Sebagaimana kita maklum bahawasanya Al-Quran adalah panduan hidup kita. Tiada siapa yang akan menafikannya seandainya seseorang itu beriman kepada Allah subhanahu wa ta’ala. Al-Quran itu ibarat ‘Manual Book’ ataupun ‘Buku Panduan’ untuk kehidupan manusia. Kalau kita membeli telefon bimbit baru contohnya, kita juga akan dibekalkan bersama-samanya sebuah buku panduan tentang bagaimana cara kita hendak menggunakannya dengan betul. Seandainya kita tidak mematuhi pantang larang penggunaan telefon bimbit itu sepertimana yang dinyatakan di dalam buku panduan tersebut, kemungkinan ianya tidak akan berfungsi dengan baik dan tidak seperti yang diharapkan.
Begitulah juga dengan manusia ini. Allah menciptakan manusia dan Dia jugalah Yang Maha Mengetahui tentang pantang larang manusia. Dan Allah telah bekalkan kita dengan satu ‘Manual Book’ yang dinamakan Al-Quran sebagai panduan hidup kita.
Memang tidak dinafikan bahawa para amilin PAS sememangnya sudah pasti amat-amat beriman dengan Al-Quran ini tanpa ragu. Kalau tidak, masakan kita sanggup berbuat apa sahaja demi kesucian Islam. Hatta ada dikalangan kita yang sanggup mengorbankan nyawa seandainya dituntut lantaran daripada kita beriman dengan Al-Quran itu.
Namun, terdapat kekurangan yang perlu kita tampung dan memperbaiki demi melahirkan sebuah jemaah yang akan memacu tampuk pemerintahan negara. Ada juga dari kalangan amilin kita yang masih kurang lancar membaca Al-Quran. Suatu perkara yang sepatutnya kita hapuskan dalam jemaah kita ini. Tidak sepatutnyalah berlaku di dalam jemaah kita ini, orang-orang yang memperjuangkan Al-Quran tetapi pada masa yang sama tidak boleh membaca Al-Quran, malah ada juga yang tiada masa untuk mempelajari bacaan Al-Quran.
Seandainya perlu mula dengan Iqra’, maka mulakanlah..
Kita terlalu sibuk dengan urusan Politik Islam, Ekonomi Islam dan sebagainya… Namun sungguh malang apabila kita tidak mampu membaca Al-Quran… MasyaAllah suatu bala besar dalam jamaah kita. Manakan turun bantuan Allah kalau kita masih belum bersedia lagi untuk menyelesaikan perkara asas.Asas tidak kuat, manakan tiang hendak naik kukuh?
Kenapa kita ada masa untuk makan, sedangkan tiada masa untuk pelajari Al-Quran?
Kenapa kita ada masa untuk hiburan, sedangkan tiada masa untuk pelajari Al-Quran?
Kenapa kita ada masa untuk anak-anak, sedangkan tiada masa untuk pelajari Al-Quran?
Kenapa kita ada masa untuk dengar ceramah politik, sedangkan tiada masa untuk pelajari Al-Quran?
Kenapa kita ada masa untuk tampal poster, sedangkan tiada masa untuk pelajari Al-Quran?
Kenapa kita ada masa untuk mesyuarat jamaah, sedangkan tiada masa untuk pelajari Al-Quran?
Ayuhlah kita selesaikan perkara yang paling penting dahulu dalam perkara-perkara yang penting dalam kehidupan kita.
Marilah kita koreksi diri kita yang amat lemah ini. Marilah kita bermuhasabah dan mempertingkat usaha jihad kita untuk menyelesaikan perkara asas dahulu di dalam diri kita dan pada masa yang sama kita bersama-sama teman yang lain yang sudah maju kehadapan.Sesungguhnya Al-Quran itu adalah penyembuh dari segala penyakit dan penyakit yang menimpa para pejuang Islam adalah penyakit ‘futur’ atau gugur di dalam perjalanan ke medan perjuangan. Semoga dengan Al-Quran yang ada dalam hati kita itu akan membebaskan kita dari penyakit ini.
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran Yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan Yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin Yang ada di Dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang Yang beriman.”
(Yunus; 57)
“Dan Kami turunkan Dengan beransur-ansur dari Al-Quran Ayat-ayat suci Yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang Yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang Yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.”
(Al-Isra’; 82)
“Dan kalaulah Al-Quran itu Kami jadikan (bacaan) Dalam bahasa asing, tentulah mereka akan berkata: "Mengapa tidak dijelaskan ayat-ayatNya (dalam bahasa Yang Kami fahami)? Patutkah Kitab itu berbahasa asing sedang Rasul Yang membawanya berbangsa Arab?" Katakanlah (Wahai Muhammad): "Al-Quran itu, menjadi (cahaya) petunjuk serta penawar bagi orang-orang Yang beriman; dan sebaliknya orang-orang Yang tidak beriman, (Al-Quran itu) menjadi sebagai satu penyakit Yang menyumbat telinga mereka (bukan penawar); dan ia juga merupakan gelap-gelita Yang menimpa (pandangan) mereka (bukan cahaya Yang menerangi). mereka itu - (dengan perbuatan melarikan diri dari ajaran Al-Quran, tidak ubahnya seperti) orang-orang Yang diseru dari tempat Yang jauh (Masakan mereka dapat mendengar Dengan betul atau melihat Dengan nyata)".
(Fussilat;44)
Ayat-ayat diatas menerangkan kepada kita bahawasanya Al-Quran itu merupakan penawar bagi segala penyakit. Moga-moga dengan usaha kita yang sedikit ini akan menetapkan kita semua diatas jalan Iman dan Islam ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)



No comments:
Post a Comment