Penulis masih lagi teringat ketika penulis menuntut di 'oversea' suatu ketika dahulu. Pengalaman selama 4 tahun yang tidak seberapa ini sedikit sebanyak telah membentuk jiwa penulis ini.
Penulis merasakan bahawa apa yang telah berlaku itu merupakan ketetapan Allah, yang telah diatur olehNya sejak azali lagi dalam proses tarbiyah ketuhanan. Ujian dan apa jua bentuk yang datang adalah merupakan tarbiyah tuhan.
Semasa menuntut di 'oversea' dahulu, penulis telah didedahkan kepada organisasi dan sistem tarbiyah daripada banyak kumpulan. Penulis pernah bergiat dalam tabligh, JIM, pertubuhan Islam di Universiti. pertubuhan Islam pelajar-pelajar Melayu, pertubuhan Islam tempatan yang ada bermacam etnik muslim, masjid-masjid, pertubuhan penduduk Melayu tempatan dan bermacam-macam lagi. Alhamdulillah semua itu adalah ketentuan daripada Tuhan Rabbul Jalil.
Tetapi dalam banyak-banyak kumpulan itu, penulis telah diberi amanah besar untuk menyusun atur tarbiyah untuk pelajar-pelajar Melayu Muslim yang sedang menuntut di sana. Cabaran yang paling besar ialah bagaimana caranya nak 'tangkap' adik-adik yang baru ini agar 'mahu dekat dengan abang-abang'.
Kami diajar oleh abang-abang bahawa manusia ini akan mudah berasa 'terhutang budi' kalau kita 'berbudi' kepadanya. Berpegangkan kepada pepatah itu, perkara pertama yang kita buat ialah kebajikan. Penulis masih lagi ingat pernah kami berpakat sesama kami untuk membuat satu gotong royong di Malaysian Hall. Di situ banyaklah terdapat barang-barang tinggalan senior-senior terdahulu. Bilamana mereka selesai pengajian, ada sesetengah mereka tidak membawa pulang ke Malaysia barang-barang peribadi mereka. Alasannya pelbagai.
Maka, apa yang kami buat ialah baju-baju lama seperti sweater,jacket, quilt, sleeping bag (semuanya peralatan musim sejuk), kami kumpulkan dan basuh kesemuanya elok-elok. Selepas itu, barang-barang terpakai tersebut kami jadikan umpan untuk menarik hati 'mangsa' kita itu. Banyak umpan yang mengena dan kami di peringkat pimpinan akan meneruskan dengan langkah seterusnya setelah umpan mengena. InsyaAllah penulis akan melanjutkan perbincangan tentang perkara ini di tajuk-tajuk yang akan datang. Teruskan membaca!
Dalam tarbiyah ini, hubungan peribadi (PR, Personal Relationship) sangat penting. Kita kena pandai ambil hati anak-anak buah kita. Lihatlah bagaimana insan mulia, Muhammad sallallahu alaihi wasallam mendekati para sahabat dalam hubungan sesama mereka. Nabi dianggap oleh para sahabat sebagai bapa, pembimbing dan rakan karib. Ini semua adalah kerana baginda pandai mengambil hati para sahabat. Indah sungguh peribadi baginda. Kita patut mencontohi baginda tentang bagaimana baginda bergaul dengan para sahabat, bagaimana baginda menghormati orang yang lebih tua, bagaimana baginda menghormati jiran tetangga, bagaimana baginda mendekati golongan anak-anak dan orang muda. Kalaulah penulis diberi peluang untuk mencatatkan semuanya disini, maka buku motivasi ini pasti akan menjadi tebal berjilid-jilid. Cukuplah sekadar sepotong ayat , “Marilah kita pelajari sirah Rasulullah melalui para alim ulama yang murshid dan mengamalkan sunnah nabi supaya sifat-sifat baginda dapat kita amalkan untuk menjadi senjata kita dalam kerja dakwah dan jamaah ini.”
Subscribe to:
Post Comments (Atom)



No comments:
Post a Comment