Menurut Dr John Hagelin, seorang Ahli Fizik Quantum menukilkan bahawa diri kita ini dibentuk oleh cara pemikiran kita. Apa yang kita fikirkan, maka itulah yang membentuk diri kita, peribadi kita, rupa paras, emosi, sikap, tindakan, keluarga, masyarakat dan segala-galanya. Itu kata pemikir Barat.
Para sarjana Islam juga telah lama membuat kajian tentang perkara ini dan ianya telah dibuktikan sendiri oleh Muhammad,Rasulullah sallahualaihiwasallam. Cubalah kita lihat bagaimana dakwah nabi secara berterusan selama 13 tahun di Mekah. Apa yang nabi bina? Selama itu nabi, dengan tuntunan wahyu hanya memfokus kepada pembentukan pemikiran para sahabat. Proses Tarbiyah untuk memantapkan corak pemikiran sahabat-sahabat ketika itu berjalan dengan begitu hebat sekali. Proses ini yang dinamakan sebagai proses memantapkan Aqidah para sahabat berjalan berterusan. Kita lihat perkara seumpama itu amat kurang dititikberatkan oleh kita dalam jemaah ini.
Penulis melihat rata-ratanya para daei, penceramah-penceramah kita dan para amilin kita lebih banyak bercerita tentang politik dan agak kurang menitikberatkan persoalan aqidah perjuangan sebagaimana yang ditekankan oleh nabi selama 13 tahun diMekah. Cuba kita bayangkan, apakah isi kandungan dakwah nabi selama 13 tahun itu? Masa itu, solat, puasa, zakat, haji masih belum ada pensyariatan? Kalau kita mengkaji ayat-ayat yang dikategorikan sebagai ayat Makkiyah, kita dapat melihat bahawa Allah menuntun ummat kearah pembinaan pemikiran yang memfokus kepada aqidah tauhidkan Allah, syurga dan neraka, dosa dan pahala, kisah-kisah perjuangan ummat dan nabi-nabi terdahulu.
Ayuh marilah para pimpinan sekalian, kita contohi Al-Fadhil Mursyidul Am kita. Kalau kita perasan, fokus Tuan Guru kita pada setiap kali berceramah adalah tentang kita sebagai makhluk Allah. Penulis ingin menukilkan kata-kata tuan guru yang sangat perlu kita ikuti semasa penyampaian kita ketika berdakwah. "Kito ni hambo Tuhe. Kito keno sedar munggo tu. Kot-kot mano pung selagi mano kito dok dibumi Tuhe, kito keno ikut hok Tuhe suruh. Kalu demo toksey ikut Tuhe takpo... tapi demo keno buat bumi sendiri, buat matohari sendiri, buat udaro oksijeng sendiri, buat hukum sendiri."
Bagi pembaca yang tidak faham bahasa Kelantan, penulis terjemahkan ,"Kita ini adalah hamba kepada Tuhan. Kita perlu sedar akan perkara itu. Walau bagaimana sekalipun, selagimana kita tinggal di bumi milik Tuhan, kita wajib mengikut apa yang Tuhan suruh. Kalau tidak mahu, tidak mengapa. Tapi kamu buatlah bumi sendiri, matahari sendiri,buat oksigen sendiri. Disitu, kamu boleh buat hukum sendiri" Au kama Qol.
Subhanallah..sepatutnya begitulah yang perlu kita bawa masyarakat. Kenal Allah sebagai tuhan dan kita sebagai hamba.
Kita yang berada diperingkat pimpinan ini juga perlu atur strategi untuk memantapkan fikrah pemikiran sahabat-sahabat kita diperingkat bawahan samada di peringkat negeri masing-masing, kawasan, cawangan dan ahli. Pendekatan mungkin berbeza mengikut waqi' masing-masing. Keadaan kita di Pulau Pinang yang agak jauh dari amalan agama mungkin berbeza caranya dengan sahabat-sahabat kita di Kelantan.
Di Kelantan kesedaran agama itu sangat tinggi dikalangan orang-orang tempatan. Semua ini kerana pemimpin yang amat menitikberatkan persoalan ini dalam amalan seharian. Tak usah pergi jauh, cukup sekadar kita singgah di Pasar Siti Khadijah pada waktu solat. Keadaannya hampir-hampir sama dengan keadaan di Mekah sewaktu azan dikumandangkan. Kedai-kedai 'atas pasar' ditutup sementara dengan kain untuk membolehkan peniaga menunaikan amanah solat... subhanallah. Bukannya ada polis atau penguatkuasa yang pergi hambat mereka, tetapi masing-masing sudah pandai atur diri sendiri hasil aqidah kepada Allah.
Lebih utama lagilah kepada para amilin kita. Selepas PRU ke 12 baru-baru ini, penulis melihat suatu perubahan yang berlaku terhadap pemuda-pemuda Islam kita. Kecenderungan mereka kepada PAS amat jelas sekali. Mereka tanpa segan silu menyarungkan baju-baju bercirikan jemaah kita dan ada juga dikalangan mereka yang bukan sedikit, kurang faham tentang PAS sebagai sebuah jemaah Islam. Hinggakan kita melihat ada juga mereka yang agak kurang ilmu islam dan juga pengamalannnya.
Marilah kita sebagai pimpinan dan amilin jemaah menggunakan 'opportunity' atau peluang ini untuk sama-sama memikul tugas untuk membentuk fikrah pemuda kita. Suatu program secara teratur mestilah dibentuk supaya kita dapat lahirkan satu 'force' atau tenaga sepertimana yang telah dibentuk oleh Salahuddin Al-Ayyubi.
Program-program berbentuk fikrah seperti usrah, seminar, mukhayyam, tamrin dan sebagainya mestilah diatur dengan teliti dan penuh tanggungjawab.
Lagi satu perkara yang perlu kita diperingkat pimpinan ini memberi perhatian ialah tentang sambutan dingin ahli-ahli terhadap program tarbiyah kita. Memang kita tidak nafikan bahawa kita banyak juga mengatur program-program tarbiyah seperti Ijtima' Tarbawi dan sebagainya. Namun, ahli-ahli kita hatta amilin kita juga agar kurang menyambut ajakan kita. Pernahkah kita membuat analisa kepada 'approach' atau pendekatan kita itu? Dimana silapnya? Atau kita telah berpuas hati dengan apa yang ada? Perlukah kita lakukan inovasi? Perlukah kita membuat reformasi diatas apa yang telah kita buat itu?
Marilah kita fikirkan sama-sama.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)



No comments:
Post a Comment