MOTIVASI AMILIN 15- Bagaimana Usrah yang menarik? “Trip to Jenolan Caves”

Jenolan Caves merupakan salah satu destinasi menarik yang menjadi tarikan pelancong baik dari dalam Australia atau pelancong asing. Ini adalah kerana lokasi tersebut menyembunyikan seribu satu rahsia keindahan ciptaan tuhan. Gua batu kapur itu mengandungi bentuk-bentuk batu yang aneh hasil daripada pembentukan stalagtite dan stalagmite. Sesiapa yang memasukinya pasti terpesona, apatah lagi bilamana batu-batu ‘semulajadi’ itu dipasangkan padanya lampu-lampu yang pelbagai warna untuk mengindahkan lagi suasana. ‘Jenolan Caves’ itu sendiri terdapat beberapa gua yang berasingan di mana pengunjungnya dikenakan bayaran berasingan untuk setiap gua yang ingin dilawati dan dinikmati keindahan ciptaan tuhan ini.

Suatu ketika dahulu, kami sekumpulan usrah ini memang cukup pantang dengan cuti kampus. Sememangnya cuti panjang akan kami manfaatkan dengan aktiviti-aktiviti tarbiyah santai. Negara Australia yang kaya dengan keindahan alam ‘semulajadi’ memanglah sesuai untuk manfaat tersebut. Kebiasaannya, program-program tamrin seumpama ini akan disertai oleh seorang atau beberapa ustaz yang akan membimbing kami. Program sebegitu akan diatur sedemikian rupa agar ianya menjadi menarik dan memberi kesan kepada peserta.
Aku masih ingat lagi sewaktu musim sejuk pada tahun 2001 dimana kami telah mengatur satu program selama 7 hari 7 malam yang kami namakan sebagai ‘Trip to Jenolan Caves’. Program besar ini, kami mulakan dengan melantik satu jawatankuasa perlaksana yang akan bertindak untuk merancang dan memastikan program tersebut terlaksana sepertimana yang telah dirancang.
Sepanjang tempoh, banyak kenangan manis dan pahit yang dirasai. Kami yang seramai 15 orang itu telah memilih untuk menyewa 3 buah kereta sebagai kenderaan kami. Destinasi yang kami akan singgah sebelum tiba di Jenolan Caves dari Melbourne ialah Horsham, Handorf, Adelaide, Hay, Mildura dan Blue Mountain.
Selesai berjalan-jalan di Jenolan Caves yang terletak di Blue Mountain itu, kami meneruskan perjalanan ke Sydney, Lakemba Mosque, Canberra dan kembali pulang ke Melbourne.
Sepanjang perjalanan, disamping ‘berseronok’ dengan alam ciptaan tuhan ini, kami manfaatkan dengan pelbagai pengisian rohani yang matlamatnya tidak lain daripada untuk mendapat keredhaan Allah subhanahu wa ta’ala dan melahirkan seramai mungkin mujahidin dan mujahidah yang akan memartabatkan Islam di atas muka bumi ini. Aktiviti luar diselangselikan dengan program ta’aruf, pengisian oleh ustaz, tazkirah sesama kami, solat berjemaah, makan berjemaah, latihan dalam kumpulan, sukan dan pelbagai aktiviti bermanfaat.

No comments: