MOTIVASI AMILIN 3 - Terkenang zaman di Kolej Islam Sultan Alam Shah- Istiqomah

Terkenang penulis kepada suasana semasa penulis menuntut di Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS),Kelang suatu ketika dahulu. Perkataan yang tertera pada lencana rasmi sekolah ialah 'Fastaqim Kama Umirta'. Begitulah bunyi motto sekolah kami. 'Fastaqim Kama Umirta' membawa maksud, Istiqomahlah kamu sebagaimana yang diperintahkan Allah. Allah menyeru kepada orang-orang yang beriman terutamanya kepada para pejuang Islam agar ber’istiqomah’ dalam setiap amal perbuatan. Istiqomah bermaksud tetap pendirian atau dalam kata orang putih- 'steadfast'.
Masa kami di KISAS dulu, kami semua telah dilatih dengan ajaran Islam yang sebenar baik dari segi teori dan juga praktikal. Kami diajar untuk melaksanakan Islam untuk diri sendiri hatta dalam perlaksanaan kenegaraan. Kami diajar agar senantiasa istiqomah atau tetap dalam pendirian dan amalan perbuatan.
Masih terngiang-ngiang cerita yang disampaikan kepada kami oleh ustaz yang membimbing kami. Jadilah kamu seumpama ikan di lautan. Walau bagaimana masin air laut sekalipun, ianya tidak dapat merubah rasa daging ikan tersebut. Ianya tetap tawar sehinggalah ia mati kerana ditangkap nelayan dan dijadikan ikan masin. Barulah ia masin dagingnya. Subhanallah, begitulah istiqomahnya ikan kerana ia menggunakan pendirian 'Langkah mayat aku dulu'. Baru kau boleh buat apa-apa dekat aku.
Jadi, kita sebagai pejuang Islam ini, sewajiblah kiranya kita meneguhkan pendirian kita. Walau bagaimana kuat badai yang melanda, kita akan tetap utuh mempertahankan Islam hatta kita sanggup mengorbankan jiwa kita sekalipun.

Bagaimana untuk Istiqomah dalam perjuangan Islam ini? :-

Doa- Para pejuang Islam kena yakin bahawasanya keberadaan kita dalam Islam,Iman,dakwah, jihad ,jemaah dan nikmat ini adalah dengan hidayah Allah jua. Dialah Allah yang memilih kita untuk berada di atas jalan yang lulus ini. Dialah yang telah memilih kita untuk hidup dan mati dalam perjuangan Islam atas wadah PAS. Sewajibnya kita menadahkan tangan kita yang penuh dosa ini kepadaNya memohon agar Dia menetapkan pendirian kita sehingga ke akhir hayat. AMIN.

Latih diri kita dengan tahajud. Tahajud mempunyai kekuatan yang tersendiri walaupun orang yang sudah lazim melaksanakannya tidak merasai 'Power' tahajud itu. Solat malam akan memberi kekuatan jiwa kepada orang mukmin. Kita sebagai pejuang Islam, wajib melaksanakannya secara konsisten. Sebaik-baiknya setiap hari. Andainya tidak mampu, selang 3 hari sekali. Kalau tak mampu, seminggu sekali.. Sebagai pejuang Islam, jangan kurang dari itu. WAJIB.Kita perlu faham bahawa tugas yang kita sedang pikul ini amatlah berat. Kalaulah selimut atau pelukan isteri pun kita tidak mampu menolaknya, bagaimana pula hendak digalas amanah Islam yang sangat berat ini? Yang mana Allah maklumkan kepada kita yang amanah ini, kalau di letakkan di atas bukit pun, ianya akan hancur.

Puasa sunat- Selain puasa Ramadhan yang kita laksanakan, para pejuang Islam mestilah melazimkan puasa-puasa sunat. Ianya merupakan riadhah rohani dan jasmani yang terbaik dalam usaha kita mencapai jalan istiqomah. Biasakanlah dengan puasa 3 hari sebulan atau puasa Isnin Khamis dan amalan puasa sunat yang lain.

Majlis Usrah,Majlis Ilmu dan tazkirah- Sebagai manusia, kita ini sering lupa dan alpa. Kadangkala kesibukan kerja dan dunia yang menghambat kita menyebabkan kita lupa kepada Allah dan perjuangan Islam. Maka disana, pentingnya sahabat-sahabat untuk memperingatkan kita. Maka peranan majlis ilmu amatlah penting. Dampingilah tok-tok guru dan para ustaz agar kita senantiasa diperingatkannya dalam setiap amal perbuatan kita. Walaupun kita ini tergolong dalam kategori ustaz sekalipun, sesekali rendahkanlah juga diri kita untuk hadir ke majlis ilmu. paling tidakpun, ianya boleh menjadi tazkirah untuk kita.

Wujudkan suasana bi'ah solehah (suasana yang soleh) dalam keluarga kita sesama suami atau isteri dan anak-anak. Suburkan suasana kasih sayang dan jihad dalam keluarga kita. Berilah tarbiyah tentang perjuangan kepada isteri dan anak-anak kita agar dia faham tentang perjuangan yang kita dokongi itu. Kalau tidak mereka bersama-sama kita mendokongnya, paling tidak pun, mereka menyokong. Kenalkan anak-anak kita dengan terminologi2 seperti usrah, tamrin, rehlah, jihad, Hiasi rumah kita dengan kitab-kitab dan buku-buku ilmiah supaya ahli keluarga kita tidak janggal dengan buku.

Dan banyak lagi kaedah-kaedah yang telah disarankan oleh ahli-ahli yang pakar dalam bidang ini. Contoh yang ditunjukkan oleh para pejuang di zaman dahulu sememangnya menjadi ikutan kita dan sudah tentunya contoh yang terbaik ialah contoh yang telah diberikan oleh junjungan besar kita , Nabi Muhammad sallalahualaihiwasallam. Sesungguhnya Allah berjanji kepada orang yang istiqomah sebagaimana firmanNya:-

“Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: "Tuhan Kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): "Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.”
(Fussilat:30)

Dan lagi firmanNya:


“Sesungguhnya orang-orang Yang menegaskan keyakinannya Dengan berkata: "Tuhan Kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul (dengan pengakuan iman dan tauhidnya itu), maka tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. Merekalah ahli syurga, tetap kekalah mereka di dalamnya, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan.”
(Al Ahqaf 13-14)

Maka tiadalah yang lebih menyenangkan hati kita daripada dapat bertemu Allah di syurga nanti. Ayuhlah kita sebagai amilin dakwah ini untuk sama-sama istiqomah dalam perjuangan ini. Masih lagi penulis teringat sewaktu disekolah dahulu, penulis bertanyakan seorang ustaz berkenaan lencana yang tertera kalimah “Fastaqim Kama Umirta”. “Boleh ke saya masuk tandas dengan lencana besi yang tertera ayat Al-Quran ini?” Sambil tersenyum ustaz itu menjawab, “Terpulang kepada enta lah, kalau enta cermat, bukalah lencana itu sebelum masuk tandas sebagai tanda hormat kepada motto sekolah kita yang diambil dari ayat Al-Quran. Tapi, kalau tak pecat pun tidak mengapa, niatkan itu ayat biasa sahaja yang hanya menjadi motto sekolah kita.”

Allah berfirman,

“Oleh itu, hendaklah Engkau (Wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan Yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadaMu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; Sesungguhnya Allah Maha melihat akan apa yang kamu kerjakan.”
(Huud: 112)

Ingatan penulis menerobos masa lampau sewaktu tamrin wida’ yang di adakan untuk meraikan perpisahan kami dari Kolej Islam Sultan Alam Shah yang banyak berjasa. Dalam salam perpisahan, kami saling menyebutkan perkataan “Istiqomah Sokmo”. Sambil pipi kami bersentuhan antara satu sama lain dan tangan saling bertautan diatas bahu masing-masing, kami menuturkan perkataan tersebut berulang-ulang kali sebagai janji kami kepada tuhan agar kami terus istiqomah dalam perjuangan ini sehingga ke akhir hayat, InsyaAllah.
Istiqomah Sokmo adalah terminologi yang kami gunakan dahulu yang kami cedok daripada bahasa Arab dan Kelantan. Istiqomah adalah perkataan Arab yang bermaksud konsisten atau berterusan. Manakala perkataan “sokmo” adalah perkataan Kelantan yang bermaksud “sentiasa”. Bila digabungkan dua perkataan itu, kami faham yang maksudnya ialah, “Duhai sahabatku, marilah kita sama-sama sentiasa beristiqomah.”

No comments: