Pengertian ‘Taat’( الطاعة.)
Taat bermaksud patuh dan melaksanakan perintah serta merta tanpa banyak bertanya samada dalam keadaan sukar atau senang.
Nas-nas / Dalil mengenai Taat.
Al-Quran :
“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka), maka Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir.”
(Ali Imran;32)
“Wahai orang-orang yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.
(An-Nisa’:59)
Taat merupakan salah satu daripada 10 rukun bai`ah sepertimana yang dibuahkan oleh Imam As-Syahid Hassan Al Banna. Taat dalam organisasi dakwah amat penting kerana semua rasul mengajak pengikutnya kepada dua perkara iaitu takwa dan taat فاتقوا الله واطيعون .
Tanpa taat tiadalah jemaah, tiada harakah, tiada sistem, tiada pembersihan jiwa, tiada perlumbaan mencari keredaan Allah. Kita di dalam organisasi dakwah ini tiada polis, tiada mahkamah ataupun biro disiplin yang mengawal segala gerak geri kita. Yang ada hanyalah ketaatan dan keikhlasan dalam berjuang.
Tiada ketaatan tanpa ilmu dan thiqah(kepercayaan). Semua ahli kita perlulah dibentuk dari satu peringkat kepada peringkat boleh memberi ketaatan sepenuhnya kepada Allah, Rasul dan pemimpin jamaah kita. Peringkat-peringkat tersebut adalah merangkumi tiga tingkatan iaitu:-
1) Pengenalan
a. Ahli jamaah kita perlulah diperkenalkan kepada Aqidah yang suci berteraskan kepercayaan kepada Allah, Rasul dan 6 Rukun Iman.
b. Pengenalan kepada asas-asas Islam, solat, puasa, zakat haji dan sebagainya.
c. Mengenali Islam dalam bentuk yang syumul yakni meliputi segenap aspek kehidupan manusia.
d. Memahami Tasawwur (gambaran ) Islam yang sebenar yang jauh dari pemahaman sekular, liberal dan pelbagai fahaman yang menyesatkan.
e. Mengenali kewajipan berdakwah dan kewajipan berjemaah.
f. Mengenali bahawa PAS adalah sebuah gerakan Islam yang secara tidak langsung melalui kaedah politik ke arah penubuhan Daulah Islamiyah.
g. Memupuk keyakinan yang benar-benar kepada Allah, Rasul, Islam dan jamaah PAS sebagai wadah perjuangan.
2) Pembentukan
a. Pembentukan bermula dengan pembentukan individu dari sudut kefahaman / ilmu asas Islam.
b. Pembentukan amal fardiy (diri sendiri) seperti amalan fardu(wajib), amalan sunnat dan sebagainya.
c. Pembentukan skil-skil atau kemahiran organisasi dari semua sudut perlaksanaan aktiviti dakwah dan jamaah.
d. Pembentukan kearah melahirkan mujahid dakwah dan jamaah yang sanggup berbuat apa sahaja demi Islam.
e. Melatih sifat taat.
3) Perlaksanaan
a. Taat ditandai kepatuhan melakukan perentah tanpa ragu-ragu dan banyak tanya.
b. Pelaksanaan taat banyak bergantung kepada :
- keadaan jemaah dan kepimpinan yang berwibawa
- keputusan yang diambil melalui sistem syura yang kemas dan tidak bercanggah degan syarak
Gerakan Islam pasti tidak akan mampu melaksanakan apa-apa jika kepimpinan tidak ditaati oleh ahli yang berdisiplin dalam organisasi.
Di dalam Arkanul baiah,melalui rukunnya yang keenam, “At Tho’ah”, menghidupkan jentera jamaah dan mengemaskini pergerakan sehingga mencapai hadaf (halatuju) dengan jaya . Ia jua bererti segala lubang musuh untuk memecah kesatuan jamaei tertutup rapat . Segala arahan dan peraturan jamaah dapat direalisasikan sebagai mana yang dirancang .
Ketaatan itu lahir daripada sikap percaya-mempercayai di antara pemimpin dan pengikut. Apabila kepimpinan mempunyai keikhlasan dan menyatakan pengorbanan yang sebenar dan perhatian kepada perjuangan dan pengikut-pengikutnya. Ketaatan itu mestilah dalam semua keadaan, di masa senang dan susah, di masa kelapangan dan kesempitan dalam perkara yang tidak maksiat.
Allah berfirman,
“Wahai orang-orang yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.
(An-Nisa’:59)
Rasulullah s.a.w. telah meneguhkan sifat ketaatan kepada para sahabatnya dengan melakukan bai’ah (janji taat setia) sepertimana Bai’ah al-‘Aqabah yang terkenal sebelum melakukan hijrah yang merupakan perintah yang sangat penting yang membawa kepada tertegaknya sebuah negara Islam. Di dalam bai’ah itu, Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya:
“Berbai’ahlah kepadaku di atas ketaatan dan mendengar (perintah) di masa cergas dan malas, bersedia bernafkah (memberi sumbangan harta benda) di masa susah dan senang,menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran, bangun untuk menegakkan agama Allah s.w.t. tanpa mengendahkan celaan orang yang mencela, dan kamu berbai’ah untuk menolongku apabila aku tiba ke negeri kamu dan mempertahankan aku apa yang kamu lakukan untuk mempertahankan diri kamu sendiri, isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu dan untuk syurga” (Riwayat Ahmad)
Ketaatan itu membawa kepada menunaikan tugas mengikut arahan kepimpinan dan tidak bertindak sendiri tanpa pengetahuan kepimpinan sehingga menjadi kelam kabut yang boleh menimbulkan adanya kumpulan dalam parti yang mempunyai perancangan yang berbeza dan strategi yang berlainan yang boleh membawa perpecahan dan wujudnya kumpulan atau jamaah dalam parti. Ketaatan membawa penyelarasan yang baik di kalangan seluruh anggota dan sayap parti dan melaksanakan amal jama’ie yang tidak boleh dijejaskan oleh pandangan individu yang berbeza lalu mengikut selera masing-masing sehingga jentera parti menjadi celaru dan tidak selaras di antara satu sama lain. Ketaatan juga dapat mengimbangkan di antara sikap yang berbagai-bagai di dalam parti, kerana ada orang yang keterlaluan, ada orang yang terlalu lambat dan ada yang sederhana.
‘Taat’ dari sudut praktikal dalam PAS
Ketaatan kepada pimpinan adalah suatu ibadah dan ianya mencapai peringkat wajib bagi ahli sebuah jemaah Islam selagimana ianya tidak bercanggah dengan landasan Islam.
Dari sudut organisasinya, PAS mempunyai Majlis Syura Ulama yang terdiri daripada individu-individu yang berkaliber yang di ketuai oleh YAB Tuan Guru Mursyidul Am Nik Abdul Aziz Nik Mat. Segala keputusan yang melibatkan dasar parti diputuskan oleh mesyuarat yang di adakan diantara ahli Majlis Syura Ulama dan bukanlah dilakukan sewenang-wenangnya di kedai kopi. Para ahli PAS perlulah faham bahawa keputusan dalam apa jua perkara yang ditetapkan oleh pimpinan mengambil kira banyak aspek dan mengambil kira banyak pertimbangan.
Memahami hal itu, maka memanglah sesuai kita sebagai ahli memberikan sepenuh ketaatan kepada segala apa yang diputuskan oleh pihak pimpinan tanpa berbelah bagi. Walaupun demikian, ahli-ahli masih terbuka untuk memberikan pandangan-pandangan yang membina demi kebaikan Islam dan seluruh ummat.
