DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI
Muqaddimah “Motivasi buat pejuang Islam di Permatang Pauh – Suatu Catatan perjalanan”
Mengapa Tajuk ini? Tajuk ini timbul semasa dalam perjalanan penulis ke Kota Bharu dari Permatang Pauh. Tatkala berduyun-duyun manusia dari segenap pelusuk negara masuk ke lokaliti penulis untuk memeriahkan proses pilihanraya kecil, masa itu jugalah salah seorang amilin tempatan terpaksa meninggalkan medan pertempuran buat sementara waktu untuk melangsaikan sedikit urusan peribadi. Apa boleh buat, tiada pilihan lain! Semasa dalam perjalanan yang agak suram dek kerana cuaca mendung yang diselangseli oleh hujan sekejap-sekejap, timbul perasaan ini untuk menghasilkan suatu penulisan yang tak seberapa ini untuk tatapan dan barangkali motivasi untuk sahabat-sahabat yang memperjuangkan Islam khususnya buat para sahabat di Permatang Pauh dan umumnya buat semua. Fikiran kadangkala melayang-layang menerobosi awan mencari-cari idea untuk menjadi bahan penulisan. Melihatkan suasana masyarakat khususnya para amilin dakwah yang terlalu sibuk dengan tugasan yang bertindih-tindih di semua peringkat daripada cawangan sehinggalah ke peringkat pusat, juga di semua dewan daripada dewan pemuda ke dewan ulama, penulis merasakan perlunya ada suatu penggerak dalaman untuk memperkasakan lagi jemaah. Banyak buku motivasi yang ada dipasaran dewasa ini, namun kita kekurangan buku motivasi yang terkini untuk menjadi sajian para amilin dakwah dan jamaah. Dewasa ini, jemaah kita menerima suatu kekuatan sebagaimana yang di taqdirkan oleh Allah Taala. Tuntutan politik semasa yang memerlukan banyak masa dan tenaga kepada bahagian politik menyebabkan banyak peringkat kurang menitikberatkan proses tarbiyah dikalangan ahli. Kita perlu akui bahawa keahlian kita semakin meningkat dari masa kesemasa dan menjadi tugas kita semua untuk melahirkan ahli-ahli yang benar-benar mantap dari pelbagai sudut terutamanya dari segi keimanan kepada Allah subhanahu wataala dan kefahaman tentang dakwah dan jihad
Subscribe to:
Post Comments (Atom)



No comments:
Post a Comment