MOTIVASI AMILIN 16- Qiyamullail sebagai bekalan

Para Pejuang Islam tidak perlulah bersembang panjang membicarakan tentang perjuangan menegakkan agama dan bangsa sekiranya dirinya bukan ‘spesis’ yang bangun malam untuk melaksanakan qiyamullail. Ianya merupakan satu kemestian kepada setiap anggota jemaah Islam kerana ianya adalah satu kekuatan.
Setiap pejuang Islam mestilah melazimkan dirinya untuk komitted dengan amalan qiyamullail. Seelok-eloknya setiap malam, tetapi, kalau tidak mampu pun, lazimkanlah sekurang-kurangnya seminggu sekali mesti beramal dengan amalan qiyamullail dan tidak kurang dari itu.

Allah menyebutkan tentang amalan gemar kepada amalan sunnat di dalam sebuah Hadith Qudsi :




"Senantiasa hamba-Ku bertakarub kepada-Ku dengan amal-amal sunat, sehingga Aku mencintainya."

Berapa banyak yang timbul di pangkuan dakwah ini orang-orang yang banyak berpuasa dan beribadat malam hari (qiyamul lail), seperti tersebut dalam firman Allah:


"Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya, sedang mereka berdo'a kepada Tuhannya dengan rasa takut dan harap." (As-Sajdah: 16).

Orang-orang menyifatkan mereka seperti menyifatkan para sahabat dan tabi'in, bahawa mereka: "ahli ibadat ketika malam tiba dan waktu siang menjadi pasukan berkuda." Penyair mereka mengungkapkan dalam syair yang berjudul "Huwa al-Haq" atau syair yang berjudul "Al-Karaib" yang dihafal oleh ramai para pejuang Islam, sebagai berikut:



"Kami adalah lemah lembut bila malam tiba, Kami mengerumuni mihrab kami
dengan rasa sedih, Kami adalah perajurit-perajurit perkasa di medan laga,musuh memandang kami tak terkalahkan bagaikan singa. "
Dalam hal ini Ustaz Hasan Al-Banna menyusun sebuah risalah, bernama "Al- Munajah." Di dalamnya diterangkan keutamaan tahajjud dan solat di waktu sahur, kedudukan do'a dan istighfar dengan mengemukakan ayat-ayat, hadith-hadith dan amalan para sahabat. Beliau selalu mengungkapkan kenikmatan beribadat di tengah malam dan berdiri menghadap Allah ketika manusia lelap dalam tidurnya. Berjaga untuk perbuatan taat ketika manusia tenggelam dalam hiburan dan menangis takut kepada Allah yang menjadi tertawaan mereka yang
melampaui batas. Hal ini diungkapkan sesuai dengan kata-kata penyair dalam munajat kepada Tuhannya:



"Bertanggang malam bukan untuk mengingat Tuhan adalah batal
Menangis bukan kerana kehilangan keridhaanMu adalah sia-sia."

Makna-makna ini mempunyai pengaruh yang kuat dan mendalam dalam jiwa dan hati anggota Ikhwanul Muslimin di Mesir dan sebahagian para alim ulama dalam jemaah Parti Islam SeMalaysia (PAS). Maka lahirlah generasi Ketuhanan yang berjaga malam untuk beribadat kepada Allah dan menahan haus di waktu siang kerana Allah. Sejuknya musim dingin tidak menghalanginya untuk beribadat di malam hari dan teriknya musim panas tidak menghalanginya untuk berpuasa.
Kerana dalam beribadat kepada Tuhan ia menemukan kesenangan, dalam ta'at kepadaNya ia merasakan kelazatan dan dalam berdiri di hadapanNya ia memperoleh kebahagiaan, seperti yang diungkapkan oleh seorang soleh masa lalu dengan kata-katanya: "Sekiranya raja-raja mengetahui semua ini tentulah mereka memerangi kami dengan pedang untuk memperoleh kebahagiaan itu.”

Allah berfirman;



"Hai orang yang berselimut: Bangunlah (untuk solat di malam hari, kecuali sedikit (dari padanya). (Iaitu) seperduanya atau kurangilah dari seperdua itu sedikit. Atau lebihi dari seperdua itu; dan bacalah AI Qur-an dengan bacaan yang perlahan-lahan. Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat (AlQur-an)." (Al-Muzammil: 1-5).

Allah berfirman lagi bahawa amalan qiyamullail ini akan menjadi sumber kekuatan yang memantapkan iman.

“Sebenarnya sembahyang dan Ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya.”
(Al-Muzammil:6)

Allah s.w.t juga menerangkan sifat hamba-hambanya yang mukmin:

“Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja: masa dari waktu malam, untuk mereka tidur.Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun).
(Az-Zariyaat; 17-18)

Akhirnya, kepada ahli-ahli PAS, kita sudah faham bahawa penyertaan kita ke dalam jemaah ini bukanlah suatu kebetulan tetapi adalah dengan taqdir Allah jua kearah sebuah kemenangan. Maka, marilah kita bersama-sama membina kekuatan ini. Kekuatan dalaman seperti ini tidak ada dalam UMNO, tiada dalam PKR, tiada dalam DAP, tiada dalam parti-parti politik yang seumpama dengan Parti Islam SeMalaysia PAS.
Jadikanlah kemenangan kita kerana kekuatan kita, bukan dengan kelemahan orang lain. Sesungguhnya Allah telah menangkan kita di Kelantan kerana kekuatan ini ada pada mereka, tok-tok guru, tok-tok alim sekolah pondok dan para pejuang Islam di sana. Dan perkara itu mungkin masih belum terjadi kepada kita di negeri-negeri lain kerana kita kurang bermunajat kepada Allah.

No comments: