MOTIVASI AMILIN 1 - Menjunjung Perjuangan Rasulullah.

Bukanlah matlamat penulis untuk mencatat suatu kitab sirah kerana diri ini bukanlah orang yang selayaknya. Cumanya ingin berkongsi sedikit bahan bacaan dan pengajian berkenaan sirah setelah hampir 30 tahun penulis menetap dibumi Tuhan ini. Lebih-lebih lagi kita ini yang mengaku diri kita sebagai pejuang Islam, apakah sebenarnya yang kita perjuangkan? Suatu persoalan untuk lontaran."Apakah sebenarnya yang kita perjuangkan?"
"Mengapa kita berjuang?"
"Bagaimana kita berjuang?"
Adakah dengan berdemontrasi itu namanya berjuang? Adakah dengan berteriak bertakbir selepas mendengar ceramah itu namanya berjuang? Adakah dengan menjaga parking sewaktu ceramah itu namanya berjuang? Adakah dengan hadir ke mesyuarat itu namanya berjuang? Cukupkah sekadar itu? Fikirkan... sama-samalah kita fikirkan.
Junjungan besar Nabi Muhammad adalah pelopor perjuangan Islam. Baginda berjuang berlandaskan wahyu Ilahi. Tiada amalan perbuatan baginda yang lari dari garisan wahyu Ilahi kerana bagindalah penunjuk dan pedoman buat ummat. Allah berfirman,

“Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu Yang berhubung Dengan ugama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala Yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu Yang diwahyukan kepadaNya.”
(An-Najm; 3-4)



Nabi Muhammad ini bukannya orang biasa sepertimana yang diputarbelitkan oleh sarjana-sarjana berpemikiran orientalis. Nabi Muhammad adalah manusia agung. Menurut Ibnu Kathir, beliau menukilkan di dalam kitab tafsirnya bahawa Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam adalah insan yang telah menyampaikan segala apa yang diperintahkan oleh Allah tanpa menambah dan mengurangkan apa-apa.
Imam Ahmad rahimahullahu ta’la meriwayatkan pula bahawa Abdullah bin Umar berkata bahawa, “Aku telah mencatat segala apa yang dibicarakan oleh baginda Nabi. Maka apabila pihak Quraisy mengetahui akan hal yang demikian, mereka mengejek dengan mengatakan, ‘bagaimana mungkin kamu menulis semua yang diperkatakannya sedangkan dia adalah manusia dan kadangkala bertutur sewaktu dia sedang marah.’ Kemudian, aku berhenti menulis apa yang disebut oleh nabi sehinggalah perkara ini diketahui oleh baginda. Lalu baginda bersabda,

“Demi Tuhan yang jiwaku di tanganNya, setiap perkataan yang keluar dari mulutku ini adalah kebenaran.” Hadis ini juga diriwayatkan oleh Abu Dawud.

Menurut Said Ramadhan AlButi , semoga Allah merahmati beliau, di dalam kitab beliau 'Sirah Nabawiyah', sejarah adalah berbeza dengan sirah. Kita tidak namakan 'sejarah' apabila bercerita tentang Nabi Muhammad yang kita kasihi itu melainkan kita menyebutnya sebagai 'sirah'. 'Sejarah' atau dalam bahasa arabnya 'Tarikh' hanyalah menceritakan secara zahir sahaja apa-apa yang telah berlaku seumpama sejarah penaklukan kota Melaka oleh Portugis, sejarah pembunuhan JWW Birch, sejarah perjuangan Tok Janggut dan sebagainya. Semua itu adalah sejarah kerana ianya hanyalah catatan tarikh dan peristiwa semata-mata.
Manakala sirah nabawiyah pula, adalah penterjemahan kepada wahyu dalam bentuk praktikal. Nabi kadangkala menterjemahkan wahyu yang disampaikan oleh Allah kepada ummat adakalanya dalam bentuk pertuturan, adakalanya dalam bentuk perbuatan dan adakalanya dalam bentuk 'senyap tanda setuju'. Banyak peristiwa yang berlaku dizaman nabi disusuli dengan wahyu samaada wahyu dahulu diikuti dengan tindakan ataupun tindakan nabi yang diikuti dengan wahyu. Adakalanya wahyu itu membenarkan tindakan nabi ataupun menegur perbuatan nabi. Kita maklum akan hal itu.
Seumpama kita mendengar kisah Nabi Muhammad kekasih Allah dengan seorang sahabat yang buta bernama Abdullah bin Ummi Maktum. Allah menuntun nabi dengan wahyunya dalam surah Abasa,ayat 1-3.

“Dia memasamkan muka dan berpaling,Kerana ia didatangi orang buta.Dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui (tujuannya, Wahai Muhammad) ? Barangkali ia mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran ugama Yang didapatinya daripadamu)! -Ataupun ia mahu mendapat peringatan, supaya peringatan itu memberi manfaat kepadaNya.
(Abasa; 1-3)

Semua yang berlaku itu pasti ada hikmahnya yang tersendiri sebagai pedoman untuk kita Ummat Muhammad Sallallahu 'alaihi wa sallam. Allahumma Solli Ala Muhammad... Ayuhlah kita perbanyakkan selawat kepada baginda.
Kesimpulannya, nabi Muhammad bukan insan biasa bahkan baginda adalah Rasul yang diutuskan Allah untuk mengajar manusia erti kehidupan. Wahai para amilin dakwah, Wahai para pejuang Islam sekalian, sudah jelaskah kita akan erti kehidupan ini?.

Tiada ayat motivasi yang lebih baik daripada ayat-ayat motivasi tuntunan Ilahi sepertimana yang tercatat dibawah:-

“Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan dan Kami telah menciptakan besi dengan keadaannya mengandungi kekuatan yang handal serta berbagai faedah lagi bagi manusia. (dijadikan besi dengan keadaan yang demikian, supaya manusia menggunakan faedah-faedah itu dalam kehidupan mereka sehari-hari) dan supaya ternyata pengetahuan Allah tentang orang yang (menggunakan kekuatan handalnya itu untuk) menegak dan mempertahankan ugama Allah serta menolong Rasul-rasulNya, padahal balasan baiknya tidak kelihatan (kepadanya); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.
(Al-Hadiid; 25)


Allah subhanahu wa ta’ala berbicara lagi kepada kita,

“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan Yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.”
(At-Taubah;128)

Subhanallah..Begitu indahnya sifat baginda rasulullah. Baginda tidak pernah melihat ummat, namun baginda amat menyintai ummat. Sehinggalah hembusan nafas yang terakhir, baginda masih lagi risau akan keadaan ummat sehingga melupakan segala-galanya hatta isteri-isteri dan anak-anak baginda yang tercinta itu. Kalimah yang sering dituturkan oleh baginda sewaktu baginda hampir wafat ialah , “Ummati…Ummati…Ummati…” yang bermaksud, “Ummatku..ummatku… ummatku..” Bagaimana keadaan ummatku selepas pemergianku nanti? Ayat daripada surah At-Taubah di atas begitu mengusik jiwa kita. Tidak ada seorang pun di dunia ini yang kasihkan ummat melainkan junjungan besar Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam.
Ayuhlah para sahabat, marilah kita bersama-sama menelusuri susur galur perjuangan baginda dan menerapkan didalam jiwa kita yang sebenarnya kosong ini. Cubalah kembali ke perenggan yang pertama dalam tajuk ini dan ulangi persoalan yang penulis lontarkan, khusus buat diri ini dan juga para pembaca sekalian.
“Apakah sebenarnya yang kita perjuangkan? Suatu persoalan untuk lontaran."Apakah sebenarnya yang kita perjuangkan?"
"Mengapa kita berjuang?"
"Bagaimana kita berjuang?"
Adakah dengan berdemontrasi itu namanya berjuang? Adakah dengan berteriak bertakbir selepas mendengar ceramah itu namanya berjuang? Adakah dengan menjaga parking sewaktu ceramah itu namanya berjuang? Adakah dengan hadir ke mesyuarat itu namanya berjuang? Cukupkah sekadar itu? Fikirkan... sama-samalah kita fikirkan.”

No comments: