Perkataan 'Usrah' merupakan suatu terminologi yang sudah biasa kita dengari terutamanya ahli jamaah yang sudah lama berkecimpung dalam PAS. Ada yang sudah sepuluh tahun atau dua puluh tahun terlibat dengan usrah.
Menurut pemerhatian penulis, terdapat kekeliruan dikalangan ahli kita berkenaan 'usrah' ini. Maaf penulis pohon, hingga ada juga sesetengah ustaz yang kurang faham berkenaan 'usrah' ini (Maaf dipohon, semoga Allah merahmati kita). Ada yang menganggap usrah dan kuliah itu sama sahaja. Usrah yang dijalankan hanyalah tidak berbeza dengan kuliah-kuliah biasa di masjid. Cuma bezanya adalah isikandungan 'kuliah' tersebut yang berbentuk harakiah.
'Usrah' yang kurang roh usrah yang sebenar menjadi hambar menyebabkan ahli-ahli usrah tidak merasa penting jika tidak hadir ke usrah.
Bagaimana usrah yang sebenarnya? Bagaimanakah kita hendak menghidupkan usrah agar ianya menjadi penggerak utama kepada jemaah? Adakah usrah yang kita jalankan selama ini berjaya membuahkan kesan kepada jemaah? Atau sekadar memenuhkan ruangan 'aktiviti' didalam buku laporan setiap kali mesyuarat agung berlangsung.
Tarbiyah kita terutamanya pemuda sangat-sangat bergantung kepada usrah. Ayuhlah kita buat reformasi atau penyusunan semula kepada usrah kita. Apa yang ada kini sudah tidak membantu kepada jamaah. Dengan adanya ‘usrah yang sebenar’, kita akan mampu bergerak dengan lebih maju lagi kedepan. Dengan mantapnya usrah, kita dapat mengatur gerak kerja tarbiyah, dakwah dan jihad dengan lebih hebat lagi. Sahabat-sahabat teruskan bacaan topik ini jika mahu tahu apa yang penulis maksudkan disini. InsyaAllah, dengan izin Allah.
Definisi 'Usrah' ialah keluarga. Alif, Sin, Ro, Ta Marbuthoh – Usrah ( اسرة ). Apa ada pada sebuah keluarga? Ayah, ibu, anak-anak, kenal, ambil berat, aktiviti bersama, sayang, kasih, cinta dan bermacam-macam lagi ciri-ciri yang ada dalam usrah. Okay, sebagai suatu persoalan, wujudkah perkara-perkara tersebut dalam 'usrah' yang kita bina selama ini? Wujudkah kasih sayang dalam 'usrah' kita? Wujudkah ayah yang menjadi tempat tumpuan kita? Wujudkah ibu yang membantu kebajikan anak-anak dalam usrah kita selama ini? MasyaAllah, rasanya kita gagal sejak dari awal lagi. Dari segi definisinya pun sudah tidak kita tepati!!.
Yang ada kini hanyalah tidak lebih dari pertemuan biasa. Kita hanya kenal begitu-begitu sahaja terutamanya bagi orang yang bukan orang tempatan. Perkara ini mungkin berbeza jika naqib dan ahli-ahlinya orang tempatan yang sudah kenal lama sejak kecil lagi. Malangnya perkara ini jarang berlaku.
Maka, para naqib yang dilantik perlulah mewujudkan suasana usrah yang sebegitu sepertimana usrah nabi dengan para sahabat. Sepertimana usrah yang telah dipraktikkan oleh anggota-anggota Ikhwaanul Muslimin. Asas kepada usrah adalah ‘ukhuwwah’. Satu persoalan, sejauh manakah ukhuwwah yang telah kita bentuk dalam usrah yang telah kita laksanakan selama ini?
Allah berfirman,
“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”
(Al-Hujurat; 10)
Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam bersabda,
“Orang-orang mukmin kepada mukmin yang lain itu seumpama bangunan yang saling kuat menguatkan antara satu sama lain.”
Tambah baginda lagi,
“ Perbandingan orang-orang mukmin dalam ertikata kasih saying mereka, dalam perasaan belas kasihan mereka, dan dalam persimpatian mereka adalah laksana badan yang satu”
Dan disana banyak lagi dalil yang menunjukkan kepentingan ukhuwwah islamiyah di antara kita. Aktiviti usrah yang membina kepada kekuatan ukhuwwah perlulah kita sama-sama junjung. Banyakkan aktiviti yang boleh meningkatkan ukhuwwah sesama kita di semua peringkat. Dari negeri ke kawasan, dari kawasan ke cawangan dan begitu jugalah sebaliknya.
Dan yakinlah bahawa pada suatu hari nanti ukhuwwah yang perlu kita jalinkan sesama muslim adalah ukhuwwah antara negara kerana kita semua orang Islam adalah bersaudara tanpa mengira warna kulit, baik putih, hitam, kuning, merah,biru dan sebagainya.
Sebagai naqib dan pimpinan jemaah, kita mestilah merasakan setiap individu dalam ‘database’ kita sangat penting. Kalaulah ada 200 orang yang berdaftar dengan kita, kita mestilah merasakan bahawa setiap seorang daripada mereka merupakan asset jemaah yang sangat berharga. Setiap daripada mereka perlu diprogramkan sebaik mungkin. Semua program seperti usrah-usrah, program riadhah, ceramah, forum-forum, majlis-majlis ilmu, pelajaran, perkelahan/mukhayyam, pengembaraan, ekspedisi, operasi ketenteraan, risalah-risalah, sebaran-sebaran, lembaran-lembaran suratkhabar dan majalah yang telah, sedang dan akan terus kita buat, semuanya itu dinamakan wasilah atau jalan dan alat untuk mempersiapkan individu muslim secara beransur-ansur di dalam persiapan ini.
Praktikal Usrah dan Tarbiyah.
Itu dari sudut teorinya. Nampak macam senang dan mudah. Namun, hakikatnya dari segi perlaksanaan tidaklah seindah yang dikata. Benarlah kata-kata AsSyahid Hassan AlBanna yang menuturkan bahawa medan kata-kata tidak sama dengan medan amal.
Pemerkasaan tarbiyah perlulah bermula dari sudut organisasi perlaksanaannya. Kalau dalam organisasi kita ini disudut pemudanya ialah Lajnah Tarbiyah Negeri. Bagaimanakah organisasi tarbiyah kita dari segi keahliannya? Adakah kita mempunyai paduan ahli yang mantap dalam organisasi tarbiyah kita? Adakah ketua lajnah tersebut benar-benar komit dan boleh menghasilkan impak maksima kepada taraf tarbiyah ahli-ahli pemuda kita?
Bagaimanakah pula dengan matlamat kita? Adakah kita mempunyai matlamat tarbiyah yang jelas? Matlamat jangkamasa panjang? Matlamat jangka masa pendek?
Bagaimana kita menyusun atur program kita? Adakah menepati matlamat jangkamasa panjang dan pendek yang telah kita targetkan?
Bagaimana pula tumpuan/pemantauan kita diperingkat pemuda yang lebih bawah lagi? Pemuda di kawasan bagaimana? Adakah sistem tarbiyah dan usrah mereka teratur dan terancang dan berjalan dalam menepati matlamat jamaah secara keseluruhan? Bagaimana pula dengan sahabat-sahabat kita diperingkat cawangan pula? Adakah mereka juga dilibatkan dengan program usrah dan tarbiyah?
Marilah kita sama-sama fikirkan untuk maslahat kita bersama.
Naqib usrah perlu ada kemahiran memasak (cooking skill) - selingan.
Sekadar selingan, semasa menuntut di Australia dahulu, penulis sangat rajin memasak berbanding sekarang. (Mungkin kerana sekarang ini makanan disediakan oleh isteri tersayang). Semua ini adalah kerana dorongan senior-senior yang memberikan tunjuk ajar tentang bagaimana untuk menarik junior agar tertarik kepada kita dalam gerak kerja dakwah.
Penulis masih ingat lagi sewaktu hadir kerumah ahli usrah di Melbourne dulu. Janji dengan anak usrah untuk memasak ayam panggang berempah. Pada siang harinya, penulis beserta rakan senior menyediakan kelengkapan untuk memasak ayam panggang. Tepat pada waktu usrah, kami membawa ayam beserta kelengkapan memasak ke kediaman anak-anak usrah. Kelihatan mereka sungguh seronok sekali menerima kedatangan naqib usrah mereka ini. Maklumlah, 'makan free'. Siapa akan menolak kalau dijamu makan percuma. Yang pentingnya, selesai makan, kami sebagai naqib berpeluang untuk menyampaikan risalah Islam dan dakwah kepada mad'u kami itu. Dan mereka merasakan bahawa aktiviti usrah itu adalah suatu yang menyeronokkan.
Antara skill memasak lain yang penulis pelajari ialah nasi briani, kambing panggang, barbeque, beef steak, macaroni, karipap, roti canai, nasi goreng, lauk-pauk dan macam-macam lagi. Rasanya boleh tulis buku resepi. Tapi, kebiasaannya pelajar ‘oversea’ akan mempunyai kemahiran tersebut. Paling tidak pun, boleh masak Maggi sendiri!
NASI BRIANI LAPIS (KAMBING/LEMBU)
2 kg beras briani
2 kg daging kambing/lembu
500 gm minyak sapi QBB
300 gm bawang kecil (dihiris, digoreng)
600 gm bawang besar (dihiris)
500 gm tomato (dihiris halus)
100 gm halia
80 gm bawang putih
50 gm badam
50 gm gajus
1 tin sederhana tomato puri
½ tin susu cair
½ botol air mawar
50 sen rempah tumis
sedikit daun pandan
50 sen daun pudina
50 sen daun ketumbar
$2 rempah beriani
¼ cawan tairu
sedikit koma-koma
100 gm lada hijau
1 biji limau nipis
sedikit pewarna kuning
sedikit garam kasar
CARA MEMASAK
Goreng bawang kecil dengan menggunakan minyak sapi. Setelah itu minyak sapi tadi diketepikan. Halia, bawang putih, lada hijau, badam dan gajus hendaklah dikisar hingga halus secara berasingan.
Masukkan minyak sapi tadi ke dalam sebuah periuk. Kemudian masukkan daging, bawang besar hiris, tomato, daun pudina, daun ketumbar, halia, bawang putih, lada hijau, tairu, rempah tumis daging dan garam. Masaklah di atas dapur sehingga mendidih. Apabila daging ¾ masak, masukkan bawang goreng dan kacau rata. Kemudian masukkan tomato puri dan biarkan mendidih lagi. Selanjutnya, masukkan rempah beriani, kacau dan tutup biar mendidih. Sesudah itu rasalah masam masinnya.Kalau kurang masamnya, bolehlah ditambah dengan perahan air limau nipis tadi. Akhir sekali, masukkan badam, gajus dan pewarna kuning lalu dimasak sebentar. Kemudian ceduklah minyak yang terdapat pada daging beriani tadi untuk dilapis pada nasi.
UNTUK MEREBUS BERAS
Kosek beras dan rendam kira-kira 10 minit lalu ditoskan. Jerang air secukupnya di dalam sebuah periuk bersama 1 batang kayu manis, 5 bunga cengkih dan 3 biji pelaga, daun pandan dan garam. Apabila air mendidih, masukkan beras dan dikacau sekali sekala. Setelah beras 3/4 masak (keadaan seperti biji limau), diangkat dan ditoskan kepada 3 bahagian.
UNTUK MELAPIS BERAS DAN DAGING
Ceduk minyak yang berada pada daging bersama 2 senduk kuah beriani lalu dicampur dengan susu cair. Jika minyaknya kurang, bolehlah ditambah sedikit minyak sapi. ……………Bahan A
Koma-koma direndam dengan ¼ cawan air. Setelah itu , campurkan dengan air mawar dan sedikit pewarna kuning. …….………. Bahan B
Panaskan periuk dan dibubuh sedikit minyak sapi. Taruh 1 bahagian beras, diratakan dan dibubuh daging beriani di atasnya. Taburkan sedikit daun ketumbar dan direnjis dengan Bahan A dan Bahan B.
Ulang proses ini sehingga ketiga-tiga bahagian beras tadi selesai. Tutup periuk dan dibubuh bara arang di atasnya jika perlu. Kecilkan api dan biarkan nasi masak kira-kira ½ jam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)



No comments:
Post a Comment