Semasa mula-mula masuk Tingkatan 4 dahulu, aku sememangnya aku menghadapi ‘cultural shock’ atau dalam istilah bahasa Melayunya sebagai ‘Kejutan budaya’. Pertamanya aku terkejut sewaktu menerima keputusan peperiksaan PMR ku. Aku seakan-akan tidak percaya, apatah lagi mama dan abahku. Maklumlah anak jantan sulung yang agak ‘buas’ sewaktu kecil dahulu, yang selalu membuli adik-adik yang masih kecil. Aku bersyukur apabila melihat slip peperiksaanku yang mencatat ‘straight As’. Aku kira daripada atas ke bawah, ada 9 semuanya…Alhamdulillah aku mendapat 9 A dalam peperiksaan PMR tahun ini.
Aku ditempatkan sebilik dengan dua orang sahabat dari Kelantan. Sewaktu penulisan ini ditulis, aku tidak dapat mengingat dengan jelas nama-nama mereka, namun terdapat sedikit sebanyak kenangan manis yang terpahat di dalam ingatanku. Kenangan 13 tahun yang lalu sudah kabur, mungkin dek kerana terlalu banyak berfikir pada masa sekarang ini.
Di Kolej Islam Sultan Alam Shah, aku mengalami orientasi tarbiyah yang cukup hebat. Puasa Isnin Khamis, solat tahajjud setiap pagi, kuliah hadis setiap lepas asar, zikir ma’thurat selepas maghrib, bacaan asma al-husna setiap pagi, kuliah maghrib, kuliah subuh setiap minggu, cearamah, hafazan ayat-ayat zikir, surah-surah lazim, Yasin, Sajadah dan al-Mulk. Usrah pula setiap minggu dengan naqib yang bersemangat. Abang-abang senior dari universiti-universiti tempatan sering datang menziarahi pelajar dan meyampaikan ceramah di surau. Aku mula mengenali Hassan al-Banna, Syed Qutb, Abdul Qadir Audah, al-Maududi, Fathi Yakan dan Mustafa Masyhur. Buku-buku terjemahan terbitan Pustaka Salam memenuhi bilik BADAR. Suatu kefahaman menular kejiwa membawa suatu perasaan tanggungjawab dalam jiwa.
Semasa aku di tingkatan 4 abang-abang senior selalu memberi tazkirah di musolla. Setiap kali mereka bertazkirah kata-kata tokoh gerakan Islam seperti Hassan al-Banna, Hasan al-Hudhaibi, Mustafa Masyhur, Abdul Kadir Audah, Syed Qutub, Fathi Yakan dan ramai lagi menjadi lontaran idea mereka. Kadang-kadang kata Syakib Arsalan, Mohd Iqbal dan al-Maududi juga dilontarkan. Bukan fikrah tokoh-tokoh ini sahaja yang dilontarkan malah buku-buku karangan tokoh-tokoh ini memenuhi kedai BADAR (Badan Dakwah dan Rohani) sehinggakan duit BADAR sahaja mencecah belasan ribu ringgit hasil jualan buku dan fotostat.
Fikrah pimpinan BADAR mengalahkan tokoh-tokoh pimpinan masyarakat semasa kerana idea-idea mereka dicedok daripada pemikiran yang terkenal seperti Hassan al-Banna. Kehidupan kerohanian di KISAS dengan amalan berpuasa Isnin dan Khamis, berqiamullail setiap pagi, ceramah, kuliah, pembentangan kertas kerja dan tamrin menjadikan aku benar-benar hidup dalam dunia baru yang tidak aku dapati seumur hidupku sebelumnya. Inilah ‘Cultural Shock’ yang aku maksudkan.
Imam al-Banna meletakkan Syurga sebagai matlamat akhir perjuangan dan menggariskan susunan amal yang jelas bermula memantapkan 10 ciri individu muslim, membentuk keluarga dakwah, membina masyarakat Islam yang bertakaful, menasihati dan mengislahkan kerajaan, memerdekakan dunia Islam daripada cengkaman penjajah, menegakkan sistem khalifah dan menjadi ustaz kepada alam semesta.
