BADAR merupakan akronim bagi Badan Dakwah dan Rohani. Ianya adalah sebuah organisasi yang bertanggungjawab menguruskan sistem tarbiyah kepada para pelajar di Kolej Islam Sultan Alam Shah. Tanyalah kepada sesiapa sahaja pun dari lepasan Kolej Islam (setakat pengetahuan penulis), pastinya BADAR ini sedikit sebanyak ada mempunyai kesan yang mendalam kepada diri mereka. Badan Dakwah dan Rohani KISAS dan KIK suatu ketika dahulu, merupakan wadah terbuka di Kolej Islam yang banyak mewarnai budaya pelajar-pelajar ketika zaman penulis dahulu 1995-1998. Dan budaya ini pernah berlaku sebelum itu berterusan hingga suatu masa (penulis tidak pasti bagaimana suasananya sekarang). Ianya adalah sebuah badan rasmi kepimpinan pelajar dimana semua pelajar secara rasmi dikumpulkan dalam kumpulan usrah. Kumpulan-kumpulan usrah yang berjalan setiap minggu itu biasanya melibatkan kumpulan pelajar-pelajar tingkatan 4 dan 5 sahaja.
Perkara utama yang ditekan sepanjang proses tarbiyah kami ialah tentang pembentukan fikrah Islam yang sahih lagi benar. Para pendokong tarbiyah ketika itu banyak dipengaruhi oleh pemikiran Ikhwaanul Muslimin sehinggakan kami amat mengenali As-Syahid Imam Hassan AlBanna, As-Syahid Syed Qutb, Syeikh Mustafa Masyhur dan banyak lagi tokoh-tokoh Ikhwan yang terkenal. Fikrah merubah tamaddun manusia bermula dengan mengubah halatuju dan keutamaan amalan kehidupan muslim dengan tidak mengabaikan peluang-peluang semasa bagi menguatkan Islam.
Kami di KISAS, dipilih daripada semua SMK(A) – (Sekolah Menengah Kebangsaan Agama) yang ada di seluruh Malaysia. Pelajar-pelajar terbaik dari sekolah-sekolah itu dikumpulkan setelah keputusan peperiksaan tingkatan tiga (PMR kini dan SRP suatu ketika dahulu). Penulis masih ingat ketika mana penulis mendapat tawaran ke SBP (Sekolah Berasrama Penuh) tersebut setelah memperolehi 9A dalam keputusan PMR. Seakan-akan tidak percaya bercampur gembira, mama dan abah penulis amat menyokong penuh dengan apa yang berlaku. Ini semua adalah Tarbiyah Ilahi.
Sejak di tingkatan 4 lagi para pelajar di tekankan dengan nikmat ukhuwwah Islamiyyah, nikmat menghayati hidup sebagai seorang muslim dengan amalan-amalan puasa sunat, qiamullail, menghadiri majlis-majlis ilmu, tazkirah, kuliah, forum, rehlah, perkemahan dan nadwah yang sering di adakan di KISAS. Program-program ini berjaya menjadi “biah yang solehah”(suasana yang baik) bagi membantu para pelajarnya bermujahadah membetulkan kecenderungan nafsu kepada apa yang diredai Allah.
Semasa di tingkatan 5 penulis telah dilantik untuk menjadi naqib kepada pelajar-pelajar tingkatan 4 yang di adakan di musolla setiap minggu. Kami juga di jadualkan agar sentiasa memberi tazkirah di Musolla. Objektif tarbiah pelajar tingkatan 4 disekitar memahami cara hidup Islam sebenar, memahami Islam sebagai manhaj hidup yang Syumul, memahami serangan musuh-musuh Islam dan perancangannya, membersihkan jiwa mereka daripada akhlak-akhlak tercela dengan menanamkan akhlak-akhlak Islam, menimbulkan perasaan bertanggungjawab terhadap Islam dan umat Islam, membiasakan mereka malakukan amalan-amalan sunat dan mujahadah al-nafs dan membantu mereka menghafaz ayat-ayat lazim, wirid-wirid al-ma’tsurat dan tahlil dan sebagainya.
Dalam erti kata lain, sistem tarbiyah ini dibentuk supaya kami menjadi medan ‘input’ sewaktu di tingkatan empat dan bersedia untuk menjadi medan ‘output’ semasa di tingkatan lima untuk memastikan kesinambungan usaha tarbiyah tersebut.
BADAR seolah-olah merupakan suatu madrasah ‘fiqhul harakah’ dengan pengertian semangat dan usaha menyumbang ke arah ketinggian Islam. Ia bukan sekadar majlis tazkirah petang atau beberapa peraturan yang mungkin diperdebatkan, tetapi BADAR seperti sebuah madrasah tersendiri dalam dunia harakah. Pada sebahagian orang ia adalah sebuah persatuan pelajar-pelajar sekolah yang biasa, tetapi pada sebahagian yang lain, ia adalah sejarah yang panjang dan permata yang sangat berharga.
BADAR telah berjaya mewujudkan suatu suasana ‘biah solehah’ di mana masyarakat pelajarnya berusaha sedaya upaya mewujudkan suasana yang cukup indah sebagai seorang muslim. Solat berjemaah 5 waktu, baju melayu yang kemas berbutang penuh, tazkirah harian selepas asar, usrah setiap hujung minggu, pergaulan yang amat terbatas dikalangan muslimin dan muslimat dan bermacam-macam lagi yang mungkin tidak sempat diceritakan dalam ruang yang terbatas ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)



No comments:
Post a Comment