MOTIVASI AMILIN 2- Mengapa saya menyertai Perjuangan Islam berwadahkan PAS?

Sahabat seperjuangan,
Perkara pertama yang perlu kita tanya kepada diri ini, mengapa kita beserta dalam jemaah ini? Ada yang bersama jemaah ini kerana mengikut ibu dan ayahnya. Ada yang bersama dengan jemaah ini sejak dari bangku sekolah lagi. Ada yang detik permulaannya di kampus universiti. Ada yang 'turning point' nya setelah pencen. Malah ada juga yang menyertai PAS kerana politik semata-mata, sama seperti penyertaannya ke dalam PKR, DAP, UMNO dan parti-parti politik yang lainnya.
Biar dimana atau bila permulaan kebersamaan kita dalam jemaah sekalipun, apa yang perlu kita tahu ialah, mengapa kita bersama dalam jemaah ini.
Persoalannya, kenapa aku menyertai jemaah ini? Mengapa aku menyertai PAS? Diam sejenak... fikir...
...Fikir...
...Fikir...
...Tutup buku ini dan fikir sejenak...

Inilah setinggi-tinggi hala tuju yang kita harus berusaha kepadanya. Lantaran itu, Allahlah tujuan kita. Tidak ada suatu yang kita tuju kecuali Allah. Kita beriman kepadaNya. Kita melihat segala sesuatu untuk Dia di dalam hidup kita. Kita beribadah kepadaNya dengan sepenuh hati. Kita mencari keredhaanNya dalam setiap usaha kita dari sekecil-kecil perkara hingga kepada sebesar-besarnya dalam setiap kegiatan hidup kita dengan penuh ketulusan dan keikhlasan yang sempurna serta benar-benar yakin bahawa disitulah terletaknya kebahagiaan yang sejati, hidayah yang hakiki dan kejayaan yang sebenar.

“ (Katakanlah Wahai Muhammad kepada mereka): "Maka segeralah kamu kembali kepada Allah (dengan bertaubat dan taat), Sesungguhnya Aku diutuskan Allah kepada kamu, sebagai pemberi amaran yang nyata.
(Az Dzariyat:50)

Apakah maksud 'jamaah? 'Jamaah' dalam bahasa yang mudah untuk kita terjemahkan ialah 'kumpulan'. Perkataan 'jemaah' ini nampaknya sudah sebati dalam bahasa pertuturan kita sehingga kita lupa bahawasanya ia berasal dari perkataan arab. Dalam pertuturan seharian, kita menggunakan perkataan 'solat berjemaah' untuk maksud solat secara berkumpulan.
PAS adalah sebuah jemaah ataupun kumpulan. Merujuk kepada perlembagaan, PAS bercita-cita untuk mengaplikasikan Islam dalam seluruh aspek kehidupan manusia. Berlandaskan ini, PAS adalah sebuah ‘Jemaah Islam’.
Sebagai pejuang Islam, kita sewajibnya memahami bahawa PAS sangat berbeza dengan 'kumpulan' lain. Terus terang dinyatakan disini bahawa PAS mempunyai kelebihan yang sangat tinggi yang membezakannya dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Democratic Action Party(DAP) walaupun kita bersama-sama dalam Pakatan Rakyat. Parti Islam SeMalaysia (PAS) mempunyai kelebihan yang sangat tinggi berbanding jemaah-jemaah yang lain seperti Tabligh, JIM, ABIM dan sebagainya. Namun masing-masing yang lain juga telah berperanan besar dalam usaha dakwah dan tarbiyah.
Sebagai ahli PAS lebih-lebih lagilah sekiranya kita adalah petugas PAS, kita perlu faham bahawa kita berasa dalam PAS ini kerana PAS adalah sebuah ‘Jemaah Islam’. Kita bersama PAS kerana ianya memperjuangkan Islam. Biar apa pun namanya, sekiranya badan itu mempunyai ciri-ciri sebuah Jamaah Islamiyah yang memperjuangkan aqidah Islam dalam mentauhidkan Allah, maka jemaah itu wajib kita ikuti. Dalam konteks kita di Malaysia ini, penulis yang kerdil ini sependapat dengan para alim ulama dan mujahid bahawa PAS adalah sebuah jemaah Islam yang wajib kita sertai.

“Wahai orang-orang yang beriman! sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah Yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi meliputi pengetahuanNya.”
(Al-Maidah, 54)

Ada beberapa ciri yang perlu ada dalam sesebuah jamaah Islam. Sebagai ahli PAS yang beriman dengan Allah dan RasulNya perlulah berasa bangga kerana kita berada dalam sebuah jamaah yang mempunyai ciri-ciri berikut:-
Mengasihi Allah.
Allah kasih kepada mereka.
Lemah lembut sesama orang-orang yang beriman.
Tegas gagah kepada orang-orang kafir.
Berjuang bersungguh-sungguh pada jalan Allah.
Tidak takut kepada orang yang mencela.


Huraian Ringkas
Mengasihi Allah
Jamaah yang kasihkan Allah pastinya mengutamakan Allah dan rasulnya melebihi dari segala urusan. PAS meletakkan Allah dan rasul pada tempat yang pertama dalam segala urusan. Rujukan kita adalah Al-Quran dan sunnah. PAS meletakkan ulama dan Ahli Majlis Syura Ulama sebagai pemandu kita.
Para alim ulama yang ada didalam PAS sudah pastinya menjadikan Allah sebagai rujukan utama dan inilah tandanya kami kasihkan Allah sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat diatas sebagai “ Nåk™:Ïtä† “
Allah kasih kepada mereka.
Bagaimana kita tahu yang Allah sayangkan PAS? Adakah kita sengaja memandai di dalam perkara ini. Sesungguhnya Allah telah menuntun kita dalam perkara ini dengan firmanNya :-

“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
(AliImran:31)


PAS mencuba sedaya upaya untuk mengikut jejak langkah Nabi Muhammad sallalahualaihi wasallam dalam segala tindak tanduk kita. Selagi mana kita sedar dan dibimbing oleh para alim ulama, PAS mencuba sedaya upaya untuk mengikuti ajaran Nabi kerana kita semua sayangkan Allah. Dan Allah menjamin bahawasanya barangsiapa yang mengikuti jejak langkah Nabi Muhammad, maka selayaknyalah untuknya memperolehi kasih sayang Allah sebagaimana yang Allah sebut sebagai “ÿ¼çmtRq™6Ïtä†ur”. Moga-moga dengan kasih sayang Allah yang ini mampu menyelamatkan kita semua daripada pedih azab api neraka. Amiin.

Lemah-lembut sesama orang-orang yang beriman.
Secara polisinya, PAS sangat menghormati orang-orang yang beriman yang selayaknya diberi penghormatan. PAS menyuburkan sifat ukhuwwah dan kasih sayang sesama ahli dan juga orang beriman. PAS mengamalkan sunnah yang diajarkan kepada kita oleh junjungan besar Nabi Muhammad sallahualaihiwasallam sepertimana yang diajarkan oleh Allah Taala dalam firmannya:

“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”
(Al-Hujurat: 10)
Allah menyatakan bahawa kita sesama mukmin adalah bersaudara, maka sewajibnyalah kita berbuat soleh sesama kita tanpa menyakiti, mencerca, memperlekeh dan perbuatan-perbuatan yang tidak layak untuk kita sebagai muslim dan mukmin.
Adapun terhadap orang yang memusuhi Islam dan cuba untuk menjatuhkan usaha menegakkan hukum Islam, maka disana Allah melanjutkan lagi dengan cirinya yang keempat iaitu “bersifat tegas terhadap orang kafir”

Tegas gagah kepada orang-orang kafir.
Bukanlah PAS ini sebuah jamaah yang mengkafirkan sesama muslim. Tetapi oleh kerana salah faham masyarakat umum, maka orang menuduh bahawa PAS telah mengkafirkan sesetengah pihak. Itu cerita lama. Namun, PAS bersifat tegas secara polisi jamaahnya terhadap sebarang usaha yang menyeleweng daripada ajaran Islam. Adapun seandainya berlaku penyelewengan itu dikalangan ahli atau pimpinan PAS sendiri, maka itu adalah kerana kelemahan peribadi yang perlu pembetulan.
Namun, secara polisinya, PAS bersifat tegas terhadap semua sistem kuffar yang menyesatkan dan merosakkan manusia dan sistemnya.

Berjuang bersungguh-sungguh pada jalan Allah.
Para amilin(aktivis) dan ahli PAS diajar untuk berjihad dijalan Allah. Seumpama jihad para amilin dakwah silam. Mungkin kita tidak setaraf mereka tetapi, kita diajar oleh para alim ulama kita untuk berjihad bersungguh-sungguh untuk mencapai hidayah Allah untuk diri kita, keluarga kita dan seterusnya hidayah untuk negara kita. Sebagaimana firman Allah:-

“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama kami, Sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan Sesungguhnya (Pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.”
(Al-Ankabut:69)

Para amilin dakwah dan jamaah PAS diajar untuk mengorbankan harta dan jiwa untuk Islam. Cara didikan ini yang bersesuaian dengan firman Allah:-


“Wahai orang-orang yang beriman! mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah Dengan harta benda dan diri kamu; Yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”
(As-Saaf: 10-11)

Contoh paling mudah yang dipraktikkan oleh ahli PAS ialah jihad harta benda yang dikorbankan oleh mereka pada setiap kali ceramah umum berlangsung. Semasa di kemukakan uncang oleh petugas Unit Amal setiap kali ceramah, maka ramai ahli-ahli PAS mengorbankan harta mereka semampu mungkin. Itu belum lagi dikira pengorbanan masa dan hatta ada juga yang mengorbankan nyawa demi perjuangan Islam. Takkbirrr!!

Tidak takut kepada orang yang mencela.
Sudah menjadi sunnatullah bahawa dalam menelusuri jalan dakwah dan jihad ini, kita pasti berhadapan dengan orang-orang yang jahil sebagaimana tuntunan Allah didalam peristiwa qiblatain:-

“Orang-orang bodoh (yang kurang akal pertimbangannya) akan berkata: "Apa sebabnya yang menjadikan orang-orang Islam berpaling dari kiblat yang mereka mengadapnya selama ini?" Katakanlah (Wahai Muhammad): "Timur dan barat adalah kepunyaan Allah - (maka ke pihak mana sahaja kita diarahkan Allah mengadapnya, wajiblah kita mematuhiNya); Allah Yang memberikan petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus".

Sejarah banyak membuktikan bahawa perjuangan Islam pasti berhadapan dengan orang-orang jahil yang berlagak pandai untuk menggagalkan usaha dakwah dan jihad.
Dan PAS juga tidak terlepas daripada kata-kata cercaan moden. Media massa digunakan sebebas-bebasnya untuk mencerca PAS dan juga pimpinannya. Namun, kita tetap mempunyai kekuatan untuk berhadapan dengan mereka (yang sudah tentunya kita menumpang kekuatan daripada Allah). Walaupun kita serba kekurangan tetapi kita tetap teguh dalam menghadapi semua ini.


Kesimpulannya, marilah kita “Go back to the basic” ataupun “Kembali kepada asas”. Akhir-akhir ini, berlaku kecelaruan didalam jamaah kita kerana mungkin sudah lupa alpa akan tujuan penubuhan kita. Mungkin masing-masing telah terlalu sibuk dengan urusan kenegaraan dan pembangunan negeri, maka asas kita sebagai sebuah jamaah Islam yang bertunjangkan kepada ciri-ciri tersebut mula hilang sedikit demi sedikit. Moga-moga Allah membantu kita untuk memperolehi hidayahNya dan cinta AgungNya.
Marilah kita sama-sama beserta dalam Islam dengan berwadahkan PAS dengan kefahaman. Marilah kita bersama-sama dengan PAS dalam keadaan kita faham. Seandainya kita kurang faham dan hanya ikut-ikutan, cubalah kita mendalami agar kita lebih faham, “Mengapa aku bersama PAS”.
Kian hari,kian ramai yang sudi bersama PAS, hatta anak-anak muda ‘berseluar yankee berkaki ayam’ (pinjam kata-kata abang Sudin), sehinggalah juga orang-orang yang bukan beragama Islam. Maka, biarlah penyertaan kita di dalam PAS ini dengan penuh kefahaman sebagaimana yang di sebutkan oleh Imam Hassan Al-Banna dalam membicarakan tentang rukun bai’ah. Perkara pertama yang ditekankan oleh beliau dalam jamaah Ikhwaanul Muslimin di Mesir ialah “ الفهم ” yakni kefahaman.
Seandainya ingin kita kupas persoalan ‘kefahaman’ ini di sini, maka buku motivasi ini akan menjadi sebuah buku teks yang akan digunakan di universiti. Cukuplah semua itu digalas oleh para pendokong Islam sekalian agar kita mengambil inisiatif ini untuk memberikan kefahaman kepada ahli-ahli kita baik yang lama ataupun yang baru. Moga-moga dengan usaha ini, kita akan dapat melahirkan suatu ‘force’ atau kekuatan dalam jamaah kita.

No comments: