Sebelum penulis melanjutkan penulisan, suka penulis merakam semula maksud istilah yang telah dan akan digunakan dalam penulisan ini.
Istilah pertama adalah da'ei (دَاعِي). Ia bermakna pendakwah atau orang yang membuat kerja dakwah.
Keduanya ialah mad'u (مَدْعُو). Ia bermakna orang yang menerima seruan dakwah.
Dan yang ketiganya ialah dakwah. Ia bermakna seruan atau panggilan atau ajakan kearah jalan Allah.
Dalam berdakwah ini, kadangkala kita perlu ada kekreativiti yang amat tinggi dalam mendekati mad’u kita. Selagimana ianya tidak lari dari landasan Islam, maka kita adalah bebas untuk melakukan apa sahaja pendekatan yang wajar dalam berdakwah samada secara individu ataupun secara umum. Kita boleh mengambil contoh di mana Imam As-Syahid Hassan Al Banna sebagaimana di dalam catatan para pengikutnya bahawa pada peringkat awalnya beliau telah membuat kerja dakwah di beberapa ‘Night Club’ yang ada di sekitar beliau untuk menyampaikan mesej Islam.
Penulis masih ingat di mana suatu ketika dahulu penulis pernah menetapkan seorang ‘mangsa’ dakwah. Maksud saya sebagai ‘mangsa’ ialah kerana penulis telah mengatur program tarbiyah secara khusus untuk beliau secara peribadi. Pernah suatu ketika, setelah saya menyelidiki latar belakang beliau, saya dapati bahawa hobi kegemarannya adalah memancing. Maka, saya mencari maklumat berkenaan hal memancing ini walaupun hobi ini adalah suatu perkara yang asing bagi penulis. Maklum sahajalah, saya dibesarkan di bandar, jauh dari air dan tidak pernah seumur hidup terdedah kepada aktiviti memancing ini. Tujuan saya mencari maklumat berkenaan memancing itu adalah semata-mata hendak ‘memancing’ kawan saya itu, ingin berta’aruf (berkenalan) dengannya dan mengatur strategi dakwah. Semoga dengan usaha ini, saya akan membuka ruang dakwah kepadanya dan melahirkan seorang lagi orang yang akan menyambung kerja dakwah Islam ini.
Pada hari yang ditetapkan, setelah berjanji dengan kawan ini, kami telah menempah sebuah bot kecil untuk memancing di tengah laut. Waktu itu adalah musim panas di mana kepanasannya boleh mencapai sehingga 400C dengan udara panas kering. Sebelum memulakan perjalanan, kami bersiap-siap dengan peralatan dan bekalan yang patut seperti alat-alat memancing, umpan, roti sandwich, air kotak dan sebagainya. Saya begitu teruja sekali pada hari itu kerana ianya berjalan seperti yang di rancang pada mulanya. Saya merancang untuk berta’aruf dengan sahabat ini dengan lebih lanjut dan berkongsi sedikit-sedikit idea tentang dakwah dengannya.
Setelah kami sampai ke pelabuhan dan membayar sewa bot kepada penyewa, kami terus memunggah barang ke dalam bot kecil tersebut. Kami mula mengayuh perlahan-lahan jauh daripada pelabuhan menuju ke tengah laut. Cuaca yang begitu panas itu membuat kepalaku sedikit pening. Kami mula berbual-bual sambil memasukkan umpan ke mata kail. Sambil berbual itu, saya mula berasa pening. MasyaAllah, pening betul. Saya belum pernah berasa pening seperti ini sebelum ini. Mungkin inilah yang dinamakan orang sebagai ‘mabuk laut’. Mood dan emosi saya ketika itu terganggu kerana kepala yang pening tadi membuatkan perut saya memulas dan tekak mula terasa loya. Tiba-tiba ‘uweek…’, Saya termuntah.
“Aku dah cakap dah…Kau degil juga nak ikut kami. Kan dah muntah-muntah,” gurau teman saya itu. “Aku rasa, kita nak kena patah balik ler. Nampaknya kau pon dah terloya dah,” saya menyambung sambil tersengih-sengih melihatkan muka sahabat saya itu yang dah mula menampakkan pening-pening lalat juga.
Begitulah sedikit pengalaman yang tidak seberapa ini dalam arena dakwah saya yang begitu kecil ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)



No comments:
Post a Comment