MOTIVASI AMILIN 18 – NOSTALGIA - Dilantik sebagai Presiden RMIT Islamic Society

Penulis telah menyertai Islamic Society (Persatuan Islam) hanya sekadar suka-suka pada mulanya kerana ingin mencari pengalaman dan bersosial dengan pelajar-pelajar muslim antarabangsa. Suatu pengalaman yang sememangnya menarik apabila kita dapat menjalinkan ukhuwwah dengan pelajar-pelajar lain dari Turki, Bangladesh, Pakistan, Bosnia, Afghanistan, Australia, Eropah dan sebagainya. Dan oleh kerana minatnya penulis untuk bergaul dengan lebih rapat lagi dengan orang-orang yang bukan Melayu, penulis memilih untuk tinggal bersama-sama dengan rakan-rakan dari negara-negara lain.
Setelah beberapa tahun bergiat dalam persatuan Islam di universiti tempat penulis menimba ilmu itu, pada tahun terakhir pengajian, penulis telah ‘dipaksa’ menjadi Presiden kepada Islamic Society for RMIT University. Pada mulanya penulis enggan menerimanya tetapi atas desakan seorang rakan yang berasal dari Turki, penulis dengan berat hati menerima amanah ini dan berazam akan cuba sedaya upaya untuk menjalankan amanah yang telah di beratkan.
Antara pendedahan yang diterima sepanjang perkhidmatan ialah pengalaman menyusunatur khutbah mingguan. Sememangnya penulis agak ‘gabra’ ketika kali pertama mengendalikan tugas ini. Sebelum menyusun orang lain dalam program khutbah mingguan tersebut, orang yang pertama dalam jadual adalah penulis sendiri. Maka, sibuklah penulis merujuk ke sana dan ke mari untuk persediaan khutbah yang pertama dalam hidup. Sesungguhnya ianya pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Dan yang paling sukar ialah untuk menyampaikan isi-isi khutbah tersebut dalam bahasa Inggeris. Orang yang pertama yang menjadi rujukan penulis adalah ayahanda penulis sendiri dimana beliau telah membekalkan buku-buku khutbah yang disediakan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan sebagai rujukan. Selain menyediakan bahan khutbah, fungsi Islamic Society di kampus ini adalah membuat jadual untuk para khatib, memberi peringatan kepada para khatib pada setiap minggu, membersihkan dan menyediakan surau tempat himpunan Jumaat dan sebagainya.
Dalam menjalankan tugas organisasi, Islamic society perlulah menjaga hubungan dengan pegawai universiti yang bertanggungjawab dengan hal ehwal pelajar-pelajar antarabangsa. Ini adalah kerana peruntukan-peruntukan berkaitan akan disalurkan melalui pegawai tersebut. Permohonan kewangan berkaitan dengan apa-apa aktiviti yang melibatkan persatuan pelajar bolehlah diajukan kepada pegawai yang berkenaan. Adalah suatu yang amat indah bilamana kita sebagai pelajar Muslim diberikan layanan yang sama dengan pelajar-pelajar lain walaupun pegawai tersebut bukanlah beragama Islam. Antara permohonan kami yang mendapat perhatian pihak universiti adalah untuk mendapatkan tempat untuk pelajar-pelajar muslim menunaikan solat berjemaah, yakni surau. Kalau dahulu kami terpaksa solat ‘merata-rata’, kini dengan kelulusan pihak universiti, kita sudah mempunyai tempat untuk berkumpul bersama-sama bersolat berjemaah dan berdiskusi untuk kemajuan ummat. Semasa ‘zaman pemerintahan’ penulis, hanya ada satu kampus yang mempunyai surau. Dan pada waktu itu, kami sedang berusaha untuk mendapatkan surau di beberapa kampus yang lain lagi seperti di Tivoli Campus, Bundoora Campus dan di Fisherman’s Bend Campus. Semoga usaha yang kecil ini akan menjadi bekalan untuk menemu Allah subhanahu wa ta’ala nanti di akhirat.
Berada di dalam suasana yang minoriti ummat Islam adalah suatu pengalaman yang menarik untuk dikongsi bersama pembaca. Kegiatan dakwah dibumi minoriti muslim memang amat luas skopnya. Antara pendekatan dakwah yang telah kami gunakan dalam mendekati non-muslim ialah dengan mendirikan ‘One Stop Dakwah Booth’ di tempat awam. Untuk kita mudah faham, cuba kita pergi ke supermarket- supermarket awam yang ada disekitar kita seperti ‘Carrefour’ dan sebagainya dimana kita akan melalui pondok-pondok jualan sementara yang didirikan untuk promosi barang syarikat-syarikat tertentu.
Berdasarkan konsep tersebut, kami telah mendirikan pondok-pondok di tempat awam bagi tujuan dakwah. Di situ, kami akan mengedarkan risalah-risalah berkenaan Islam, menjual buku-buku Islam, pameran maklumat dunia Islam dan bermacam-macam lagi. Dengan usaha itu, kami berharap agar risalah Islam tersebar luas kepada orang awam samada kepada non-muslim dan juga sahabat-sahabat kita yang muslim.
Sesama sahabat-sahabat kami yang muslim, kami dikenali sebagai ‘brothers’ bagi sesama muslimin dan ‘sisters’ bagi sesama muslimat. Islamic Society juga bertanggungjawab untuk menyusun atur program-program untuk mengeratkan ukhuwwah dikalangan muslimin dan muslimat. Program-program seperti jamuan ‘barbeque’, sambutan hari keraian Islam, aktiviti rombongan ke tempat-tempat perlancongan,tayangan video islami, halaqah mingguan, risalah mingguan adalah antara usaha kami untuk menyatukan ukhuwwah dikalangan pelajar-pelajar muslim.
Disamping itu, banyak aktiviti lain yang mengisi taqwim tahunan kami seperti pertandingan kuiz Islam, penghasilan majalah islam, laman web, radio Islam dan sebagainya.

No comments: