MOTIVASI AMILIN 4 - Salahuddin Al-Ayyubi.

Menurut website Wikipedia, Salahuddin Al-Ayyubi hidup di antara 1137M-1193M (56 tahun). Beliau mengasaskan dinasti Ayyubi bangsa Kurd di Mesir dan Syria. Nama beliau telah terpateri di hati sanubari para pejuang Islam di seluruh dunia lantaran terpahatnya peristiwa pembukaan semula Kota Suci Palestine dari cengkaman kezaliman tentera salib durjana. Gabungan di antara sifat kepahlawanannya dan sifat kasih sayangnya membuatkan peribadinya disegani baik oleh kawan mahupun lawan.
Sultan Salahuddin Al Ayyubi dilahirkan di dalam sebuah keluarga Kurdish di Tikrit dan dihantar ke Damsyik untuk melanjutkan pembelajaran disana selama 10 tahun di kawasan istana milik Nur ad-Din. Ayahanda beliau, Najmuddin Al-Ayyub adalah seorang gabenor di wilayah Baalbek
Baginda menerima latihan ketenteraan daripada bapa saudaranya, Shirkuh yang juga ketika itu merupakan panglima kepada Nur al-Din dan sering mewakili Nur al-Din dalam kempennya menentang Kerajaan Fatimiyyah di Mesir sekitar tahun 1160. Salahuddin kemudiannya mewarisi tugas menentang Kerajaan Fatimiyyah (akhirnya tumpas) daripada bapa saudaranya dan dilantik menjadi panglima pada tahun 1169. Di sana, beliau mengambil alih tugas sukar mempertahankan Mesir daripada diserang tentera Salib dibawah Kerajaan Latin Baitulmuqaddis pimpinan Almaric I. Kemampuan Salahuddin diragui pada peringkat awal perlantikkannya sebagai panglima. Tiada sesiapa yang menyangka beliau dapat bertahan lama ekoran terdapat banyak perubahan dalam kerajaan dalam tahun sebelumnya seperti perebutan kuasa oleh gabenor-gabenor yang sedia ada dalam mendapat perhatian khalifah. Sebagai seorang ketua tentera asing dari Syria, Salahuddin tiada kuasa ke atas askar-askar Mesir yang terdiri daripada golongan Syiah yang ketika itu dipimpin oleh Khalifah Al-Adid.
Apabila khalifah itu meninggal dunia pada bulan September 1171, Salahuddin mengarahkan para imam mengumumkan nama Khalifah Al-Mustadi (Khalifah Abbasiyyah di Baghdad) semasa solat Jumaat. Sekarang, walaupun Salahuddin yang memerintah Mesir tetapi hanya sebagai wakil Nur ad-Din. Selepas dilantik menjadi pemimpin Mesir, baginda melakukan perubahan terhadap ekonomi Mesir, menyusun semula angkatan tentera, dan menuruti nasihat ayahnya supaya mengelak daripada sebarang konflik dengan Nur ad-Din. Baginda menunggu sehingga Nur ad-Din meninggal dunia sebelum memulakan beberapa siri kempen ketenteraan. Pada awalnya terhadap beberapa kerajaan-kerajaan Muslim yang kecil kemudian ke atas tentera Salib. Dengan kewafatan Nur ad-Din pada tahun 1174, beliau menjadi Sultan Mesir. Beliau kemudian mengisytiharkan kemerdekaan daripada kerajaan Seljuk dan mengasaskan Kerajaan Ayubbiyyah.
Dalam dua peristiwa berbeza iaitu pada tahun 1171 dan 1173, Salahuddin berundur setelah satu siri serangan oleh tentera Salib. Salahuddin berharap bahawa Kerajaan Salib ini tidak diganggu selagi beliau tidak menguasai Syria. Nur ad-Din dan Salahuddin hampir-hampir berperang akibat daripada peristiwa tetapi dengan wafatnya Nur ad-Din pada 1174, perang ini dapat dielakkan. Waris Nur ad-Din iaitu as-Salih Ismail al-Malik hanya seorang kanak-kanak ketika dilantik bagi menggantikan ayahnya. Walau bagaimanapun dia meninggal dunia pada tahun 1181.
Sejurus selepas Nur ad-Din meninggal dunia, Sultan Salahuddin Al-Ayyubi berarak ke Damsyik, dan setibanya beliau di sana, dia diberi sambutan sambutan yang meriah. Dia mengukuhkan kedudukannya dengan mengahwini balu Nur ad-Din. Walaupun tidak memerintah Aleppo dan Mosul (dua bandar yang pernah dikuasai Nur ad-Din), baginda dapat menggunakan pengaruhnya dan menguasai kedua bandar itu pada tahun 1176 (Aleppo) dan 1186 (Mosul).
Sementara Salahuddin Al-Ayubbi menumpukan perhatiannya ke atas wilayah-wilayah di Syria, negeri-negeri Salib dibiarkan bebas, walaupun begitu baginda sering mencatatkan kemenangan ke atas tentera Salib di mana saja kedua-dua belah pihak bertempur. Baginda bagaimanapun tumpas dalam Perang Montgisard yang berlaku pada 25 November, 1177. Dan ditewaskan oleh gabungan tentera Baldwin IV dari Baitulmuqaddis, Raynald dari Chatillon dan Knights Templar.
Keamanan di antara baginda Sultan Salahuddin dan negeri-negeri Salib tercapai pada 1178. Baginda meneruskan serangannya pada 1179 selepas daripada kekalahannya dalam Perang Montsigard, dan dalam serangannya ke atas sebuah kubu kuat tentera Salib baginda berjaya menumpaskan tentera Salib. Walau bagaimanapun, tentera Salib terus menyerang orang-orang Muslim. Raynald dari Chatillon mengganggu laluan perdagangan dan haji orang Islam dengan kapal-kapal laut di Laut Merah. Raynald juga mengancam menyerang kota suci Islam yakni Kota Mekah dan Madinah menjadikannya orang paling dibenci dalam dunia Islam. Sebagai tindak balas, Sultan Salahuddin Al-Ayubbi menyerang Kerak, sebuah kubu Raynald pada tahun 1183 dan 1184. Raynald kemudian menyerang dan membunuh kabilah yang dalam perjalanan untuk menunaikan haji pada tahun 1185.
Dalam bulan Julai tahun 1187, Sultan Salahuddin Al-Ayyubi menyerang negeri-negeri Salib. Pada 4 Julai 1187, baginda bertempur dalam Perang Hattin menentang gabungan kuasa Guy dari Lusignan, Raja Negeri-negeri Salib, dan Raymond III dari Tripoli. Tentera Salib yang letih dan dahagakan air mudah ditumpaskan oleh tentera Sultan Salahuddin. Kekalahan tentera Salib ini memberi tamparan yang besar buat mereka dan menjadi satu titik perubahan dalam sejarah Perang Salib. Baginda berjaya menangkap Raynald dan memancung sendiri kepala Raynald akibat kesalahannya. Raja Guy juga berjaya ditangkap tetapi beliau tidak dipancung.
Selepas tamatnya Perang Hattin, Sultan Salahuddin berjaya merampas kembali hampir keseluruhan kota-kota yang dikuasai tentera Salib. Baginda berjaya menawan semula Baitulmuqaddis pada 2 Oktober tahun 1187 selepas hampir 88 tahun kota itu dikuasai tentera Salib kecuali bandar Tyre. Salahuddin membenarkan tentera dan masyarakat Kristian pergi ke sana. Kota itu sekarang diperintah oleh Conrad dari Montferrat. Dia mengukuhkan pertahanan Tyre dan berjaya menahan dua kepungan yang dilakukan oleh Sultan Salahuddin. Pada tahun 1188, baginda membebaskan Guy dari Lusignan dan menghantarnya kembali kepada isterinya iaitu Sibylla dari Baitulmuqaddis.
Perang Hattin dan kejayaan tentera Muslim menawan semula Baitulmuqaddis mengakibatkan terjadinya Perang Salib Ketiga yang dibiayai di England melalui cukai khas yang dikenali sebagai "Cukai Salahuddin". Tentera Salib ini berjaya menawan semula Acre, dan tentera Sultan Salahuddin Al- Ayyubi bertempur dengan tentera Raja Richard I dari England (Richard Si Hati Singa) dalam Perang Arsuf pada 7 September 1191.
Kedua-dua pemimpin baik Salahuddin mahupun Richard amat menghormati antara satu sama lain. Mereka juga pernah bercadang untuk berdamai dengan mengahwinkan adik perempuan Richard, Joan dari England kepada adik lelaki Sultan Salahuddin, Al-Adil, dengan kota Baitulmuqaddis menjadi hantarannya. Rundingan ini gagal ekoran kebimbangan berhubung hal-hal agama di kedua-dua belah pihak.
Kedua-dua pemimpin mencapai persetujuan dalam Perjanjian Ramla pada tahun 1192 yang mana kota Baitulmuqaddis akan terus berada dalam tangan orang Islam tetapi dibuka kepada penganut-penganut Kristian. Perjanjian itu menjadikan negeri-negeri salib hanyalah gugusan kecil di sepanjang pesisir pantai Tyre hingga ke Jaffa.
Salahuddin Al-Ayubbi wafat pada 4 Mac 1193 di Kota Damsyik tidak lama selepas pemergian Raja Richard. Apabila mereka membuka peti simpanan Salahuddin untuk membiayai upacara pengebumiannyabelah, mereka mendapati ia tidak cukup (diriwayatkan Salahuddin hanya meninggalkan sekeping wang emas dan empat wang perak semasa kematiannya. Ada juga riwayat yang menyebut wang itu hanyalah wang 5 Dinar) . Baginda telah memberikan hampir kesemua hartanya kepada rakyat-rakyatnya yang miskin. Makamnya yang terletak di Masjid Ummaiyyah merupakan tumpuan tarikan pelancong yang terkenal. Makamnya adalah antara makam yang sering dikunjungi umat Islam di seluruh dunia.





Kronologi Riwayat Hidup Salahuddin Al-Ayyubi

1099
Knights of Templar telah menawan Palestine dan membunuh penduduk-penduduknya dan melakukan kehancuran. Penyembelihan beramai-ramai dilakukan oleh Tentera Salib ini keatas bandar milik Ummat Islam dalam tempoh 2 hari, membakar penempatan Yahudi dan juga kuil-kuil mereka, juga mereka telah menyiksa dan membunuh penduduk-penduduk Kristian tempatan dan juga paderi mereka. Selepas menawan Palestine, Tentera-tentera Salib ini telah menguasai kebanyakan daripada kawasan pantai di Timur Tengah dan terus menguasai kawasan tersebut selama lebih 80 tahun

1137
Salahuddin Al-Ayyubi dilahirkan

1160 Kempen menentang Kerajaan Fathimiyyah di Mesir

1169 Dilantik menjadi panglima menggantikan bapa saudaranya, Shirkuh. Mengambil alih tugas sukar mempertahankan Mesir daripada diserang tentera Salib dibawah Kerajaan Latin Baitulmuqaddis pimpinan Almaric I

1171 Diserang Tentera Salib menyebabkan tentera Salahuddin berundur
1173 Diserang Tentera Salib sekali lagi menyebabkan tentera Salahuddin berundur
1174 Salahuddin Menjadi Sultan Mesir menggantikan Nur AdDin yang telah mangkat.Beliau kemudian mengisytiharkan kemerdekaan daripada kerajaan Seljuk dan mengasaskan Kerajaan Ayubbiyyah. Beliau turut mengembalikan ajaran Sunah Waljamaah di Mesir.
1176 Menguasai Aleppo
1177 Tumpas dalam Perang Montgisard yang berlaku pada 25 November, 1177. Dia ditewaskan oleh gabungan tentera Baldwin IV dari Baitulmuqaddis, Raynald dari Chatillon dan Knights Templar.
1178 Keamanan di antara Salhuddin dan negeri-negeri Salib tercapai
1179 Salahuddin meneruskan serangannya pada 1179 selepas daripada kekalahannya dalam Perang Montsigard, dan dalam serangannya ke atas sebuah kubu kuat tentera Salib beliau berjaya menumpaskan tentera Salib.
1183 Salahuddin Al-Ayubbi menyerang Kerak, sebuah kubu Raynald sebagai tindakbalas tentera Salib yang terus-menerus menyerang orang-orang Muslim. Raynald dari Chatillon mengganggu laluan perdagangan dan haji orang Islam dengan kapal-kapal laut di Laut Merah. Raynald juga mengancam menyerang kota suci Islam yakni Kota Mekah dan Madinah.
Tahun Peristiwa Umur

1185 Raynald kemudian menyerang dan membunuh kabilah yang dalam perjalanan untuk menunaikan haji

1186 Menguasai Mosul 49

1187 Perang Hattin-beliau bertempur dalam Perang Hattin menentang gabungan kuasa Guy dari Lusignan (sebutan gi bukan guy), Raja Negeri-negeri Salib, dan Raymond III dari Tripoli. Tentera Salib yang letih dan dahagakan air mudah ditumpaskan oleh tentera Salahuddin. Kekalahan tentera Salib ini memberikan tamparan yang besar buat mereka dan menjadi satu titik perubahan dalam sejarah Perang Salib. Salahuddin berjaya menangkap Raynald dan beliau sendiri memancung kepala Raynald akibat kesalahannya. Raja Guy juga berjaya ditangkap tetapi beliau tidak dipancung.

1187 Tawan Jerusalem 50

1188 Salahuddin membebaskan Guy dari Lusignan dan menghantar beliau kembali kepada isterinya iaitu Sibylla dari Baitulmuqaddis.

1191 Perang Salib Ketiga yang dibiayai di England melalui cukai khas yang dikenali sebagai "Cukai Salahuddin". Tentera Salib ini berjaya menawan semula Acre, dan tentera Salahuddin bertempur dengan tentera Raja Richard I dari England (Richard Si Hati Singa) dalam Perang Arsuf pada 7 September 1191

1192 Kedua-dua pemimpin mencapai persetujuan dalam Perjanjian Ramla pada tahun 1192 yang mana kota Baitulmuqaddis akan terus berada dalam tangan orang Islam tetapi dibuka kepada penganut-penganut Kristian. Perjanjian itu menjadikan negeri-negeri salib hanyalah gugusan kecil di sepanjang pesisir pantai Tyre hingga ke Jaffa.

1193 Salahuddin Al-Ayubbi wafat pada 4 Mac 1193 di Kota Damsyik tidak lama selepas pemergian Raja Richard. Apabila mereka membuka peti simpanan Salahuddin untuk membiayai upacara pengebumiannya, mereka mendapati ia tidak cukup (diriwayatkan Salahuddin hanya meninggalkan sekeping wang emas dan empat wang perak semasa kematiannya. Ada juga riwayat yang menyebut wang itu hanyalah wang 5 Dinar) .


Sebagai motivasi kepada diri penulis dan juga para pembaca sekalian, sengaja penulis memasukkan kiraan umur Salahuddin Al-Ayyubi di sebelah kanan jadual tersebut. Sebagai perbandingannya dengan kita yang dah berumur dengan umur yang setara dengan umur beliau, apa pencapaian atau sumbangan kita kepada agama? Kalau pada umur 40 tahun, baginda Sultan Salahuddin telah melakukan demikian-demikian, apa sumbangan kita pada umur kita 40 tahun ini kepada agama? Sama-samalah kita fikirkan!!

No comments: