Penulis masih lagi teringat sewaktu penulis bergiat dalam sedikit aktiviti tarbiyah di Melbourne dahulu. Antara cara kami 'enjoy' dalam usrah ialah dengan mengatur program berbasikal.
Pada waktu itu, Australia mengalami musim luruh. Cuaca tidaklah begitu panas macam 'summer' atau sejuk sangat macam 'winter'. Jadi ianya memang amat sesuai untuk aktiviti luar seperti berbasikal, memancing dan perkhemahan. Kami memang meminati aktiviti-aktiviti luar seperti ini terutamanya semasa musim cuti persekolahan, maklumlah, orang muda.
Dalam usrah minggu lalu, kami telah memutuskan untuk mengisi cuti hujung minggu ini dengan aktiviti berbasikal dari Frankton ke Melbourne. Jarak diantara 2 pekan ini adalah lebih kurang 40km, kalau tidak silapku. Kalau naik tren(keretapi), masa yang diambil adalah dalam lingkungan satu jam. Kalau berbasikal, masa yang diambil adalah 8 jam termasuk beberapa aktiviti sosial di tengah perjalanan. Melbourne merupakan salah sebuah bandar di negeri Victoria.
Sekilas maklumat berkenaan negara Australia. Ianya adalah sebuah negara dan juga sebuah benua yang terdiri daripada 7 buah negeri. Victoria, Queensland, New South Wales,Northern Territory, Western Australia,South Australia dan Tasmania. Melbourne adalah salah sebuah bandar besar dalam negeri Victoria manakala Franskton pula adalah salah sebuah pekan kecil di pinggir Melbourne.
Aku dan beberapa sahabat menuntut di sebuah universiti di tengah pekan Melbourne. Universiti tempat aku belajar itu terletak betul-betul di tengah pekan dan merupakan antara universiti yang tertua dan terulung di negara kangaroo itu.
Sebelum memulakan aktiviti berbasikal, aku menaiki tren(keretapi) dari Melbourne ke rumah seorang sahabat di Frankston. Disini, kami boleh membawa basikal menaiki tren, tidak seperti kita di Malaysia yang hanya khusus untuk penumpang sahaja. Sehari sebelum memulakan perjalanan, kami berkumpul dahulu di Frankston. Malam itu, kami mengadakan solat berjamaah, makan berjamaah dan sesi usrah(perbincangan agama kumpulan) sesama kami. Didalam usrah,kami berbincang tentang Islam, dakwah dan jamaah.
Keesokan harinya seperti yang ditunggu-tunggu, kami semua bangkit awal untuk solat subuh berjemaah bersama-sama. Selesai solat, zikir,tazkirah dan sarapan, kami bersiap sedia untuk memulakan perjalanan. Setelah memastikan semua perbekalan perjalanan sempurna, kami memeriksa keadaan basikal masing-masing untuk memastikan keselamatan. Oh ya, tak lupa juga kunyatakan disini bahawa menjadi peraturan lalulintas disini untuk semua penunggang basikal, memakai helmet keselamatan yang mana ianya amat baik untuk keselamatan penunggang basikal. Dan sekiranya sesiapa yang ditahan polis kerana tidak memakai topi keledar, dia akan disaman!
Selesai segala pemeriksaan, kami memulakan perjalanan. Kami melalui jalan pesisir pantai kerana suasananya aman sekali. Udara yang dingin beserta panas matahari mewujudkan suasana yang agak suam-suam dan begitu nyaman sekali. Dalam perjalanan, kami berhenti di beberapa lokasi untuk berehat dan bersantai sambil menikmati keindahan ciptaan Allah. Seindah sedamai pantai melambai gemalai,membuktikan kebesaran Allah Yang Maha Kuasa.
Sewaktu tiba masa untuk makan tengahari, kami berhenti di suatu lokasi untuk membakar barbeque. Daging potong dan ayam yang telah diperap yang kami bawa itu, kami bakar sebagai juadah selera tengahari. MasyaAllah setelah berkayuh selama beberapa jam, perut sudah tentunya berasa lapar. Di Australia ini penduduknya memang terkenal dengan kegemaran ber'barbeque'. Kebiasaanya pada hujung minggu, aktiviti seumpama ini merupakan perkara biasa terutamanya semasa musim sejuk. Waktu udara dan cuaca sejuk itu, aktiviti ini merupakan salah satu cara untuk memanaskan badan. Selesai memuaskan 'nafsu makan', kami solat zohor berjemaah di tepi pantai diikuti dengan tazkirah ringkas sebagai pengisian rohani pula. Setelah jasmani diisi dengan makanan jasmani, kini tiba giliran rohani pula untuk diisi dengan makanannya pula.
Kami meneruskan perjalanan lagi menyusuri pantai. Disamping itu, kami akan berhenti di mana-mana lokasi menarik untuk ber'photoshot'. Memang menjadi hobiku bergambar untuk kenang-kenangan, pantang jumpa pemandangan yang cantik sahaja, kami akan berposing.
Setelah penat berkayuh dan melakukan pelbagai aktiviti untuk mengeratkan ukhuwwah sesama ahli usrah, kami pun tibalah di Melbourne, sebuah pekan yang terletak di tengah-tengah benua Australia. Tibanya kami beserta dengan tenggelamnya sang mentari. Semoga Allah ikat hati-hati kami dengan pintalan ukhuwwah yang tidak akan terlerai buat selama-lamanya. Amiin.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)



No comments:
Post a Comment