Sebagaimana termaktub di dalam perlembagaan PAS, dalam Fasal 7 (3) (4) Perlembagaan PAS Pindaan 1993, menyebutkan:
Bagi menjamin kekuasaan PAS yang diperuntukan dalam ceraian (2) di atas dan badan-badan yang diberi kuasa oleh Muktamar Tahunan dan oleh mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan ini tidak terkeluar daripada kehendak-kehendak yang diperuntukan dalam Fasal 7 (1) dan tidak berlawanan dengan dasar PAS seperti yang diperuntukan dalam Fasal 3 Perlembagaan ini, maka hendaklah ditubuhkan sebuah majlis yang dinamakan Majlis Syura Ulama’ dan diberi kepadanya kuasa-kuasanya berikut:
a) Menghurai, menjelas dan mentafsirkan dasar PAS dan mana-mana peruntukan di dalam perlembagaan ini yang menimbulkan kesamaran mengenai maksud dan tujuannya dan membuat ketetapan mengenainya.
b) Mengeluarkan arahan dan perintah supaya dasar dan ketetapan itu dipatuhi dan dilaksanakan oleh mana-mana pihak atau badan di dalam PAS dan mengawasi serta memelihara supaya dasar dan ketetapan serta kehendak-kehendak dalam perlembagaan ini dipatuhi dalam kegiatan, gerakan dan pentadbiran PAS.
c) Memelihara, menjaga dan mengawal tatatertib PAS dan melantik ahli-ahli jawsatankuasa tatatertib PAS seperti yang diperuntukan dalam Fasal 75 perlembagaan ini.
Ahli-ahli Majlis Syura Ulama’ hendaklah terdiri dari 15 orang dan tertakluk kepada peruntukan-peruntukan berikut:
a) Seseorang yang hendak dilantik menjadi ahli Majlis Syura Ulama’ itu hendaklah seorang yang mengetahui masalah-masalah pokok (Al Usul) dalam syariat Islam dan hukum-hukum atau dan dapat merujuk masalah-masalah itu kepada Al-Quran, Al Sunnah Ijmak dan Qisas dengan faham akan maksud dan maknanya yang muktabar dan hendaklah seorang yang adil yakin tidak melakukan dosa besar atau terus menerus melakukan dosa kecil dan hendaklah seorang ahli PAS.
Fasal tersebut telah memberi penegasan tentang peranan penting yang mesti dilaksanakan oleh para ulama’ di dalam PAS serta sifat-sifat ulama’ yang layak memduduki Majlis Syura tersebut.
Kesimpulannya, kita perlu fahami bahawasanya ketaatan kita kepada pimpinan PAS bukanlah perkara yang sia-sia sebagaimana yang di gembar gemburkan oleh musuh-musuh Islam dan diikuti oleh ahli-ahli kita yang kurang arif dalam hal ini.
Siapa ahli Majlis Syura yang kita letakkan ketaatan kita kepadanya?
YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (Mursyidul Am)
Dato’ Dr Prof. Hj Haron Din (Timbalan Mursyidul Am)
Ustaz Hj Abdul Ghani Shamsuddin (Setiausaha)
YB Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang.
YB Ustaz Hj Nasaruddin Mat Isa.
Ustaz Hj Ahmad Awang.
YB Ustaz Muhammad Daud Iraqi.
Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man
YB Dato’ Ustaz Haji Harun Taib
YB Ustaz Hashim Jasin.
Dato’ Dr Hj Mahfuz Mohamed
YB Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman
Dr. Sanusi Daeng Mariok
Ustaz Haji Hasan Syukri
YB Dato’ Ahmad Yaakob
Mungkin dalam kesempatan ini, tidak dapatlah di lanjutkan profil setiap ahli majlis syura ulama ini. Sesungguhnya mereka ini adalah yang terpilih daripada yang terpilih (Cream of the Cream) dan kita sewajarnya memberikan ketaatan kepada mereka selagimana keputusan mereka itu tidak bertentangan dengan Al-Quran dan Sunnah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)



No comments:
Post a Comment