamu akan Allah (dengan takbir semasa mengerjakan Haji) Dalam beberapa hari yang tertentu bilangannya. kemudian sesiapa yang segera (meninggalkan Mina) pada hari yang kedua, maka ia tidaklah berdosa dan sesiapa yang melambatkan (meninggalkan Mina) maka ia juga tidaklah berdosa; (ketiadaan dosa itu ialah) bagi orang yang bertaqwa dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah dan ketahuilah Sesungguhnya kamu akan dihimpunkan kepadaNya.” (Al-Baqarah: 196-203) Di akhir ayat tersebut menerangkan tentang matlamat haji ini adalah untuk mengingatkan kepada kita bahawa akhirnya kita semua ini akan dihimpunkan kepada Allah.

4. Taubat – Ramai manusia senang untuk buat istighfar tetapi sedikit sekali yang pandai melakukan kerja taubat. Taubat bermaksud berjanji untuk tidak mengulangi lagi dosa yang lalu yang pernah dilakukan sebelum ini. Orang yang tidak mahu bertaubat adalah orang yang amat lemah imannya.

5. Mengapa kita bertaubat? Kerana kita ini telah menzalimi diri sendiri sebagaimana permohonan Nabi Adam yang dinukilkan oleh Allah dalam surah Al-A‟raf ayat 23,

“Mereka berdua merayu: "Wahai Tuhan kami, Kami telah menganiaya diri Kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan Kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah Kami dari orang-orang Yang rugi". (Al-A‟raf, 23) Dan juga Surah An-Naml ayat 44 dalam kisah Nabi Sulaiman,

“ (Setelah itu) dikatakan kepadanya: "Dipersilakan masuk ke Dalam istana ini." maka ketika ia melihatnya, disangkanya halaman istana itu sebuah kolam air, serta Dia pun menyingsingkan pakaian dari dua betisnya. Nabi Sulaiman berkata: "Sebenarnya ini adalah sebuah istana Yang diperbuat licin berkilat dari kaca". (Mendengar Yang demikian), Balqis berdoa: "Wahai Tuhanku, Sesungguhnya Aku telah menganiaya diri sendiri dan (Sekarang Aku menegaskan bahawa) Aku berserah diri memeluk Islam bersama-sama Nabi Sulaiman, kepada Allah Tuhan sekalian alam ". (An-Naml, 44)

6. Haji ini adalah untuk memohon “Keampunan” dan “Rahmat” daripada Allah kerana kita ini telah menzalimi diri kita sendiri. Nabi Adam dan Hawa telah bertemu di Jabal Rahmah kerana ingin memohon keampunan daripada Tuhan. Nabi Muhammad berdoa kepada seluruh ummat ketika baginda berada di padang Arafah. Dan baginda juga berdoa perkara yang sama di Muzdalifah. Adalah diriwayatkan bahawa doa nabi untuk ummatnya yang zalim itu dikabulkan oleh Allah di Muzdalifah dan tidak di Arafah.

7. Ada empat jenis manusia yang datang untuk menunaikan haji.
a. Musyrikin – ketika zaman sebelum pembukaan Kota Mekah oleh baginda Nabi.
b. Solihin – Orang-orang yang Soleh yang menyempurnakan rukun-rukun haji. Mereka memperolehi haji yang mabrur kerana menjaga semua pantang larang haji. Mereka mempunyai kualiti iman yang tinggi. Antara balasan haji mabrur itu adalah 5 perkara iaitu:-
i. Diampunkan segala dosa
ii. Doa dimakbulkan oleh Allah
iii. Dapat memberikan syafaat kepada ahli keluarga
iv. Tidak akan dijangkiti kemiskinan
v. Masuk syurga Allah
c. Anbiya – Nabi-nabi memohon kepada Allah agar menerima segala usaha pengorbanan mereka
d. Haji Nabi Muhammad sallalhualaihiwasallam – Pada musim haji, Nabi Muhammad ingin menyampaikan tanggungjawab dakwah ini kepada ummat. “To give responsibility to the Ummah.” Sebagaimana sabda baginda,

” Didalam Haji Nabi Muhammad sallahu alaihi wasallam, ada empat perkara/falsafah utama iaitu:-
1. Dakwah
2. Ta‟lim / Majlis Ilmu
3. Zikir dan Ibadah
4. Khidmat

DAKWAH- Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam berjalan selama 10 tahun di Mekah. Pada waktu itu, pada setiap kali musim haji, baginda pergi dari khemah ke khemah untuk menyampaikan kalimah Lailaha illalah. Nabi berdakwah kepada orang-orang yang masih belum Islam lagi supaya beriman kepada Allah Bila Islam telah berkembang pesat, baginda Nabi masih juga pergi dari khemah ke khemah untuk melakukan kerja dakwah tetapi kali ini dengan slogan yang lain iaitu, "Man Ansori Ilallah?- siapa yang ingin bantu aku ke arah jalan Allah?
Pada awal Islam, nabi mula berdakwah dari Mina dan dari sana, 6 orang Madinah yang telah menyahut seruan nabi. Kali kedua, mereka datang dengan membawa 12 orang yang membuat janji setia dengan baginda. Nabi berdakwah, mula dari Mina dan berakhir ke Mina dengan turunnya ayat surah Al-Maidah ayat 3

“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu. maka sesiapa Yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda Yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Al-Maidah:3) Kita sebagai ummat Nabi, sepatutnya membanyakkan doa agar haji yang kita tunaikan ini menjadi seumpama haji nabi yang tidak hanya mengisi dengan manasik-manasiknya sahaja tetapi melaksanakan sunnah yang terbesar iaitu dakwah. Biar setiap orang yang datang untuk menunaikan haji ini kembali ke negara masing-masing dengan membawa tugas dakwah. Ini merupakan peluang yang baik bagi kita dalam jamaah tabligh ini untuk melaksanakan kerja dakwah kerana kita tidak perlu menjelajah keseluruh dunia kerana dunia telah datang berkumpul disini. TA‟LIM- Semasa kerja haji, Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam telah mengajar sahabat-sahabat tentang cara-cara membuat haji ataupun kita sebut sebagai manasik haji. Semasa dalam perjalanan, Nabi mengajar sahabat tentang ihram, Wuquf di Arofah, Mabit di Mina dan Mabit di Muzdalifah. Mula-mula nabi pergi ke Mina Mula-mula nabi menuju ke Mina, bersedia untuk ke Arofah. Kemudian pada hari tarwiyah, bersedia hati. Selepas solat subuh, nabi berdoa di Muzdalifah dan doa nabi makbul disini. Sebagaimana firman Allah Al-Baqarah:198

“Tidaklah menjadi salah, kamu mencari limpah kurnia dari Tuhan kamu (dengan meneruskan perniagaan ketika mengerjakan Haji). kemudian apabila kamu bertolak turun dari padang Arafah (menuju ke Muzdalifah) maka sebutlah nama Allah (dengan doa,"talbiah" dan tasbih) di tempat Masy'ar Al-Haraam (di Muzdalifah), dan ingatlah kepada Allah Dengan menyebutnya sebagaimana ia telah memberikan petunjuk hidayah kepadamu; dan Sesungguhnya kamu sebelum itu adalah dari golongan orang-orang Yang salah jalan ibadatnya. (Al-Baqarah:198) ZIKRULLAH- Apabila kita menuturkan kalimah Labbaikallahumma Labbaik, kita perlu sebut dengan keikhlasan dan mempunyai perasaan yang Allah tidak menerima kita. Perlu ada perasaan takut dan bimbang Allah tidak menerima sahutan kita itu. IBADAH- Melakukan ibadah sebagaimana yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam . KHIDMAT – Didalam kita membuat kerja haji ini ada tiga perkara yang perlu kita ambil perhatian sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam iaitu:-
1. Sebarkan Salam
2. Beri makan
3. Eratkan / Sambungkan Silaturrahim
Seandainya kita buat semua perkara ini, sudah pasti hidayah akan turun dan begitu juga dengan keberkatan. Sebagaimana firman Allah dalam ayat yang disebutkan sebelum ini sebagai HIDAYAH DAN KEBERKATAN UNTUK SELURUH ALAM

Jumaat, 31 Januari 2003 – Kisah Pakcik Mohammad

Semasa sarapan pagi, aku berbual-bual dengan jiran sebilikku. Sambil-sambil bertanya khabar dan sebagainya, aku selitkan sedikit ilmu yang aku pelajari semalam daripada Maulana Farouq. MasyaAllah, aku amat berharap agar Allah gunakan aku ini untuk manfaat Islam. Biarlah Allah gunakan lisanku ini untuk menuturkan kalimah-kalimah tauhid dan mengajak manusia kearah kebenaran. Jam 10:00 pagi, kami mengadakan membaca buku ta‟lim dan bermesyuarat sedikit untuk program hari ini. Hari ni tiada program jama‟iy (berkumpulan). Masing-masing dengan program tersendiri. Aku dan Pakcik Muhammad bercadang untuk mengerjakan umrah sunat. Selepas solat Jumaat seperti yang dijanjikan, aku dengan Pakcik Mohammad pergi ke stesen bas yang bertentangan dengan tempat saei untuk pergi ke Tan‟eem. Dalam perjalanan, aku terserempak dengan seorang kenalan lama, Ustaz Abdul Halim namanya. MasyaAllah „What a small world again‟. Terasa sungguh kecil dunia ini kerana dalam ramai-ramai manusia yang ada di Mekah ini (mungkin hampir 3 juta), masih Allah temukan kami. Kami berborak ringkas kerana aku terpaksa menemani Pakcik untuk berniat ihram di Tan‟eem. Dalam perjalanan ke stesen bas, semasa itu kami berjalan berdampingan. Secara tiba-tiba aku merasa pelik kerana semasa kami berjalan itu, Pakcik sudah tiada di sebelahku. Puas aku menoleh kiri dan kanan untuk mencari kemana hilangnya orang tua ini dalam kesesakan orang ramai itu. Lalu aku terpandang kebelakang dan melihat sekumpulan wanita muda berkulit gelap sedang mengerumuni Pakcik. Aku terpegun kerana tidak pernah terlintas yang perkara itu boleh terjadi di perkarangan Masjidil Haram ini. Mereka menarik-narik pakcik semacam meminta sedekah dan dari jauh itu, aku melihat salah seorang daripada mereka menyelukkan tangannya kedalam beg Pakcik dengan tujuan mencuri. Dengan segera aku berlari kearah mereka dan menjerit “Hoi!!”. Mereka berkeliaran lari kerana menyedari tindakan mereka itu sedang aku perhatikan. “MasyaAllah pakcik..Pakcik OK ke?”. Pakcik Mohammad yang sememangnya sering tersenyum itu berkata, “Tak apa-apa.. OK aje, mereka nak minta sedekah tadi, pakcik nak bagi.” Saya berkata, “Mak saya pesan, lain kali, kalau orang nak minta sedekah cara begini jangan bagi sebab kalau kita bagi satu, nanti diaorang ajak kawan-kawan yang lain datang lagi. Pokai kita nanti. Kalau nak sedekah, kita bagi senyap-senyap sahaja kepada mana-mana individu yang kita nak bagi nanti.” Subhanallah, aku tidak pernah menyangka yang peristiwa ini boleh terjadi didepan mataku. Tidak mengapalah, yang pentingnya Pakcik selamat. 3:15-3:30 - Naik bas 3:50 – Solat Asar 4:15-4:45 – Bas 5:15 Tawaf – sempat 6 pusingan
Selepas Maghrib tambah lagi satu pusingan dan selesaikan saei sehingga selesai. Tambang bas SR4:00 pergi balik

Sabtu-Ahad, 1-2 Februari 2003 – Rutin Harian
Dua tiga hari ini, rutin kehidupanku hanyalah aktiviti yang hampir sama. Tiada yang istimewa. Cumanya saban hari, aku cuba untuk belajar berdakwah. Hari-hariku mulakan dengan tahajud dan bacaan Al-Quran diikuti dengan solat subuh dan zikir subuh. Selepas sunat Isyraq, pulang ke bilik hotel untuk bersarapan pagi. Selepas sarapan, tidur sekejap untuk mengganti tidur semalam dan mengumpul tenaga untuk sehari ini. Biasanya jam 10:00pagi, kami dibilik akan adakan majlis ilmu dengan sekurang-kurangnya membaca buku Fadha'il A'mal (Kelebihan Amal) dengan fokus kami kepada Kelebihan-kelebihan dalam ibadah haji. Selepas ta'lim, kami bermesyuarat dan membentang kerja dakwah yang kami buat, siapa yang kami dakwahkan, asal dari negeri/negara mana, apa yang kami dakwahkan dan sebagainya. Selesai bermesyuarat, kami membuat aktiviti bebas. Ada yang dibuat secara kolektif dan ada yang dibuat secara individu seperti umrah, bacaan Al-Quran, iktikaf di masjid, ziarah dan macam-macam lagi. Tetapi menjadi suatu ketetapan kami untuk bertegur sapa dengan sesiapa sahaja yang kami jumpa dengan tujuan silaturrahim dan dakwah. Kadangkala kami bertemu dengan orang dari Asia Barat, Timur, Barat, Eropah, Australia, Amerika dan pelbagai lagi.

Isnin, 3 Februari 2003 – Lawatan ke Hudaibiyah,Museum Haramain dan demam


2:00pagi, bangun dan bersiap sedia untuk tahajud di Masjid. Selepas solat subuh berjemaah, kami bersarapan bersama-sama ahli bilikku. Semasa makan tersebut, aku diajak oleh Cikgu Amir dan abang Adnan untuk berziarah ke beberapa tempat bersejarah di sekeliling kota Mekah. Ada dua biji bas yang akan membawa kami berziarah dengan diketuai oleh Ustaz ZulEhsan dan Ustaz Abdul Ghani. Setakat yang kenal, mereka berdua ini adalah juga ahli jemaah tabligh. Jadi, jangkaan aku, dalam penjelasan mereka sepanjang perjalanan nanti sebagai „tour guide‟ kami, mereka akan memasukkan unsur-unsur dakwah dan jihad. Harapanku agar ziarahku ke Hudaibiyah akan menjelmakan ruh suhul Hudaibiyah ke dalam diriku. Harapanku agar ziarah ke Museum
25
Haramain nanti akan menambah kefahamanku kepada Baitullah Al Haram, Masjidil Haram dan Masjidin Nabawi. Tambang yang diambil bagi satu kepala ialah SR30.00. Destinasi pertama kami ialah ke masjid Hudaibiyah. Selepas selesai solat sunat tahiyyatul masjid dua rakaat, kami ke lokasi dimana perjanjian Hudaibiyah dilaksanakan. Menurut Ustaz Abdul Ghani, Hudaibiyah menyimpan seribu satu kenangan tentang sirah perjuangan Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Hudaibiyah membongkar rahsia pengorbanan para sahabat nabi dan rahsia kemenangan ummat Islam ke atas Mekah. Selepas itu, kami ke ladang unta untuk melihat-lihat cara unta diternak dipadang pasir. Ustaz „tour guide‟ menceritakan kepada kami bahawa unta merupakan binatang yang amat istimewa kerana ianya telah dinyatakan oleh Allah sendiri di dalam Al-Quranul Karim,

“Mengapa mereka Yang kafir masih mengingkari akhirat) tidakkah mereka memperhatikan keadaan unta Bagaimana ia diciptakan?” (Al Ghaashiyah: 17)
Pasti ada keistimewaan yang tersendiri yang terdapat pada penciptaan unta sehingga Allah menukilkannya di dalam Al-Quran.
Selesai membelai-belai unta dan merasa susu unta yang berkhasiat itu, kami menuju ke Museum Haramain. Di museum tersebut, kami menambah pengetahuan kami berkenaan barang-barang dan peralatan yang pernah diletakkan di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Aku sedikit kecewa kerana terlupa untuk membawa kamera. Sedih juga sedikit kerana tidak dapat mengabadikan kenangan ziarah ke sini di dalam bentuk foto. “Tak mengapalah, mungkin tiada rezekiku kali ini.” Detik hatiku. Aku dapat melihat model dua masjid haram tersebut, tangga bergerak untuk pintu kaabah, penutup hajar aswad, kubah menara masjid, pintu kaabah yang lama dan macam-macam lagi yang berkaitan dengan Haramain (dua tanah Haram). Destinasi seterusnya ialah ke kilang membuat kelambu kaabah dan pasar buah. Aku tidak beli apa-apa di pasar buah, hanya „window shopping‟ sahaja.
Jam 12:00 tengahari, kami kembali ke hotel. Selepas solat zohor, aku merehatkan diriku di atas katil. Tanpa disedari, aku terlelap, mungkin kerana kepenatan ,tanpa qadha tidur kerana berjaga
awal pagi tadi. Badanku terasa agak panas sedikit daripada biasa dan terasa sengal-sengal. Ya Allah, berilah aku kesihatan agar mudah untukku menambah amal ibadahku di tanah suci ini. Selepas solat Asar, aku terus-terusan tidur sehanggalah ke Subuh. Hanya bangun sekejap-sekejap untuk Maghrib dan Isyak. Aku juga terlepas temujanjiku untuk menziarah Tuan Guru Salleh Penanti. Moga-moga ianya menjadi kifarah dosaku yang bertimbun-timbun ini. Allahummaghfir li Ya Allah. Ampunkan segala dosaku Duhai Allah.

Khamis, 6 Februari 2003 – Taklimat Perjalanan Haji

Mula jam 2:00pagi hingga Maghrib, rutin harianku berjalan seperti biasa dengan diselangi oleh dakwah fardhiyyah dengan jemaah haji yang lain.
Selepas Isyak, aku bersama rakan-rakan dakwah yang lain termasuk rakan sebilikku berkumpul di bawah lampu „spotlight‟ bersetentang dengan pintu Babus Salam. Disitu ada lebih kurang 30 sahabat-sahabat lain sedang menunggu bersama Ustaz Zul Ehsan. InsyaAllah dalam masa 3 hari lagi, kami akan memulakan acara kemuncak iaitu menunaikan ibadah Haji. Kami bercadang untuk ber‟mufarraqah‟ daripada jemaah Tabung Haji kerana kami berhajat untuk berjalan kaki ke Arofah yang terletak lebih kurang 20km daripada Kota Makkah.
Ustaz Zul Ehsan memberikan taklimat ringkas kepada kami tentang persediaan yang perlu sebelum memulakan perjalanan. Ada beberapa benda dan peralatan penting yang perlu kami bawa sebagai bekalan perjalanan. Kami juga diberikan penjelasan berkenaan waktu berkumpul, destinasi-destinasi yang akan kami pergi sebelum dan selepas wuquf di Arafah, bekalan, jumlah duit yang akan digunakan, pembahagian kumpulan, perlantikan ketua kumpulan, program-program sehingga tamat semua manasik haji dan macam-macam lagi. Akhir sekali, ustaz menerangkan akan falsafah haji ini sangat penting untuk kita hayati iaitu untuk menyemarakkan usaha dakwah diatas muka bumi ini. Kita mahu menghayati perjuangan ummat yang terdahulu agar menjelma dalam diri kita dan meresap masuk kedalam hati kita. Amin. Begitu juga harapanku.


Jumaat, 7 Februari 2003 – Dakwah karkun Jeddah

10:30 pagi selepas selesai majlis ilmu/ta‟lim, aku ke Masjid. Apabila turun sahaja keluar ke pintu hotel, aku terkejut kerana jemaah sudah ramai sehingga ke jalan raya. MasyAllah rupa-rupanya hari ini hari Jumaat. Aku menyangka aku sudah datang awal ke masjid untuk persediaan solat Jumaat. Rupa-rupanya sudah ramai orang lain yang sudah bersedia terlebih awal. Mungkin mereka sudah tunggu daripada semalam?!! Pintu masuk ke masjid sememangnya sudah ditutup untuk orang luar. Para askar telah menunggu di situ untuk meng‟divert‟ kami semua ke arah lain. Manusia terlalu ramai sehinggakan aku tidak boleh memilih halaku sendiri. Aku hanya mengikut arus mereka yang telah ditentukan oleh para askar tersebut. Dan akhirnya kami semua telah terarah ke terowong di bawah masjid berdekatan stesen bas bawah tanah. MasyaAllah ini suatu pengalaman yang tidak dapat dilupakan kerana tidak pernah berlaku kepadaku sebelum ini.
28
Inilah kali pertama aku solat Jumaat di dalam terowong Alhamdulillah „ala nikmatil Islam wal Iman. Jumaat ke Maghrib, aktiviti rutin seperti biasa. Selepas solat maghrib, sambil aku bersantai di depan Kaabah, datang dua orang yang aku tidak kenali. Mereka bertanya kepadaku, “ Takallim bil lughatil „arobiyyah?”…Jawabku, “Syuwaya syuwaya” Mereka bertanya kepadaku samada aku boleh berbicara dalam bahasa Arab atau tidak. Aku menjawab yang aku tahulah juga sedikit-sedikit bahasa arab ini kerana dahulu pernah belajar selama 3 tahun di salah sebuah SMK(A) di Melaka dan 2 tahun di Kolej Islam Kelang. Subhanallah, pertemuan ini adalah merupakan ketetapan daripada Allah. Allah telah menghantar mereka untuk memberi targhiib dan tarhiib kepadaku. Mereka memperkenalkan diri mereka bahawa mereka berasal daripada Jeddah. Mereka datang ke Mekah untuk kerja haji. Mereka menerangkan tentang kepentingan mengerjakan gerak kerja dakwah dalam musim haji ini. Sepertimana yang diajar oleh Maulana Farouq kepadaku dahulu, mereka seolah-olah telah dihantar oleh Allah untuk memberi tazkirah/ peringatan kepadaku. Allah seolah-olah berbicara kepadaku melalui lidah lisan mereka, “Jangan lupa apa yang telah dipelajari.” Setiap orang yang kamu jumpa lebih-lebih lagi yang dari negara kamu, kamu mesti sampaikan risalah Iman dan Islam. Jangan lupa itu!! Ini adalah kerja nabi. Kalau kita sayang nabi, perlulah kita ikut amal perbuatan nabi. Dakwah merupakan sunnah nabi yang perlu kita semua laksanakan.

Ahad, 9 Februari 2003 /8 Zulhijjah 1423 – Bermulanya acara kemuncak – HAJI

4:30 pagi, selepas menyiapkan segala bekalan yang perlu untuk ihram, kami teman sebilik 4 orang memulakan langkah ke Masjidil Haram. Sepertimana yang dijanjikan, kami berkumpul di bawah lampu „spotlight‟ berhadapan Babus Salam. Selepas tahajud dan solat Subuh berjamaah, kami mendengar taklimat dan pengisian ceramah / bayan hidayah oleh Ustaz Zul. Beliau mengingatkan kami kepada manasik haji yang perlu kita laksanakan dan memastikan semua telah berniat ihram dan sebagainya. 8:15 pagi, kami mula berjalan daripada Babus Salam menuju ke Mina. Kami melalui terowong yang terletak di belakang masjid yang bersetentang dengan tempat saei ( Safa Marwah). Perjalanan kami yang mengambil masa kira-kira 1 jam 45 minit itu telah menyampaikan kami ke Mina. Di Mina, kami mencari lokasi untuk mendirikan khemah bagi jemaah kami. Setelah khemah didirikan, kami berehat sambil menunggu masuknya waktu solat Zohor. Secara keseluruhannya, kumpulan kami ini dibahagikan kepada 4 kumpulan yang terdiri daripada lebih kurang sepuluh ke dua belas orang bagi satu-satu kumpulan dan kumpulanku di ketuai oleh cikgu Rauf. Sebelum sampai ke Mina, suatu insiden telah berlaku dimana salah seorang ahli kumpulan kami telah hilang di celah-celah ummat Islam yang ramai itu. Aku rasa, kami terpisah semasa kami berhenti untuk ke tandas. Pada mulanya, aku nampak pakcik Hanif masuk ke tandas dan keluar semula, tetapi tiba-tiba dia telah hilang dari pandanganku. Subhanallah, mungkin dia tidak ternampak kami sekumpulan yang sedang menunggu beliau di luar tadi. Mungkin dia berasa telah ditinggalkan kami, lalu tergesa-gesa keluar dan meneruskan perjalanan seorang diri. MasyaAllah kasihan dia, aku doakan agar Allah mudahkan perjalanannya menunaikan rukun Islam kelima ini.
Jam 12:30 tengahari, azan menandakan waktu Zohor telah masuk. Kami solat 2 rakaat qasar Zohor bersama imam masjid Khif dan kemudian daripada itu, mendengar khutbah daripada imam tersebut. Aku dimaklumkan oleh Ustaz Zul Ehsan, bahawa ia adalah suatu sunnah untuk kita laksanakan 5 waktu solat di kunjungan ke Mina yang pertama ini dan
memendekkan (qasar) bagi solat-solat yang 4 rakaat.Maka kami mulakan dengan Zohor, Asar, Maghrib, Isyak dan Subuh dengan niat manasik (yakni melaksanakan kerja haji). Disamping itu, kami meneruskan gerakan mencari pakcik Hanif yang hilang, namun tidak ketemu. Aku berdoa agar Allah membantu beliau untuk melakukan manasik haji ini dengan sempurna. Apa yang aku pelajari hari ini,
1) Mina yang pertama ini adalah tempat Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam memberikan „targheeb‟ atau semangat kepada para sahabat baginda radhiyallahu „anhum ajmain. Sebab itulah di Masjid Khif ini, Imamnya berkhutbah pada setiap selesai waktu solat bermula Zohor tadi sehingga Subuh. Nabi mengambil peluang ini untuk mengajari para sahabat akan manasik haji (cara-cara mengerjakan haji) dan juga kepentingan dakwah.
2) Menurut Ustaz Zul yang mengiringi kami, di dalam sebuah hadis riwayat Ibnu Jarir, pada hari ke 10 Zulhijjah, selepas tawaf dan saei, nabi solat Zohor di Mina.
3) Dalam hadis riwayat Ibnu Abbas, selepas tawaf dan saei di Mekah, nabi solat Zohor di Mekah dan Asar di Mina.
Jam 11:30 malam, aku terjaga untuk ke tandas tetapi apabila aku mula-mula bangkit , kakiku terasa sakit yang amat sangat. Tidak pernah lagi aku merasa sakit yang sedemikian lagi sebelum ini. Bermula daripada buku lali, naik ke betis dan terus ke peha, semuanya terasa sakit, subhanallah. Aku pun mula risau kerana masih jauh lagi perjalananku ini sebelum sampai ke Arafah. Kalau begini keadaanku, pasti ianya akan menyukarkan untuk meneruskan lagi jihadku ini. Aku baring sebentar untuk memikirkan apa yang perlu aku buat. Aku membelek beg tabung haji yang dibekalkan kepadaku oleh pihak Tabung Haji dan mendapati di dalamnya ada satu krim „Slogen Analgesic‟. “Mungkin ini dapat membantu,” detik hatiku. Aku menyapu krim tersebut daripada hujung kaki hingga ke pangkal peha dan menyambung semula tidurku. Aku tidak putus-putus berdoa agar Dia mudahkanku untuk meneruskan perjalanan ini. Alhamdulillah, dengan izin Allah jua, apabila aku bangkit pada jam 2:00pagi untuk bertahajud, aku merasakan bahawa sakit „cramp‟ di kakiku tadi telah mulai lega. Aku boleh berdiri dan berjalan semula. Alhamdulillah, syukur kepada Allah.

Isnin, 10 Februari 2003 /9 Zulhijjah 1423 – Perjalanan dari Mina ke Arafah

Pagi-pagi lagi, selepas solat subuh, dalam lingkungan jam 6:30pagi, kami bermesyuarat sesama ahli kumpulan kita. Ada cadangan untuk kita meneruskan perjalanan dari Mina ke Arafah ini dengan menaiki kenderaan seperti bas atau van atau apa-apa kenderaan asalkan tidak berjalan kerana ada yang sudah „insaf‟ berjalan kaki sejauh 7km semalam. MasyaAllah, lemahnya kami ini. Setelah menghantar beberapa orang „perisik‟ untuk mencari kenderaan, kami mendapati bahawa kos untuk berkenderaan ke Arafah yang terletak sejauh 15km dari Mina ini adalah sebanyak SR50.00 sekepala. Subhanallah, bila sebut sahaja tambangnya sehingga jumlah itu, kami memutuskan untuk meneruskan perjalanan dengan kenderaan „kaki‟ sahaja. “Kita jalan perlahan-lahan sahajalah, relek-relek sahaja. Kalau penat, kita berhentilah rehat,” ujar ketua kumpulanku memberikan kata-kata semangat untuk meneruskan lagi perjalanan. Bagiku hanya satu, aku ingin cuba menjiwai apa yang dirasai oleh orang-orang terdahulu yang memperjuangkan Islam tanpa kenderaan. Bagaimana mereka yang pada waktu itu yang tiada kenderaan canggih seperti kita ini, tetapi mampu menyebarluaskan Islam keseluruh dunia sehingga menguasai tiga suku dunia ini. Subhanallah…Subhanallah… Menurut perkiraanku, perjalanan dari Mina ke Mekah ini mengambil masa kira-kira 3 jam. Kami mula berjalan jam 7:05pagi dan tiba di Masjid Namirah di Arafah jam 10:05pagi. Berjalan kaki ini memang bagus, lebih-lebih lagi bagi ahli jemaah yang muda macam aku ini. Pertamanya, kita dapat sedikit sebanyak merasai apa yang dirasai oleh orang-orang terdahulu yang menunaikan haji. Bahkan pada zaman mereka amat jauh berbeza dari zaman sekarang. Pada masa nabi dahulu, perjalanan hanya dipenuhi oleh debu-debu padang pasir yang kering kontang. Berbeza dengan zaman sekarang dimana perjalanan ini hanyalah seperti suatu temasya. Jika kita terasa dahaga, kita hanya boleh berhenti di tepi jalan dan „water cooler‟ sedia untuk berkhidmat. Kedai-kedai dan gerai-gerai di kiri dan kanan perjalanan membuatkan kita lupa yang kita sedang mengerjakan ibadah haji.
Berbeza sungguh jemaah Malaysia dengan jemaah haji dari negara lain. Aku melihat, pada mereka, berjalan kaki ini seperti suatu yang biasa bagi mereka. Bukan sahaja yang sebaya denganku, bahkan ada pelbagai peringkat umur dari sekecil 4-5 tahun sehinggalah umur lingkungan 60-an termasuk lelaki dan wanita. Ada yang datang dengan keluarga yang terdiri daripada ayah, ibu dan anak-anak yang kecil seolah-olah mereka sedang berkelah, namun mereka berjalan kaki sepertiku juga daripada Mekah ke Arafah ini. Ada yang tua, berjalan dengan
32
tongkat, ada yang perempuan, sambil menjunjung beg besar diatas kepalanya. Aku juga bertemu dengan seorang makcik yang agak gemuk berjalan perlahan-lahan. Ada juga yang berjalan terhengsot-hengsot dan macam-macam orang yang aku temui. MasyaAllah, malu rasanya diriku ini kalau aku yang masih muda dan diberikan kesihatan ini mengambil sebarang kenderaan untuk tujuan ini. Aku pohon banyak-banyak kepada Allah agar menerima amalanku yang tidak seberapa ini. Sebelum itu, aku terlupa untuk mencoretkan disini bahawa apabila kami tiba di Muzdalifah (dalam perjalanan ke Arafah), kumpulan kami telah terpecah dua. Ada sebahagian yang sudah tidak mampu lagi meneruskan perjalanan berhasrat untuk mencari kenderaan. Maka, ketua putuskan bahawa sesiapa yang mampu berjalan, teruskan berjalan dan bagi yang tidak, bolehlah mencari mana-mana kenderaan dan kita akan bertemu di Masjid Namirah di penjuru sebelah kanan masjid. Daripada bilangan ahli kumpulan kami itu, aku termasuk dalam kumpulan yang ingin terus berjalan kaki. Walaupun hatiku memberontak untuk mengikut mereka, namun apabila memikirkan bahawa orang lain yang lebih kurang kemampuan daripadaku pun masih lagi berjalan apatah lagi aku yang masih muda remaja ini.
Tatkala kami tiba di Arafah, kami membeli sedikit roti dan kuah kari untuk melapik perut yang kosong. Selepas „lunch‟ itu, kami pergi ke Masjid Namirah seperti yang di janji. Orang terlalu ramai ketika itu, bersesak-sesak dan berhimpit-himpit seumpama ramainya orang sewaktu tawaf. Tiada ruang antara kami. Kami cuba menghampiri penjuru kanan masjid sepertimana yang dijanji dengan kumpulan yang menaiki kenderaan tadi, namun arus manusia telah menolak kami keluar semakin jauh daripada masjid. Agak sukar untuk aku menggambarkan keadaanku itu sewaktu itu melalui penulisan ini kerana hanya orang yang melaluinya sahaja yang dapat merasakan suasana ketika itu! Temanku berkata kepadaku bahawa kalau kita ikut arus ini, kita akan tertolak jauh daripada masjid dan mencadangkan agar kita berhenti sahaja. Apa hendak jadi, jadilah! Lalu, kami bentang tikar di tepi laluan dan duduk disitu sementara menunggu masuknya waktu solat Zohor. Namun, ujian tidak berhenti setakat itu, kerana tempat kami membentang tikar itu pula menjadi laluan atau „toriq‟ orang ramai. Sekejap-sekejap tikar kami dipijak orang. Tunggu sekejap, tikar kami dipijak lagi. Apa yang boleh aku buat hanyalah bersabar atas apa yang berlaku. Inilah ujian Allah. Betullah kata orang yang Arafah ini merupakan tempat yang Allah makbulkan doa. Ada dua insiden yang mengajar aku akan kebesaran Allah. Pertamanya ialah sewaktu aku melihat banyak roti „sabil‟ yang diagih-agihkan kepada orang ramai sebagai sedekah, aku berbisik kepada sahabatku, “Uish, kalau dapat roti sabil ni tentu best ni.” Tidak sampai setengah minit, tiba-tiba, sebungkus roti „sabil‟ melayang terjatuh diatas ribaku. Subhanallah, aku tersentak kerana tidak tahu dari mana datangnya roti tersebut. Roti „sabil‟ yang aku namakan itu adalah roti nan yang diberikan secara percuma kepada orang ramai. Sambil mereka mengagih-agihkan roti itu dan terpaksa berebut-rebut mengambilnya, mereka menyebut , „Fi Sabilillah‟. Sebab itu aku memanggilnya sebagai roti „sabil‟.
Insiden kedua ialah, sewaktu orang terlalu ramai berpusu-pusu memijak tikarku semasa aku menunggu untuk solat Zohor itu, aku menadah tangan sambil berdoa kepada Allah agar
33
memudahkan aku untuk solat Zohor dan Asar. Secara tiba-tiba dengan kuasa Allah, manusia menjadi surut dan tidak sesak lagi sehinggalah iqomah dikumandangkan dan aku dapat selesai menunaikan solat Zohor dan Asar secara jama‟ taqdim tanpa qasar.
Selepas khutbah dan solat, kami bertemu kumpulan daripada Singapura. Kami bersilaturrahim sambil berkenal-kenalan antara satu sama lain. Aku dan teman-temanku berhasrat untuk mencari Maktab Tabung Haji Malaysia di Arafah ini. Sekurang-kurangnya kami boleh menumpang mereka dalam perjalanan pulang ke Mekah nanti.
Sambil pusing-pusing mencari jemaah Malaysia, aku membanyakkan doa. Sememangnya orang betul-betul ramai sehinggakan tiada ruang antara kami,kulit bersentuh kulit semacam di Padang Mahsyar. Aku memperbanyakkan zikir dan doa dan berfikir akan hari akhirat. Mungkin ini adalah gambaran di Padang Mahsyar nanti. Sudahlah panas sebab kepalaku yang sudah dibotakkan semasa melaksanakan umrah tempoh hari. Memang cahaya matahari memancar terus kearah kulit kepalaku. Aku yakin dengan firman Allah yang katanya haji ini mengingatkan kita kepada hari kita di padang mahsyar atau hari kita dihimpunkan di hadapan Allah nanti. (
Dan bertaqwalah kamu kepada Allah dan ketahuilah bahawa sesungguhnya kelak kamu akan dihimpunkan di hadapan Allah” –(Al-Baqarah,203)

Setelah hampir 3 jam berpusing dan berdoa untuk mencari khemah Maktab jamaah Tabung Haji, kami tidak bertemu. Jam sudah menunjukkan pukul 4:30 petang. Kami memutuskan untuk mencari kenderaan untuk patah balik ke Muzdalifah bagi melaksanakan wajib haji „bermalam di Muzdalifah‟. Jam 5:30petang, naik kereta sewa yang tambangnya sebanyak SR50.00. Kami tiada pilihan lain kerana terlalu letih untuk berjalan pulang. 4 jam berlalu, barulah kereta sewa kami itu tiba di Muzdalifah. Detik hatiku, “Kalau aku berjalan kaki tadi pun, dah lama dah sampai disini.” Oleh kerana keadaan yang terlalu sesak dengan kenderaan, kami tersekat di Arafah sahaja selama 3 jam sebelum dapat keluar dari kesesakan lalulintas itu. Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana akhirnya kami tiba di Muzdalifah. Aku mengutip beberapa biji batu bagi tujuan melontar jamrah nanti dan mencari lokasi untuk tidur. Tanpa mempedulikan orang lain, aku membentangkan kain alasku dan melelapkan mataku untuk menyambung kembali perjalanan hari esok. Ya Allah, terimalah segala pengorbananku yang tidak seberapa ini, Wahai Allah.

Selasa, 11 Februari 2003 /10 Zulhijjah 1423 – Hari Raya Aidul Adha – suatu pengorbanan

1:30 pagi, aku terbangun dari buaian mimpiku. Setelah membersihkan diri, aku mengejutkan sahabat-sahabatku bagi meneruskan perjalanan suci kami ini. Kami mula berjalan dimalam yang sepi itu menuju ke Mina atau tempat dimana terletaknya Jamrah yang tiga itu. Lebih kurang jam 3:00pagi, kami tiba di Jamratul Aqobah untuk melaksanakan ibadah melontar jamrah pada hari yang pertama ini. Selesai melontar, aku bercukur dan bertahallul. Alhamdulillah, aku benar-benar bersyukur kerana telah selesai tahallul awal. Sudah tentunya ini semua adalah dengan inayah pertolongan daripada Allah jua. Alhamdulillah, terima kasih Allah. Jam 4:30 pagi, kami menaiki kereta sewa untuk ke Masjidil Haram dan bersiap sedia untuk melaksanakan solat subuh di sana. Selepas solat, kami pulang ke hotel untuk membersihkan diri tetapi agak kurang bernasib baik kerana Pengurus hotel masih belum tiba lagi dan kunci bilik kami tidak dapat diberikan kepada kami. Jadi, kami terpaksa menunggu sebentar di ruang lobi.
Aku membersihkan diri, menukar pakaian ku kepada pakaian biasa dan bersiap sedia untuk Solat Sunat Hari Raya. Oh ya, lupa pula aku yang hari ini adalah Hari Raya Aidul Adha. Cerita kepayahan dan keperitan dalam perjalanan tadi membuatkan aku terlupa bahawa hari ini adalah hari raya korban. Hari yang menyimpan seribu satu pengorbanan ummat terdahulu termasuklah pengorbanan junjungan Nabi besar kita Muhammad sallallahu alaihi wasallam.
Jam menunjukkan tepat pukul 7:00pagi. Aku bertanya kepada pembantu yang bekerja di hotel itu berkenaan waktu solat sunat hari raya. Katanya, solat bermula jam 8:00 pagi. Ini bermakna, aku mempunyai tempoh sekitar satu jam lagi dan mungkin sempat untukku melaksanakan tawaf ifadhah. Sesampainya dihadapan Kaabah, aku membuat tawaf tetapi sewaktu jam tepat 7:15pagi, kedengaran suara bilal mengajak orang ramai untuk bangun melakukan solat sunat „aidiladha. Nampaknya aku tidak sempat untuk bersolat sunat hari rayalah tahun ini kerana orang terlalu ramai di sekeliling kaabah sedangkan aku berada di radius yang amat dekat dengan kaabah. Kalau aku bersesak keluar daripada jemaah tawaf itu pun, mungkin juga aku tidak sempat bersama imam dek kerana ramainya orang. Aku meneruskan juga tawaf sehingga selesai dan terus melaksanakan saei. Jam 9:15 pagi selesai segala urusan dan aku pulang ke bilik hotel untuk…..tidur… MasyaAllah nikmatnya kerana aku telah menunaikan sebahagian besar daripada urusan kerja haji ini. Aku menggunakan kesempatan ini untuk berehat sepuas-puasnya. Seronok sungguh hatiku tidak terkira. Tidur… Tidur… Tidur… Sewaktu solat zohor di Masjid Ajyadd (yang berdekatan dengan hotel), aku bertemu dengan Hj Ramlan dan Hj Fazli. Mereka berdua mengajakku ke Mina pada petang ini untuk persediaan urusan melontar jamrah pada keesokan harinya. Aku menyatakan persetujuanku dan pada jam 3:00 petang, kami bertolak ke Mina dengan menaiki sebuah kereta sewa. Caj seorang ialah sebanyak SR10.00. Sesampainya kami berenam di Mina, kami mencari tempat untuk mendirikan khemah untuk berteduh pada malam ini. Setelah mendirikan khemah dipenjuru jambatan, tiba-tiba datang askar saudi menghalau kami dan menyatakan bahawa tempat ini tidak boleh memasang khemah kerana menghalang laluan dan sebagainya. Setelah bertekak dengan mereka selama beberapa minit, kami beralah dan mencari lokasi lain untuk berkhemah. „Spot‟ terbaru kami itu, tiada siapa yang datang mengacau dan aku mengambil peluang ini untuk berehat lagi sementara menunggu hari melontar esoknya.

Khamis, 13 Februari 2003 /12 Zulhijjah 1423 – Nafar Awal “HOME SWEET HOME”

Tepat jam 4:00pagi di Mina, aku bangkit untuk sedikit ibadah sunat. Sebelum itu, aku merayau-rayau untuk melihat ummat Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam yang bermalam disini. Hatiku sayu mengenangkan keadaan mereka. Seperti keadaan semalam yang tidak ubah semacam pesta „fun-fair‟. Jarang sekali kulihat orang yang menghidupkan malam dengan amalan qiyamullail. Aku mengadu kepadaMu duhai Allah akan kelemahan ummat ini. Kadangkala teringat daku kepada peristiwa dakwah nabi yang pergi dari khemah ke khemah untuk berdakwah sebagaimana yang diceritakan dalam kitab-kitab sirah. Terasa seperti inginku pergi berdakwah dari khemah ke khemah untuk mengajak manusia kembali kepada Allah dengan mengisi malam ini dengan amalan qiyamullail. Namun, apakan daya, diri ini amat lemah sekali Ya Allah. 6:15pagi, selepas solat subuh dan melontar untuk hari ke 12 ini, aku merasa sangat-sangat gembira kerana telah melengkapkan Nafar Awalku. Alhamdulillah aku bersyukur kerana telah melaksanakan semuanya dengan sempurna. Alhamdulillah.Semua ini dengan keizinanmu semuanya. Selesai segalanya, aku menutup semua aktiviti manasik haji itu dengan berjalan kaki pulang untuk merasai susah payah pengorbanan nabi buat kali yang terakhir. Perjalanan sejauh 7km itu, kami serikan dengan menyinggah di sebuah restoran Turki. Disitu kami menjamah pizza dan bubur nasi masakan chef turki. 10:00 pagi, kami tiba di Mekah dan kembali ke hotel untuk berehat sepuas-puasnya. Aduhai nikmatnya tidur di atas tilam yang empuk. “Home Sweet Home.”

Jumaat - Selasa, 14-25 Februari 2003 – Rutin biasa & DOA

Hari-hari terakhirku di Mekah ini, aku jalani seperti rutin biasa. Bangun tahajud, quran dan zikir. Selesai subuh, tunggu Isyraq dan sarapan. Kemudian majlis ta‟lim (majlis ilmu) dengan rakan sebilik. Kadangkala, kami jemput juga para ustaz yang ada disini seperti Ustaz Abdul Ghani dan Ustaz Zul Ehsan untuk beri pengisian. Selepas itu kami buat ativiti bebas seperti umrah, ziarah tempat bersejarah, „tawaf kedai‟, ziarah sahabat-sahabat semasa di Australia dahulu. Adakalanya juga aku dan rakan-rakan mencuba pelbagai jenis masakan yang ada disini seperti nasi briani, kambing golek, kebab Turki, nasi mandi,manisan arab dan macam-macam lagi makanan Timur Tengah. Alhamdulillah kerana setakat ini, perutku masih lagi dapat menerima makanan-makanan „asing‟ itu. Alhamdulillah kerana masih lagi aku dapat menggunakan nikmat lidah untuk merasa macam-macam sedangkan di sana ada ramai orang yang tidak dapat merasai semua itu kerana faktor kesihatan. Aku selang selikan juga rutin harianku dengan dakwah fardhiyyah sepertimana rakan-rakan sebilikku yang lain. Setiap pagi selepas majlis ta‟lim (majlis ilmu), kami akan membuat laporan tentang siapa yang kami jumpa, asal dari negara mana, apa yang kami dakwahkan dan perkataan-perkataan bagi mengeratkan tali silaturrahim. Sepanjang aku menetap disini, aku bertemu dengan rakan-rakan dari pelbagai negara selain orang Malaysia seperti Indonesia, Thailand(Pattani yang boleh bercakap Melayu), Libya, Australia, United Kingdom, USA, India, Pakistan dan macam-macam lagi. Kami diajar oleh para Maulana agar memberikan penumpuan dakwah ini kepada menceritakan kebesaran Allah agar dengan itu akan masuk dalam hati kita perasaan iman dan percaya kepada Allah subhanahu wa taala. Sememangnya punca kerosakan ummat dewasa ini adalah kerana kelemahan iman hatta para ustaz dan orang alim sekalipun, seandainya tidak punya iman yang sejati kepada Allah, kemungkinan untuk terkeluar dari landasan itu bukanlah suatu yang mustahil. Aku berdoa agar Allah gunakan aku ini sebagai penyebab hidayah kepada orang lain. Amin Ya Rabbal Alamin. Bismillahirrahmaanirrahiim, Pertama-tamanya Wahai Allah, aku ingin mengucapkan setinggi-tinggi kesyukuranku kepadaMu lantaran nikmat Iman dan Islam yang Dikau kurniakan kepadaku. Dan juga aku amat bersyukur kepadaMu diatas nikmat „Tarbiyah Ilahi‟ yang Dikau kurniakan kepadaku. Sungguh aku tidak menyangka yang aku telah terpilih diatas jalan ini. Pada perkiraanku semasa mula-mula menjejakkan kakiku ke Mekah, aku hanya terfikirkan tentang manasik haji semata-mata tanpa memikirkan falsafah disebalik ibadah mulia ini. Tidak pernah terlintas dipemikiranku yang sememangnya lemah ini akan falsafah dakwah, falsafah jihad, falsafah udhiyyah/pengorbanan dan sebagainya di dalam ibadah haji ini. Sesungguhnya Wahai Allah, „Tarbiyah Ilahi‟ ini sangat bermakna buatku.
Aku bersyukur kepadaMu kerana telah memilihku untuk diterangkan makna dakwah dan „transfer of responsibility‟ atau pengalihan tanggungjawab dakwah daripada Nabi kepada ummat. Sesungguhnya haji ini adalah proses di mana nabi menyerahkan amanah dakwah yang di sandangnya kepada ummat agar ummat terus-menerus menyambung perjuangan baginda. Aku bersyukur kerana Dikau telah mengaturkan program tarbiyah ini dan setiap kali ada sahaja insan yang Dikau hantar untuk memberi peringatan kepadaku dari masa ke semasa. Aku akui kelemahanku pada masa kini, namun aku percaya bahawa bekalan ini akan dapat aku gunakan di masa hadapan kerana perjalanan ini masih panjang dan ini hanyalah salah satu daripada tempat persinggahan daripada perjalanan yang panjang ini. Wahai Allah, dalam masa beberapa hari lagi, aku akan menziarahi NabiMu. Aku berterimakasih kepadaMu kerana telah melayanku dengan baik di sini sebagai tetamuMu. Dan aku juga berharap agar disambut juga dengan baik dibumi yang satu lagi yang aku akan berkunjung dalam masa dua-tiga hari lagi. Amiin Ya Rabbal Alamin.”

Rabu, 26 Februari 2003 – Madinah, aku datang…

12:30 tengahmalam – “Dik, bangun! Depa kata bas dah sampai! Jom kita pi buat Tawaf Wada‟.” Kata pakcik Zainal mengejutkanku. Aku dengan serta merta bangun daripada katil dan bersiap-siap untuk buat tawaf terakhir di Mekah. Hatiku cukup sayu. Entah bila pula aku akan datang untuk menziarahi kota suci ini. Sepanjang bertawaf, aku men‟tawajjuh‟kan hatiku berdoa. Hanya 3 sahaja doa yang aku ulang-ulang dan amat berharap agar Allah kabulkan:-
1. Hidupkan aku sebagaimana kehidupan mujahid zaman dahulu.
2. Matikan aku sebagai syahid sebagaimana syuhada‟ zaman dahulu.
3. Kurniakanlah aku rahmat dan keampunan ke atas ummat Muhammad sallallahu alaihi wasallam
Selepas tawaf, bas mula bertolak pada jam 2:30 pagi. Jam 5:30 pagi, bas berhenti untuk solat subuh. Jam 10:00pagi, bas berhenti di „check point‟ untuk urusan pentadbiran dan pendaftaran masuk. 11:30pagi, meneruskan perjalanan ke destinasi. 12:00 tengahari, tiba di Hotel Az-Zahra yang terletak lebih kurang setengah kilometer daripada Masjid Nabawi. Tidak lama selepas kami memunggah barang-barang ke bilik hotel, waktu zohor mulai masuk. Kami seterusnya ke Masjid Nabawi untuk menunaikan solat Zohor secara berjemaah dan terus beriktikaf di situ sehingga ke Isyak. Okay! Goodbye today! Welcome tomorrow… Bersambung.

Khamis, 27 Februari 2003 – Ziarah maqam Rasulullah

3:50 pagi, tiba di Babus Salam yang bertentangan dengan Raudhah (lokasi asal Masjid Nabawi) di Masjid Nabawi. Amat menakjubkan kerana Raudhah sudah sedia penuh. Aku menyangka yang aku sudah bangun awal kerana waktu subuh hanya akan masuk dalam jangkamasa 2 jam lagi, namun manusia telah ramai walaupun masih awal pagi. Walaupun demikian, kami berpeluang untuk duduk bersebelahan dengan Raudhah untuk menunaikan beberapa rakaat solat sunat. Selepas solat subuh, aku menziarahi maqam tempat dimana bersemadinya jasad mulia Muhammad sallallahu alaihi wasallam dan dua sahabat baginda. Suasana cukup syahdu, aku berasa seperti tidak percaya sedang berada di hadapan maqam baginda kerana selama ini hanya melihatnya melalui gambar sahaja. Dan selama ini jugalah, aku hanya mendengar-dengar sahaja cerita tentang baginda melalui mulut-mulut para alim ulama. Dan selama ini jugalah aku hanya pernah membaca catitan-catitan serta nukilan para penulis kitab sirah berkenaan baginda. Dan sekarang, aku sedang berada di hadapan maqam baginda. Dan baginda yang berada di dalam kubur itulah yang belum pernah aku jumpa tetapi bagindalah yang aku sanjung tinggi selama ini. Sungguh ajaib kerana insan yang cukup asing bagi kita itu, menjadi sanjungan ramai. Ya Rasulallah. Aku masih teringat bait-bait nasyid yang aku gemari berkenaan dirimu yang mulia ini.

Malu rasanya menyatakan cinta,
Kepada dia kekasih Allah,
Kerana dia insan mulia,
Sedangkan diriku insan biasa.
Kupujuk jua hati dan jiwa,
Meluahkan rasa cinta membara,
Segala pujian salam dan selawat,
Tanda penghargaan seorang ummat.
Selagi upaya, kuturuti ajarannya,
Apa terdaya ku amalkan sunnahnya,
Moga didunia mendapat berkat,
Diakhirat sana beroleh syafaat.
Kerana peribadinya aku jatuh cinta,
Kerana budinya aku terpesona,
Rinduku padanya tiada terkata,
Mogakan bersama di Taman Syurga.
Sesungguhnya apa yang ku dambakan,
Hanyalah cinta Allah Yang Esa,
Kerana Cinta kepada Rasulullah,
Bererti cinta kepada Allah. (Hijjaz)

Rasulullah,
Dalam mengenangmu,
Kami susuri lembaran sirahmu,
Pahit getir perjuanganmu,
Membawa cahaya kebenaran.
Engkau taburkan pengorbananmu,
Untuk ummatmu yang tercinta,
Biar terpaksa tempuh derita,
Cekalnya hatimu menempuh ranjaunya.
Tak terjangkau tinggi pekertimu,
Tidak tergambar indahnya akhlakmu,
Tidak terbalas segala jasamu,
Sesungguhnya engkau Rasul mulia.
Tabahnya hatimu menempuh dugaan,
Mengajar erti kesabaran,
Menjulang panji kebenaran,
Terukir namamu di dalam Al-Quran.
(The Zikr)

Dua nasyid „klasik‟ yang menjadi zikir bibirku sejak dari dulu lagi. Nasyid yang sentiasa mengingatkanku kepada zaman tarbiyah dulu bersama-sama sahabat-sahabat di sekolah dan di kampus dahulu. Sewaktu itu, kami berasa sangat dekat dengan perjuangan Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam kerana sepanjang masa, semua orang menghidupkan suasana itu. Terima kasih aku ucapkan kepada penulis lirik dan penggubal lagu tersebut. Sejuta penghargaan juga buat Baginda yang banyak berkorban buat ummat. Tanpa pengorbananmu, diri ini pasti tidak akan mengenal Tuhan Yang Mencipta Alam ini. Terima kasih Wahai Rasulullah.
Di antara Maghrib dan Isyak, aku „melepak‟ sebentar di masjid. Kebetulan pada waktu itu, sedang berlangsung suatu majlis ilmu oleh seorang alim. Sekadar ilmu Bahasa Arab yang aku faham sedikit-sedikit ini, aku fahami bahawa tok guru itu sedang membahaskan tentang keutamaan selawat keatas baginda nabi. Dan beliau membawakan satu hadis berkenaan selawat keatas baginda. Cara terbaik untuk berselawat ialah dengan berselawat seperti yang kita baca dalam tahiyyat akhir tanpa menambah perkataan „saidina‟. Itulah selawat yang terbaik kerana
45
itulah yang disebutkan oleh nabi walaupun disana ada bermacam-macam selawat yang lain yang dihasilkan oleh para alim ulama lain. Wallahu‟alam.

Jumaat, 28 Februari 2003 – Perkuburan Baqi’ dan Perkahwinan Da’ei & Da’eiah

4:30 pagi baru bangkit dari tidur. MasyaAllah, kelam kabut aku bangun. Semua ahli bilikku terlewat belaka. Terasa sedikit sesal kerana terlewat bangun tidur hari ini, tidak sempat untuk bertahajud panjang. Tidak mengapalah, mungkin itu rezeki kami untuk hari ini.
Selepas Asar hari ini, aku bercadang hendak menziarahi tanah perkuburan Baqi‟. Tempat bersemadinya kebanyakan para sahabat radhiyallahu „anhum ajma‟in termasuklah para isteri baginda. Sesampainya aku ke pintu tanah perkuburan tersebut, didapati pintu masuknya berkunci. Lalu aku pun melangkahlah ke sisi kubur tersebut dan hanya melihat-lihat daripada luar sahaja. Daripada luar, aku masih dapat melihat keadaan tanah perkuburan Baqi‟ yang agak menggerunkan. Keadaan tanahnya yang gersang dengan batu-batu yang tidak bernama itu mengingatkan daku yang suatu hari nanti, pasti kita akan menyertai mereka „sooner or later‟. Itu adalah yang pasti. Aku hanya berdoa kepada Allah agar hidupku di dunia ini akan jadi yang terbaik dan matiku juga adalah mati yang paling mulia. Sesungguhnya hidup yang paling mulia ialah kehidupan para Mujahid dan yang kematian yang paling mulia adalah kematian para Syuhada‟. Amiin.
Selesai menziarahi tanah perkuburan Baqi‟, aku ingin meninjau keadaan di Pintu nombor 38 Masjid Nabawi. Aku diberitakan bahawa di pintu ini merupakan lokasi di mana tempat berkumpulnya para pendokong dakwah daripada jamaah tabligh. Semasa aku di Mekah dahulu, Ustaz Abdul Ghani telah memesanku supaya menghubungi seorang sahabatnya di Madinah. Mungkin ada program dakwah yang boleh aku sertai sepanjang berada di sini nanti. Setelah mendail nombor telefon yang diberikan oleh Ustaz Abdul Ghani, aku bertemu dengan Ustaz Arif Al-Indunisi Al-Madani dan Ustaz Fadli Al-Malizi. Kami berkenalan dan saling bertanya khabar serta berbincang tentang pelbagai perkara. Antara nasihat „orang tua‟ itu kepadaku yang masih bujang ialah tentang peripentingnya perkahwinan dalam perjuangan dakwah.
46
“Awak dah kahwin?” tanya Ustaz Arif kepadaku. “InsyaAllah dalam beberapa bulan lagi, saya akan berkahwin.” “Kita sebagai orang dakwah ini, apabila datang untuk menunaikan fardhu haji dan ziarah ke Madinah ini, kita perlu memerhatikan satu perkara. Ianya adalah berkenaan peripentingnya perkahwinan dalam dakwah. Ianya sangat penting kerana perkahwinan memainkan peranan penting dalam gerak kerja dakwah. Kalau di Mekah dulu, kita boleh mengambil iktibar daripada perkahwinan diantara Nabi Ibrahim alaihissalam dengan Siti Hajar. Pengorbanan mereka berdua sejak dari peristiwa perpisahan di Safa dan Marwah sehinggalah peristiwa penyembelihan Nabi Ismail merupakan contoh buat kita yang ingin melakukan kerja dakwah. Kalau di Madinah pula, marilah kita contohi pengorbanan suami isteri yang ditunjukkan oleh baginda Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam dan isteri baginda Saidatina Khadijah Radhuyallahu anha. Mereka berdua banyak berkorban untuk Islam dan saling memberi sokongan antara satu sama lain.” Ujar Ustaz Arif kepadaku. Aku hanya tunduk dan mendengar dengan penuh minat. Aku berdoa agar bakal isteriku nanti akan dapat menjadi pembantu setiaku di dalam jalan dakwah ini. Amiin.

Sabtu, 1 Mac 2003 – Ziarah sekitar Madinah dan “Sodiquun”

2:30 pagi, Alhamdulillah Allah telah mengejutkanku dari pembaringan. Sesudah bersiap-siap, aku beriktikaf di Raudhah dengan beberapa amalan sunat. 7:15 pagi, aku berpeluang bersama-sama jemaah yang lain untuk berziarah ke tempat-tempat bersejarah di sekeliling Kota Madinah seperti Masjid Quba‟, Masjid Qiblatain, Bukit Uhud, Maqam Sayyidus Syuhada‟ dan Pasar Kurma. Sepanjang perjalanan, kami diberi taklimat dan pengisian oleh mutawwif yang membawa kami. Banyak ilmu yang dapat kami pelajari. Bukanlah hasratku untuk menukilkannya di sini semuanya. Cukuplah apa yang telah di catatkan di dalam kitab-kitab sirah oleh para alim ulama. Selepas solat Maghrib berjemaah di Masjid Nabawi, sementara menunggu solat Isyak, aku mencuri-curi dengar kuliah yang disampaikan oleh seorang alim di salah satu penjuru masjid. Beliau telah mengajari kami akan sifat-sifat yang ada pada para sahabat yang telah di tarbiyah oleh tangan Rasulullah sendiri.

“(Pemberian itu hendaklah diperuntukkan) kepada orang-orang fakir yang berhijrah (Muhajirun), yang telah diusir keluar dari kampung halamannya dan harta bendanya (kerana berpegang teguh kepada ajaran Islam), untuk mencari limpah kurnia dari Allah dan keredaanNya, serta menolong (ugama) (Al-Ansar) Allah dan RasulNya; mereka itulah orang-orang Yang benar (imannya dan amalnya).” (Al-Hasyr , 8)

“Sesungguhnya Allah telah menerima taubat Nabi dan orang-orang Muhajirin dan Ansar Yang mengikutnya (berjuang) Dalam masa kesukaran, sesudah hampir-hampir terpesong hati segolongan dari mereka (daripada menurut Nabi untuk berjuang); kemudian Allah menerima taubat mereka; Sesungguhnya Allah amat belas, lagi Maha Mengasihani terhadap mereka. Dan (Allah menerima pula taubat) tiga orang Yang ditangguhkan (penerimaan taubat mereka) hingga apabila bumi Yang Luas ini (terasa) sempit kepada mereka (kerana mereka dipulaukan), dan hati mereka pula menjadi sempit (kerana menanggung dukacita), serta mereka yakin Bahawa tidak ada tempat untuk mereka lari dari (kemurkaan) Allah melainkan (kembali bertaubat) kepadanya; kemudian Allah (memberi taufiq serta) menerima taubat mereka supaya mereka kekal bertaubat. Sesungguhnya Allah Dia lah Penerima taubat lagi Maha Mengasihani.Wahai orang-orang Yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang-orang Yang benar.” (At-Taubah, 117-119)

Didalam kedua-dua ayat ini, Allah telah menyebut bahawa kedua-dua kaum Muhajirin dan Ansar ini adalah mereka yang Sodiquun kerana mereka telah membenarkan segala apa yang disampaikan oleh junjungan besar Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Kita sebagai ummat nabi semestinyalah mencontohi mereka kerana para sahabat ini telah membuktikan kebenaran iman mereka dengan masa mereka, harta, keluarga, hatta nyawa sekalipun!! Ayuhlah kita hidupkan kembali Islam yang kian lemah ini dengan mencontohi mereka.

Rabu, 5 Mac 2003 – Pengisian Maulana Abdul Qadir

Jam 3:00pagi, ziarah maqam Nabi. Aku berazam untuk menziarahi maqam nabi sekurang-kurangnya sekali sehari. Kalau tidak ada apa-apa aktiviti, aku akan cuba ulang lebih kerap lagi bergantung kepada keadaan „traffic‟. Kalau terlalu ramai sangat orang, aku cuba mengelak. Selesai ziarah, aku teruskan aktiviti qiyamullail seperti biasa sehinggalah ke subuh.
Jam 8:30 pagi, ada seorang kenalan lamaku mengajakku untuk bersamanya menziarahi seorang orang alim di luar Kota Madinah. Orang alim ini namanya Maulana Abdul Qadir yang berasal daripada Bangladesh dan telah 17 tahun menetap di Madinah. Kami ke sana kerana ingin menimba ilmu dan mendapatkan nasihat berkenaan dakwah dan jamaah untuk bekalan kami apabila pulang ke Malaysia nanti. Perkara yang paling menakjubkanku ialah kebolehan Maulana ini berbicara dalam bahasa Melayu dengan begitu fasih sekali. Subhanallah mungkin beliau biasa bergaul dengan orang-orang Melayu sehingga mampu memberikan ceramah.

“Dan orang-orang Yang berusaha Dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama kami, Sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan Sesungguhnya (Pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang Yang berusaha membaiki amalannya.” (Al-Ankabut,69)

“Sesungguhnya Rumah Ibadat Yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah Yang di Makkah Yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.” (Ali Imran,96) Ada 5 Keutamaan yang perlu diberikan oleh para daei yang menunaikan rukun Islam ke-5 ini.
1. Keutamaan Pertama – Bagaimana semua orang mendapat Haji Mabrur.
50
2. Keutamaan Kedua – Semua yang datang menunaikan haji ini beroleh berkat dan hidayah melalui Haji Mabrur kerana mereka yang pulang dengan Haji Mabrur akan membawa pulang dua perkara ini.
3. Keutamaan Ketiga - Supaya semua yang datang akan dapat membawa hukum hakam Allah (dari Mekah) dan mengamalkan sunnah Nabi ( dari Madinah).
4. Keutamaan Keempat – Membawa pulang Istighfar dan Taubat. Istighfar bagi dosa yang lepas dan Taubat untuk dosa yang akan datang. Semasa kita di Arafah, kita beristighfar dan yakin bahawa Allah mengampuni dosa kita. Nabi Adam adalah nabi pertama, rasul pertama dan orang yang pertama melaksanakan haji kerana bagindalah yang membina Kaabah.
5. Keutamaan Kelima – Membawa pulang hadiah yang paling berharga iaitu usaha dakwah Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Nabi telah memberikan hadiah berharga kepada ummat sewaktu Haji Wada‟. Hadiah Zahir yang kita bawa pulang ialah air zam-zam dari Mekah dan tamar nabi dari Madinah. Manakala Hadiah Batin yang perlu kita bawa pulang bersama ialah dakwah dan Jihad di jalan Allah sepertimana yang telah ditanam oleh baginda nabi.
Untuk Kaum ibu pula, ada 6 perkara yang perlu diutamakan
1. Jaga ibadah solat
2. Jaga bacaan Al-Quran dan akalu boleh, satu juzuk sehari.
3. Menjaga zikir setiap pagi dan petang.
4. Majlis Ilmu
5. Memelihara anak-anak dengan cara rasul dan kehidupan sederhana di rumah – suburkan sifat qana‟ah.
6. Membantu mahram yang berdakwah dengan memberikan semangat kepada mereka seperti suami, anak-anak lelaki, ayah dan sebagainya.

Jumaat, 7 Mac 2003 – Perpisahan yang sangat memeritkan

3:00 pagi, suatu pagi yang penuh syahdu kerana ini merupakan tahajudku yang terakhir di bumi Madinah ini. Aku tidak tahu bilakah lagi akan dapat berkunjung semula ke sini untuk menziarahi kekasih Allah lagi. Mungkinkah aku berpeluang lagi untuk berkunjung ke sini di masa hadapan wallahua‟lam. Aku hanya mampu berdoa. Selesai Subuh, ziarah maqam nabi, juga untuk kali yang terakhir. Cuaca di luar sana yang turut „sedih‟ dengan hari terakhirku ini turut sama menambah kesyahduan dihatiku. Aku hanya memenuhkan detik-detik akhir ini dengan memperbanyakkan selawat ke atas baginda. Aku berharap agar dapat lagi bertamu ke sini pada masa akan datang. Kalau tidak berpeluang pun, aku berharap sangat-sangat agar dapat berkumpul bersama-samamu di akhirat nanti Amiin Ya Rabbal Al‟alamin. 2:00petang, bas mula bertolak meninggalkan Kota Madinah dan tepat jam 3:30 petang, kami semua tiba di lapangan terbang. Setelah selesai semua urusan berkaitan imigresen, kapal terbang berlepas pada tepat jam 7:00petang. Selamat Tinggal Madinah! “Sesungguhnya apa yang ku dambakan, hanyalah cinta Allah yang Esa, Kerana cinta kepada Rasululah, bererti cinta kepada Allah”

TARBIYAH ILAHI

Assalamualaika ayyuhannabiyyu warahmatullahi wabarokaatuh
Assalamualaikuma Ya Abu Bakr wa Umar warahmatullahi wabarokaatuh
Allahumma solli ala Muhammad wa ala aali Muhammad
Kama sollaita ala Ibrahim
Wa 'ala aali Ibrahim
Fil Alamina Innaka hamiidum majiid.

Berdiri aku disini wahai Nabiyyallah
Di hadapanmu dan sahabat-sahabatmu
Menyatakan ribuan terima kasih
Yang tak terhingga kepada kalian
Lantaran pengorbanan tuan-tuan kepada kami.

Masjid ini menjadi saksi pengorbanan tuan-tuan
Masjid ini tempat segalanya bermula
Di tempat inilah semua pusat Islam bergerak
Di tempat ini jualah kalian memberi pengorbanan

Terima kasih aku ucapkan atas pengorbanan kalian
Dibumi yang suci ini, jasadmu disemadikan
Syukur kepada Ilahi kerana dapat menziarahimu
Seperti katamu 'Sesiapa yang menziarahiku di maqamku seolah menziarahiku di waktu hidupku'

Cuba ku selami perasaanku di Uhud
Ku tahu tiada dihatimu wahai tuan, kecuali Allah,
Tuan hanya berusaha dan Tuhan menentukan
Aku tahu tuan cemas,
Tapi pemimpin tak patut menonjolkan kecemasannya

Tatkala aku menyaksikan,
Di kiriku Jabal Ar-Rumal
Di kananku Jabal Uhud
Di depanku tempat bersemadinya Sayyidus Syuhada'

Kutahu kau kecewa bilamana mereka turun dari bukit
Mengejar dunia yang tidak bernilai
Tapi kecewamu hilang bila bersatu bersama Kekasihmu
Subhanallah...
Hadirkanlah rasa itu dalam diriku ini

Engkaulah Perwiraku
Engkaulah Jantung hatiku
Engkaulah Buah hatiku
Engkaulah Kekasihku
Sudilah kiranya menerima diri yang hina ini.

Wahai tuan,
Di bukit ini, kepalamu yang suci dikotori musuh
Wajahmu yang kacak dilukakan mereka
Wajahmu yang kacak dibasahi darah merah yang mengalir,
Otot pangkal pehamu terputus
Bibirmu robek dan gigimu patah

Wahai tuan,
Izinkanlah aku menatap
Wajahmu yang suci...walau sesaat
Agar rinduku kepadamu terubat
Agar keberkatan wajahmu menguatkanku untuk terus berjuang

Terima kasih wahai Tuhan,
Yang mengizinan segalanya berlaku.

Aku kagum dengan keberanianmu,
Aku kagum dengan ketabahanmu,
Aku kagum dengan kesabaranmu,
Aku kagum dengan keperwiraanmu,
Aku kagum dengan keperibadianmu,
Aku kagum dengan kelembutanmu,
Aku kagum dengan ketegasanmu,

Parit ini menjadi saksi
Perutmu yang suci di penuhi debu kotor,
Tapi ini tak menjatuhkan maruahmu,
Sebagai pemimpin dunia Islam,
Siapa penggantimu di akhir zaman masih tidak ketahuan,
Mungkinkah Imam Mahdi menjadi pilihan.

Mereka menyerang, mengepung dan menggertak,
Ahzab bergabung dan bersatu,
Bani Quraizhah pula membelot,
Tapi berkat kebijaksanaanmu,
Dengan bantuan Kekasihmu,
Mereka musnah

Lima perkara yang menghantuimu,
Ahzab,Qurazhoh, dingin, takut, lapar,
Bumi ini mengajarku,
Kini cuba ku selami bagaimana perasaanmu,
Bagaimana kedinginan malam ini menusuk ke tulang,
Tapi 'ketakutan' tak ku temui,
InsyaAllah suatu hari nanti akan kutempuhi,
Sebagai sunnahmu yang terpuji,
Tidakku pinta susah dan payah dari Tuhan,
Cuma ku pinta kecintaanNya dan kekasihnya,
Tidak kiralah bagaimana susah dan senang, itu bukan kerjaku,
Yang pentingnya aku berusaha ke arah itu,
Aku cintakanmu,
Aku merinduimu,
Aku rindu wajahmu,
Izinkanku melihat wajahmu.
-Madinah, 11:50am 03/03/03-Wan Ahmad Rafaei Ibnurrasheed