MOTIVASI AMILIN 22- Cadangan Pembentukan Usrah

1.Target satu cawangan satu usrah.
Setelah kita terokai aspek teori dengan panjang lebar berkenaan dengan usrah ini beserta rujukan bahan bacaan yang disertakan di akhir tajuk tersebut, maka yang tinggal sekarang ialah bentuk praktikalnya untuk perlaksanaan. Tidak ada gunanya kita bersembang panjang dan berbicara tentang teori yang canggih-canggih kalau tidak disusulinya dengan susulan tindakan.
Cara yang paling mudah yang perlu kita buat di cawangan kita ialah dengan mencari 2 ke 3 orang (paling minima) dan laporkan kepada Lajnah Tarbiyah kawasan masing-masing,"Tuan, kami sudah bersedia untuk usrah, minta luangkan masa untuk kami."
Dengan inisiatif kita sendiri, kita di cawangan masing-masing perlulah aturkan jadual dan kekerapan kita sendiri. Idealnya ialah seminggu sekali. Tidak dapat seminggu sekali, dua minggu sekali. Tidak dapat itu, sekurang-kurangnya sebulan sekali, mesti ada program usrah.
Kita perlu ada dalam pemikiran kita bahawa kita (PAS) sekarang ini adalah di ambang pemerintahan. Jemaah kita sedang mendapat tempat disisi masyarakat. Ayuhlah kita lipatgandakan kekuatan kita agar suatu hari nanti apabila kita sudah mendapat amanah ini, kita sudah benar-benar bersedia dari segi kekuatannya.
Namun demikian, kelemahan itu tetap ada di cawangan kita. Seandainya kita merasakan bahawa cawangan kita tidak mempunyai kekuatan untuk mewujudkan satu usrah, kita cuba luaskan lagi skop keahlian usrah kita kepada DUN kita.

2. Target satu DUN satu usrah.
Menyedari kelemahan dan kemampuan di cawangan kita, kita cuba luaskan keahlian usrah kita kepada DUN kita. Cuba adakan inisiatif untuk berhubung dengan cawangan-cawangan berdekatan dengan lokaliti kita dan dapatkan maklumat samaada ada cawangan yang berjalan usrahnya. Untung-untung, kita boleh ‘tumpang sekaki’. Seandainya tiada, maka kita perlulah mengambil inisiatif untuk mewujudkan satu unit usrah dalam DUN kita. Caranya juga sama seperti diatas. Iaitu jalinkan hubungan dengan Lajnah Tarbiyah samaada kawasan atau negeri dan aturkan masa, minta khidmat daripada Lajnah Tarbiyah tersebut.
Sekali lagi diingatkan, jangan sempitkan skop usrah dengan hanya sekadar kuliah yang mempunyai ‘one-way communication’ (hubungan sehala) sahaja. Bahkan ianya mestilah usrah yang sebenar-benarnya seumpama satu keluarga sepertimana yang telah dibicarakan dalam tajuk-tajuk yang sebelum ini.

3.Target satu Kawasan satu usrah.
Satu kawasan satu usrah merupakan target paling minima bagi setiap ahli Parti Islam Semalaysia (PAS). Kalau di dalam satu-satu kawasan itu tiada usrah, maka ini merupakan suatu petunjuk kelemahan yang perlu kita atasi segera. Lihatlah kejayaan di mana-mana kawasan yang kuat, sudah pasti pucuk pangkal kekuatannya adalah pada ‘usrah’ ataupun apa sahaja namanya yang mempunyai misi dan visi yang sama. Kajilah usrah yang berkesan akan bagaimana pembentukan tarbiyahnya.
Aturlah strategi yang paling berkesan untuk tarbiyah.
Jangan buat usrah sekadar buat usrah semata-mata.

Tetapkan ‘target’ atau matlamat jangkamasa pendek dan jangkamasa panjang.

Laksanakan usrah dan tarbiyah berdasarkan ‘target’.

Buat ‘counter-check’ atau pemeriksaan ulangan diantara matlamat dan tindakan samada ianya seiring. Periksa semula samada tindakan kita itu menepati matlamat asal.

No comments: