Adakah pernyataan di atas suatu pernyataan yang benar ataupun suatu rekaan penulis semata-mata? Ramai yang keliru akan hal ini lebih-lebih lagi mereka yang menyertai PAS setelah melihat berbondong-bondong manusia memberikan sokongan kepada PAS. Hatta orang-orang yang bukan Islam pun dari kaum Cina dan India berebut-rebut untuk menyertai PAS. Sangkaan mereka, PAS ini sama macam PKR, DAP,Gerakan dan sebagainya.
Sangkaan yang meleset ini haruslah diperbetulkan terutamanya di kalangan ahli-ahli PAS sendiri. Apabila kita menyatakan bai’ah (akujanji) kita untuk beserta dengan PAS, maka penggabungan kita itu adalah penggabungan dakwah dan tarbiyah. Seumpama akujanji para sahabat radhiyallahu anhum ajmain kepada Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam dalam Bai’atul Aqabah, Sulhu Hudaibiyah dan yang lain-lain lagi. Semuanya bertunjangkan akidah Islam yang suci dan ibadah yang sahih.
‘Dakwah’ untuk umum dan ‘Tarbiyah’ untuk ahli.
Pembinaan sebuah Negara Islam perlulah diatas asas yang kukuh. Maksud asas yang kukuh ialah pembinaan kita mestilah diatas sokongan rakyat yang faham bukannya atas dasar semangat. ‘Faham’ dengan ‘Semangat’ ini merupakan dua element yang cukup berbeza. ‘Faham’ akan kekal tetapi ‘Semangat’ akan pudar dan menghilang.
Kita lihat contoh HAMAS. Kaji dengan teliti, HAMAS tidak bangkit dengan berpolitik. Politik ini hanya kesan daripada dakwah yang mereka lakukan. HAMAS diasaskan oleh As-Syahid Syeikh Ahmad Yassin. Beliau pulang dari Mesir pada tahun 1968. Syeikh Yassin pada asalnya menuntut di Universiti Ain Syams dan kemudiannya pada tahun yang kedua dihantar pulang kerana terlibat dengan Ikhwanul Muslimin. Sekembalinya beliau ke Palestin, beliau menarik perhatian generasi-generasi muda melalui khutbah Jumaatnya. Dari situ pemuda-pemuda yang berminat ini beliau. Kemudian, Intifadah yang pertama tercetus pada tahun 1988. Lihat, 20 tahun Syeikh Yassin mentarbiyah penduduk-penduduk Palestin. 20 tahun dakwah dijalankan. HAMAS akhirnya hanya memasuki politik bermula pada awal 2000. Lihat dengan teliti, pergerakan HAMAS bermula dengan tarbiyah dan dakwah. Dan HAMAS tidak perlu bersusah-payah berkempen, walaupun satu dunia berkempen yang buruk-buruk mengenai HAMAS. Tetapi HAMAS tetap menguasai 76 kerusi daripada 132 kerusi yang dipertandingkan di seluruh Palestin dalam pilihanraya 2006. Rakyat Palestin amat menyokong HAMAS kerana kesan dakwah yang telah diasaskan lebih daripada 70 tahun. Sekali lagi, 70 tahun. Kesimpulannya, politik itu penting, tetapi ia hanyalah sebagai alat untuk memperjuangkan dakwah.
Maka, dakwah adalah prioriti dan keutamaan kita dahulu, kini dan selamanya tanpa mengira samada kita belum berkuasa atau sedang berkuasa. Gejala sosial yang berleluasa sekarang ini seperti berzina, minum arak, berjudi, tidak solat dan sebagainya adalah lantaran daripada tandusnya iman kepada Allah. Maka prioriti dakwah adalah beriman kepada Allah seumpama yang dinukilkan oleh Allah dalam surah As-Syu'ara
"Oleh itu, takutilah kamu akan (kemurkaan) Allah, dan Taatlah kepadaKu. Dan Aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah mengenai apa yang aku sampaikan (dari Tuhanku); balasanku hanyalah terserah kepada Allah Tuhan sekalian alam.”
(As-Syu’ara’:126-127)
Dengan dakwah yang berjalan ini, kita telah menyediakan asas yang kukuh untuk perlaksanaan sistem Islam itu nanti apabila berkuasa. Secara logikanya, kalau semua orang baik, maka orang yang akan diangkatnya sudah tentulah orang-orang yang baik. Tidak perlu susah payah berkempen dengan manifesto yang canggih-canggih, bahkan cukup menyatakan bahawa kami ingin melaksanakan tuntutan Islam.
Pendekatan PAS dalam politik bukanlah kerana salah faham yang menganggap bahawa politik adalah satu-satunya cara untuk berdakwah dan menegakkan Negara Islam. PAS berpolitik kerana ianya salah satu dari cara berdakwah. Suara-suara dakwah bukan sahaja berlegar-legar dikalangan rakyat tetapi juga kepada peringkat Dewan Undangan Negeri dan Parlimen. Maknanya dengan berpolitik ini, kita akan menarik seramai-ramainya orang untuk ditarbiyah dan diberi kefahaman tentang Islam dan kemudiannya berdakwah kepada masyarakat.
Parti Islam SeMalaysia (PAS) menyebarkan fikrah Islam, bukannya mengajak orang kepada parti dan bendera semata-mata. Sebab itulah YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz mengatakan kalau UMNO sokong Islam, PAS akan bubar kerana bukan PAS matlamat kita tetapi Allah, Rasul dan Islam sebagai matlamat akhir kita. Mahu apa lagi??
Apa yang perlu kita lakukan sebenarnya adalah berdakwah. Tarbiyah. Contohilah apa yang telah dilakukan oleh para pendahulu kita. Dan cara terbaik untuk berdakwah, mentarbiyah, memberi kefahaman dan memantau setiap individu adalah dengan sistem usrah ataupun halaqah. Mungkin ramai yang tidak setuju, tetapi inilah realitinya. Tetapi tentu sekali usrah yang dilakukan ialah usrah yang serius dan bersistematik. Bukan setakat melepaskan batuk di tangga. Usrah yang dijalankan hanya untuk melengkapkan silibus atau memenuhi syarat jemaah. Usrah sepatutnya menjadi nukleus, sebagai pusat yang menggerakkan seluruh jemaah. Dari usrahlah lahirnya kefahaman, kemudian munculnya pengarahan dan seterusnya terbentuklah organisasi yang tersusun. Hanya bermula dengan barisan usrah. Inilah yang dikatakan oleh Syeikh Mustafa Masyhur, "Tarbiyah bukanlah segala-galanya, tetapi segala-galanya tidak berguna tanpa tarbiyah."
Marilah kita buat congakan ringkas, kita andaikan sekarang, penulis menjadi murobbi atau naqib kepada satu usrah. Penulis mentarbiyah 5 orang anak halaqah. Katakanlah penulis mentarbiyah mereka selama setahun, dengan memberi kefahaman dan memantau kualiti diri mereka secara berterusan. Kemudian, pada tahun kedua, anak-anak halaqah penulis telah matang dan mampu merekrut anak halaqahnya sendiri. Setiap mereka juga mempunya 5 orang anak halaqah. Proses yang sama berterusan. Pada tahu kedua, di bawah penulis sudah ada 25 orang. Pada tahun ketiga, 125 orang. Pada tahun keempat, 625 orang. Tahun kelima, 3125 orang. Tahun keenam, 15625 orang. Kalau skala ini berterusan,dalam masa kurang daripada 20 tahun sahaja habis rakyat Malaysia.
Kesimpulannya, semua ahli PAS perlulah memberikan penumpuan kepada dakwah dan tarbiyah. Dalam suasana politik yang ada sekarang ini, kalau semua ahli PAS serius menyahut seruan ini, kita pasti akan mencapai kemenangan dalam pilihanraya yang akan datang ini.
“Adakah patut kamu menyangka Bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti Yang telah berlaku kepada orang-orang Yang terdahulu daripada kamu? mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang Yang beriman Yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" ketahuilah Sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).”
(Al-Baqarah;214)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)



No comments:
Post a Comment