MOTIVASI AMILIN 32-FIKRAH Thiqah(Kepercayaan)-Teori dan Praktikal
As-Syahid Imam Hassan Al-Banna menukilkan di dalam kitabnya “Risalah Ta’alim” bahawa ‘Seorang tentera menaruh kepercayaan penuh kepada kewibawaan dan keikhlasan pemimpin hingga ke tahap lahir rasa kasih, menyanjung tinggi, hormat dan taat.’
Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya. (Al-Nisa’: 65)
Pimpinan adalah sebahagian daripada dakwah. Dakwah pula tidak akan wujud tanpa pimpinan. Sejauhmana wujud hubungan saling percaya-mempercayai antara pimpinan dan tentera ini akan menentukan kekuatan sistem sesebuah jamaah, kekemasan strateginya, kejayaannya untuk mencapai matlamat dan sejauhmana ia mampu mengatasi segala rintangan dan cabaran.
Dalam dakwah Ikhwan, seorang pemimpin ibarat seorang ayah dari segi hubungan hati, seorang guru dari segi penyaluran ilmu, seorang syeikh dari segi didikan rohani, seorang ketua dari segi menentukan dasar am dakwah. Dakwah kita menggabungkan semua elemen ini. Kepercayaan kepada pemimpin merupakan asas kepada kejayaan mana-mana gerakan. Oleh itu, setiap akh yang jujur perlu menyoal dirinya soalan-soalan berikut bagi mengetahui sejauhmana kepercayaannya kepada pimpinannya:
1. Adakah dia mengenali siapakah pemimpinnya sebelum ini dan telah mengkaji latar belakangnya?
2. Adakah dia yakin dengan kemampuan dan keikhlasannya?
3. Adakah dia bersedia untuk menerima bahawa segala arahan yang tidak bertentangan dengan syarak yang dikeluarkan oleh pimpinan sebagai suatu keputusan mutlak yang tidak boleh dipertikai, disangsi, diabai dan diperdebatkan, di samping bersedia memberi nasihat dan menyatakan pendapat yang baik?
4. Adakah dia bersedia untuk merasakan kemungkinan bahawa pendapatnya salah dan pendapat pimpinan itu benar, dalam keadaan wujud percanggahan antara arahan pimpinan dan apa yang diketahuinya tentang soal ijtihad yang tidak dinyatakan sebarang nas syarak?
5. Adakah dia bersedia untuk meletakkan kehidupan hariannya di bawah telunjuk dakwah? Adakah pemimpin pada pandangannya berhak menentukan apa yang lebih penting antara kepentingan peribadinya dengan kepentingan dakwah?
Berdasarkan jawapan kepada soalan-soalan ini atau yang seumpama dengannya, seseorang akh akan meyakini sejauhmana hubungannya dengan pimpinan dan sejauhmana dia mempercayai kewibawaannya. Namun hati-hati manusia di tangan Allah dan Dia mentadbir hati-hati ini menurut kehendaknya.”
Demikianlah saranan yang diutarakan oleh Imam Hassan Al-Banna berhubung dengan perkara Thiqah ( الثقة ) atau kepercayaan. Di dalam PAS, kita mempunyai ketua yang dinamakan sebagai Presiden. Dan Presiden ini secara dasarnya di bentuk oleh Majlis Syura Ulama yang diketuai oleh Mursyidul Am. Kita sebagai ahli sebuah jemaah Islam meyakini bahawa pemilihan pemimpin kita telah dipilih oleh Allah walaupun pada zahirnya kita melihat bahawa mereka naik atas sebab sokongan kita. Namun hakikatnya Allah yang telah memilih mereka mengisi jawatan kepimpinan itu. Konsep ‘thiqah’ yang hanya ada dalam kepimpinan Islam sahaja ini adalah satu penyelamat kepada sebuah gerakan Islam seperti PAS. Dimana sahaja ada perpecahan dan perselisihan pendapat, maka konsep ‘thiqah’ akan menyelamatkan keadaan. Sebab itulah kita di dalam PAS ini tidak mempunyai masalah besar dalam penyatuan pemikiran.
Namun, kedapatan segelintir kemuncup-kemuncup yang kurang faham akan sistem sebuah gerakan Islam ini telah membawa masalah kepada perjalanan kita. Sedarlah kita bahawa keberadaan kita dalam sebuah gerakan Islam ini adalah merupakan satu ibadah. Taat kepada pimpinan itu ibadah. Thiqah kepada pimpinan juga suatu ibadah. Semua ibadah yang dilaksanakan dengan penuh keikhlasan akan mendapat pahala. Pahala yang diperolehi, ganjarannya syurga.
Seandainya konsep itu kita fahami betul-betul, maka kita akan bertambah kuat dan bertambah kukuh.
Masalah kurang faham dalam konsep ini yang menimbulkan beberapa kontroversi (seperti isu muqobalah, muzakarah, tahaluf siyasi dan sebagainya) adalah berpunca daripada sistem tarbiyah yang kurang lancar. Kesannya, ahli kurang faham. Maka, perkara berkaitan tarbiyah fikriyyah (pembentukan pemikiran) perlulah sama-sama kita pikul agar kita boleh menghasilkan satu kekuatan dalaman yang memberi impak yang besar kepada Malaysia dan dunia.



No comments:
Post a Comment