Ia adalah matlamat jauh yang di dokong oleh BADAR dan semasa di KISAS, fokus utama adalah meletakkan asas bagi melahirkan individu muslim yang syumul dan seimbang. Pandangan ini dikuatkan dengan kajian terhadap buku-buku fiqh seerah al-Buthi dan Mustafa al-Sibaie.
Aku mengimpikan suasana ini dapat dihidupkan disemua sekolah-sekolah di Malaysia khususnya sekolah-sekolah berasrama penuh. KISAS di waktu itu memang sesuai untuk menjadi pusat tarbiyah melahirkan ulama dan professional haraki moden Malaysia kerana KISAS merupakan pusat di mana berkumpulnya anak-anak yang cerdik dan terpilih daripada seluruh Malaysia. Bakal pemimpin masa depan yang berfikrah Islam ramai yang lahir dari bumi wakafan ini.
Aku masih ingat lagi sewaktu kami di tingkatan 4, setiap malam kami akan didisiplinkan oleh abang-abang senior di dewan makan. Selepas kelas ‘prep’ malam, kami akan berkumpul mengelilingi dewan makan sebelum menjamah juadah ‘supper’. Disitulah kami akan dileteri dan diherdik jerkah oleh abang-abang senior terutamanya Ketua-ketua Pelajar. Perkataan “bi’ah solehah” seringkali menjadi agenda tarbiyah disiplin kami. Mana-mana pelajar junior yang melakukan kesalahan akan dipanggil kehadapan untuk dileteri di atas kesalahan mereka. Kami ditarbiyah untuk menjaga “bi’ah solehah” di Kolej seperti menjaga batas pergaulan lelaki dan perempuan, disiplin solat berjemaah, disiplin itu dan ini. Memanglah sewaktu itu, kami semua mengalami ‘cultural shock’(kejutan budaya) yang cukup hebat, namun setelah berada diluar selama 13 tahun sudah, kenangan itu masih lagi segar di dalam ingatan.
Namun demikian, dalam kegarangan pelajar-pelajar senior, kami juga ditarbiyah secara lembut oleh para nuqoba’ usrah-usrah kami. Suatu kombinasi yang cukup baik dimana naqib sebagai tempat kami bermanja seumpama ibu dan KP (Ketua Pelajar /Pengawas) seumpama bapa yang sering bersikap garang dan bengkeng terhadap kami. Seminggu sekali, kami akan bermanja dengan naqib kami di dalam sesi perbincangan usrah. Usrahlah tempat kami menerima ilmu-ilmu Islam dan haraki dan meluahkan isi hati. Suasana itu cukup indah..subhanallah, memang tiada terdapat di tempat lain yang pernah aku lalui.Kebencian terhadap KP akan hilang setiap kali berdamping dengan naqib kerana dengan lembut dan berhikmah, naqib akan cuba menerangkan kepada kami akan sebab musabab tindakan keras dan disiplin yang di laksanakan oleh Ketua Pelajar – Ketua Pelajar itu.
Satu perkara yang masih tidak dapat kulupakan ialah ‘Buku Tazkirah’. Setiap hari, kami akan berkumpul untuk sesi tazkirah selepas solat Asar. Semasa kami di Tingkatan 4, kami akan menerima tazkirah dan semasa kami di Tingkatan 5, kami pula yang diminta untuk memberi tazkirah dan menjadi naqib. Semua pelajar tingkatan 4 dipaksa untuk mempunyai satu buku catatan yang dinamakan ‘Buku Tazkirah’. Buku catatan ini, gunanya ialah untuk menulis apa-apa sahaja isi kandungan tazkirah, ceramah, bahan usrah dan sebagainya. Dalam paksaan tersembunyi seribu manfaat. Itulah yang dapat kurasai kerana sewaktu melanjutkan pelajaran ke luar negeri setelah tamat pendidikan tingkatan 5, buku itulah yang menjadi rujukanku apabila diminta memberikan kuliah atau tazkirah.
Detik yang paling menyedihkanku adalah detik perpisahan di dalam Majlis Wada’ ataupun Majlis Perpisahan setelah tamat peperiksaan SPM. Aku tahu bahawa, masa tidak dapat dibalikkan ke belakang, namun saat-saat indah yang diperolehi di KISAS tidak akan kulupakan. Sewaktu Majlis Wada’, kami bernasyid beramai-ramai dengan suatu nasyid yang terkandung sejuta kenangan tarbiyah. Aku nukilkan lirik nasyid tersebut untuk tatapan sidang pembaca sekalian.
RINTIHAN KALBU - KISAS
Hari ini tiada senda dalam bicara,
Deru air mata merupakan segalanya,
Sang hati bicara sendiri,
Bangunkan ummah bina generasi.
Dibumi yang bertuah ini,
Diriku mula menyedari,
Matlamat hidup sebagai abdi,
Kepada Allah Allahu rabbi.
Diriku kini sebebas unggas,
Terbang riang di angkasa raya
Menyanyi merdu irama kalbu,
Indahnya, indahnya, ooh indahnya.
Wahai generasi dengarlah pesanan ini
Bumi ini bumi bertuah
Suburnya sesubur tanaman di lembah,
Melahirkan insan berjiwa tabah.
Kutiplah mutiara-mutiara indah
Untuk bekalan diri berpindah,
Sebelum jejak kaki melangkah,
Sebelum penyesalan membawa padah.
Sahabat seperjuangan,
Usah digentar musuh dihadapan,
Pandanglah didepan, balasan Tuhan,
Syurga Firdaus menanti kalian.
Teruskan..oh teruskan,
Perjuangan menegak kebenaran
Didalam kebungkaman akhir zaman
Selagi hayat dikandung badan.
Wahai Teman seperjuangan,
Dengarlah harapanku ini,
Pohon untukku dalam doamu,
Diriku Pejuang islam yang satu,
Diriku Pejuang islam yang satu……
SEJARAH KOLEJ ISLAM SULTAN ALAM SHAH
Kolej ini ditubuhkan pada tahun 1374H/1955M. Nama sebenarnya pada masa itu ialah Kolej Islam Malaya. Ia didirikan di atas sebidang tanah seluas kira-kira 14.3 ekar yang terletak di jalan Kota Raja,iaitu kira-kira satu setengah kilometer dari bandar Kelang.
Kolej ini pada asalnya ialah sebuah istana yang kemudiannya diwakafkan oleh Almarhum Sultan Hishamuddin Ibni Almarhum Sultan Sulaiman. Baginda amat berharap agar kolej ini dapat melahirkan para ulama' yang bertakwa kepada Allah dan seterusnya menerangi masyarakat Malaysia ini dengan ruh-ruh islam serta dapat menghapuskan segala bentuk kekufuran dan jahiliah yang ada.
Pada tahun 1386H/1966 M, Kursus Sijil Tertinggi Kolej Islam Malaya telah dipindahkan ke bangunan yang baru di Petaling Jaya dan seterusnya ke Bangi menjadi fakulti Islam U.K.M. Namun begitu kursus persediaannya masih lagi di tinggalkan di Kelang.
Pada tahun 1967, Kolej ini diambil oleh Kementerian Pelajaran dan menjadikan sebuah sekolah bantuan penuh kerajaan yang bernama Kolej Islam Kelang (KIK). Akhirnya pada tahun 1972, ia telah diangkat menjadi Sekolah Berasrama Penuh lengkap dengan pelbagai kemudahan sehingga ke hari ini.
Kemudian pada 1989, Kolej Islam Kelang (KIK) telah ditukar nama kepada Kolej Islam Sultan Alam Shah(KISAS) oleh Sultan Salahuddin Ibni Almarhum Sultan Abdul Aziz Shah, Sultan Selangor Darul Ehsan pada masa itu. Sehingga kini, bangunan bekas istana sultan tersebut masih dikekalkan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)



No comments:
Post a Comment